Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MAKNANYA SEKARANG PM TAK PERLU TERGESA-GESA LAGI NAK BUBAR PARLIMEN, ABAIKAN SAJA DESAKAN KLUSTER MAHKAMAH

Pertikaian sama ada Parlimen perlu dibubarkan dengan segera atau sebaliknya kini menjadi isu yang semakin membahang antara dua kumpulan dalam UMNO.

Kluster mahkamah dan mereka yang menyokong kumpulan itu telah dan sedang mengasak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan pelbagai cara agar segera membubarkan Parlimen.

Setelah berjaya meluluskan usul dalam PAU2021 yang menetapkan PRU15 hendaklah diadakan sebelum pemilihan UMNO, kemudian meminda perlembagaan parti bahawa pemilihan UMNO hanya boleh diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan dan tekanan terbaru melalui Konvensyen BN, terbaru ini mereka mula mengingatkan Ismail Sabri berkenaan MOU dengan PH pula.

Yang mereka gembar-gemburkan ialah kononnya MOU itu tamat pada 31 Julai ini yang bermakna Parlimen sudah boleh dibubarkan selepas tarikh itu kerana tiada lagi sokongan daripada PH.

Ia juga kononnya bersesuaian dengan keputusan MT UMNO yang tidak menyambung lagi MOU itu selepas tarikh 31 Julai.

Kluster kabinet dalam hal ini lebih selesa PRU15 tidak diadakan segera, bahkan mencadangkan Parlimen hanya perlu dibubarkan di hujung penggal sedia ada iaitu sehingga Mei 2023.

Hujah mereka, kerajaan perlu lebih masa untuk berperanaan dengan lebih baik dalam menyelesaikan isu-isu rakyat sebelum PRU15 hendak diadakan.

Mereka juga menyelar tindakan mengaitkan MOU dengan UMNO kerana perjanjian itu adalah antara kerajaan dengan PH sama sekali tidak ada kena-mengena UMNO.

Selain kluster kabinet, PH juga turut sama mempertikaikan UMNO berhubung keputusan yang mereka ambil berkaitan MOU kerana UMNO pada hakikatnya tidak terkait sama sekali.

Berikutan isu MOU semakin diperdebatkan antara dua kluster itu kebelakangan ini, pelbagai kenyataan dan selar-menyelar antara dua kluster UMNO itu mula semakin panas dalam sehari dua ini.

Dalam masing-masing berhujah mempertahankan kenyataan itu, apa yang menarik sekali ialah tindakan Annuar Musa yang tampil mendedahkan butiran penuh MOU itu.

“Bagi yang suka menulis tetapi malas membaca, menyelidik atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya hantarkan di sini dokumen rasmi atau salinan MOU antara kerajaan dan PH.

“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 dalam MOU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MOU tersebut,” katanya lagi.

Sebagaimana dokumen yang disertakannya itu, Perkara 2.1 MOU itu menyebut “Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14”

Bagi Perkara 3.1, fakta yang tertulis memaklumkan – Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022”.

Berdasarkan fakta itu, adalah jelas bahawa MOU antara kerajaan dengan PH akan terpakai sehingga tempoh penggal Parlimen dibubarkan dan tidak disebut ia berakhir selepas 31 Julai.

Dan oleh kerana ada persetujuan bahawa kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022, bermakna penggal Parlimen sedia ada ini boleh terus dipertahankan sehingga Parlimen dibubarkan yang tidak diketahui bila tarikhnya yang sebenar.

Yang tidak boleh kerajaan buat cuma melakukan pembubarkan Parlimen sebelum tarikh 31 Julai 2022.

Ertinya, tempoh yang dibenarkan dalam MOU itu untuk Ismail Sabri membubarkan Parlimen ialah selepas 31 Julai sehinggalah tempoh pembubaran Parlimen.

Selagi Parlimen tidak dibubarkan, selagi itu MOU adalah sah dan terpakai.

Soal bila Parlimen mahu dibubarkan, ia terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri untuk memilih waktu yang sesuai bagi menasihati Yang Dipertuan Agong berkenaan dengannya.

Yang jelas, MOU itu memberi peruntukan yang jelas bahawa Ismail Sabri tidak perlu tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen.

Kenapa beliau perlu tergesa-gesa mahu membubarkan Parlimen, sedangkan ada tempoh yang selesa dan panjang untuknya berbuat demikian iaitu bermula selepas 31 Julai sehingga pembubaran Parlimen ke 14?

Oleh kerana MOU terpakai sehingga tempoh sehingga Parlimen dibubarkan dan tempoh penggal Parlimen ini ialah Mei 2023, maka buat apa Perdana Menteri mahu memilih tarikh yang awal atau dalam tempoh terdekat ini untuk membubarkan Parlimen sebagaimana didesak kluster mahkamah?

Tunggulah dekat-dekat Mei 2023 nanti, sekaligus desakan kluster mahkamah sudah tidak laku dan boleh diabaikan begitu saja. – ShahbudinHusin 05/06/2022.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

11 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
11
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x