TIGA PRESIDEN PARTI ‘PESALAH’ UTAMA GAGALNYA USUL SOSMA DILULUSKAN PARLIMEN

Apa jua alasan berhubung gagalnya usul pelanjutan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma diluluskan di Dewan Rakyat Rabu lalu, harus diakui beban paling besar ialah terletak di pihak kerajaan sendiri.

Sebagai kerajaan, sebarang usul yang hendak diluluskan mestilah bergantung terlebih dahulu kepada sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan untuk kelulusannya.

Tidak pernah berlaku dan tentu saja pelik jika kelulusan usul kerajaan lebih bergantung kepada sokongan daripada Ahli- Ahli Parlimen blok pembangkang.

Meskipun wujud MOU antara kerajaan dengan PH sebagai blok utama pembangkang, perkara itu tidak harus menjadi sandaran utama.

Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri harus punya tanggungjawab, tidak ambil mudah dan tidak cuai terhadap sebarang usul kerajaan yang bakal dibentangkan.

Disebabkan kurang rasa tanggungjawab, ambil mudah dan cuai itulah yang mengakibatkan usul kerajaan gagal mendapat kelulusan di Parlimen dan ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

Daripada semua beban yang dipikul kerajaan dalam hal ini, selain didapati 31 Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir atau tidak berada di Dewan Rakyat ketika pengundian, kesalahan paling besar ialah bila mana tiga Ahli Parlimen yang merupakan ketua parti yang mendokong kerajaan turut tidak menghadirkan diri.

Mereka ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin (Pagoh) dan Presiden Pas, Hadi Awang (Marang).

Oleh kerana kalahnya undian hanya berbeza satu undi iaitu 86 dan 85, jika tiga ketua parti itu hadir ke Parlimen ketika pengundian, soal kalah tidak berbangkit lagi.

Kenapa mereka tidak hadir?

Sehingga ini belum diketahui dan tidak ada sebarang penjelasan berkenaan ketidakhadiran mereka bertiga itu.

Jika Ahli-Ahli Parlimen lain mungkin ada hal lain yang tidak dapat dielakkan seperti hadir ke mahkamah, bertembung dengan urusan kerajaan, berada di luar negara dan sebagainya, tetapi apakah sebabnya tiga ketua parti itu tidak hadir?

Bukankah sebagai ketua parti yang mendokong kerajaan, mereka sepatutnya ada rasa tanggungjawab yang lebih tinggi terhadap kerajaan?

Jika tidak, buat apa menyokong kerajaan?

Dengan demikian, berhentilah menuding jadi kepada blok pembangkang sebagai punca utamanya usul Sosma itu gagal diluluskan.

Selain PH yang menandatangani MOU dengan kerajaan tidak diajak berunding terlebih dahulu oleh menteri yang bertanggungjawab berkaitan usul Sosma yang dibentangkan itu, harus juga difahami bahawa penahanan selama 28 hari yang mahu dikuatkuasakan melalui akta itu adalah perkara yang memang tidak dipersetujui oleh blok pembangkang, malah majoriti rakyat sejak dulu lagi.

Mengapa Hamzah Zainuddin, menteri KDN tidak membuka pintu rundingan dengan PH?

Jadi, bagaimana blok pembangkang mahu mengundi untuk menyokong begitu saja?

Begitu pun, jika menteri yang bertanggungjawab lebih berhemah dan sedia mengdakan rundingan dengan blok pembangkang terlebih dahulu, mungkin episod usul kerajaan gagal diluluskan itu tidak berlaku.

Dalam hal ini, Annuar Musa, salah seorang menteri yang gagal mengundi kerana lewat masuk ke Dewan Rakyat, walaupun sepatutnya lebih tahu tentang peraturan masuk dan isyarat loceng yang dibunyikan kerana sudah lama menjadi Ahli Parlimen turut menyalahkan PH kerana tidak meminta berunding dengan kerajaan sebelum usul itu dibentangkan.

Hello Boss…siapa jadi kerajaan dan siapa yang memerlukan usul itu diluluskan di Parlimen?

Kalau masa tandatangan MOU dulu kerajaan boleh cari PH untuk minta sokongan, kenapa sekarang tak boleh? ShahbudinHusin 25/03/2022.

Updated: 29 March 2022 — 6:59 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.