KECEWA LAGI NAMPAKNYA KLUSTER MAHKAMAH UMNO…

Tindakan pembangkang tidak menyokong usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat pada Rabu lepas dianggap tidak melanggar MOU dengan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, mesyuarat Kabinet semalam telah membincangkan perkara itu dan mendapati Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menolak usul berkenaan tidak melanggar MOU yang dimeterai antara kerajaan dengan PH pada September tahun lepas.

“MOU hanya terpakai kepada undang-undang atau RUU (rang undang-undang) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Ia sama ada RUU perbekalan yang lebih dikenali sebagai bajet atau usul tidak percaya Perdana Menteri.

“Kalau undang-undang biasa macam usul Sosma dan lain-lain, ia tidak tertakluk kepada MOU sebab ia tidak bermaksud bahawa sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan, cuma tidak setuju dengan peruntukan Sosma, itu saja.

“Mereka bukan menentang kerajaan,” katanya.

Di sebalik UMNO, khususnya kluster mahkamah meneruskan lagi desakan serta tekanan mahu PRU15 disegerakan berikutan penolakan usul itu yang dianggap meletakkan kerajaan tiada kestabilan, keputusan kabinet ini tentunya amat mengecewakan mereka.

Desakan dan tekanan mereka nampaknya belum kesampaian lagi berikutan keputusan kabinet itu.

Ini bermakna, dengan keputusan kabinet itu, bukan saja Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan sebarang desakan untuk segera membubarkan Parlimen, malah sudah boleh bergerak ke hadapan lagi dengan menandatangani MOU 2.0 dengan blok pembangkang PH.

Disebabkan MOU sedia ada ini berakhir tempohnya pada 31 Julai, MOU 2.0 nanti sebaiknya dipersetujui sehingga Mei 2023 iaitu tempoh penggal Parlimen sekarang berakhir.

Hanya melalui MOU 2.0 saja Ismail Sabri boleh terus kekal memimpin negara dengan tenang dan tanpa gangguan sehingga tempoh matang penggal Parlimen yang ada sekarang. – ShahbudinHusin 26/03/2022.

Updated: 29 March 2022 — 7:21 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published.