Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TAK HABIS2 CABAR TEKAN BUTANG, NAJIB HANYA MENYUSAHKAN LAGI ISMAIL SABRI

Sepanjang minggu lalu, selain berbalah dan berbalas serangan dengan Mahiaddin Md Yasin, bekas Perdana Menteri, Najib Razak juga beberapa kali menyindir Bersatu dan pimpinannya berkaitan isu tekan butang terhadap kerajaan.

Sindiran dan sikap sinis Najib berkaitan tekan butang yang berulang kali itu seolah-olah mencabar Mahiaddin, Bersatu dan PN agar segera berbuat demikian.

Dalam salah satu postingnya di media sosialnya hari ini, Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah berkaitan kes SRC International dan sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, sekali lagi mencabar Bersatu berkenaan tekan butang atau menjatuhkan kerajaan.

Katanya, jika Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ingin tahu siapa “poster boy” BN pada PRU15 akan datang, suruhlah Mahiaddin cepat-cepat menekan butang atau dalam erti kata lain, segera menjatuhkan kerajaan supaya pilihanraya dapat diadakan.

Kenapakah beliau terus menerus berbuat demikian?

Adakah Najib sekadar memberi “cabaran manja” kerana sedar Mahiaddin, Bersatu dan PN mungkin tidak berani berbuat demikian atau beliau benar-benar mahu butang ditekan dan seterusnya menyebabkan Ismail Sabri Yaakob jatuh sebagai Perdana Menteri?

Bagaimana jika Mahiaddin benar-benar sedia melakukannya?

Tetapi, apa pun pertimbangannya, sikap dan dan perlakuan Najib itu jelas lagi nyata amat menyusahkan Ismail Sabri yang kini mewakili UMNO mentadbir negara selaku Perdana Menteri.

Apa lagi, tindakannya yang berulang kali menyindir, mencabar dan meminta Mahiaddin, Bersatu atau PN menekan butang itu sepertinya beliau tidak mahu melihat Ismail Sabri berada lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri.

Harus disedari, meskipun BN dan PN, UMNO serta Bersatu sedang berbalah dalam politik, khususnya menghadapi PRN Johor, namun kedua-dua parti itu saling bekerjasama membentuk kerajaan di peringkat persetukuan dengan persetujuan bersama meletakkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menterinya.

Kenapa setelah berjaya meletakkan Ismail Sabri, seorang pemimpin UMNO sendiri sebagai Perdana Menteri selepas Mahiaddin dijatuhkan yang mana Najib adalah salah seorang yang bertindak menarik sokongan terhadapnya, tetapi dalam masa yang sama beliau masih tak habis-habis dengan cerita tekan butang?

Sampai bila Najib mahu berperangai begini?

Bukankah Najib selaku bekas Perdana Menteri, sepatutnya lebih berperanan mengukuhkan kedudukan Ismail Sabri sebagi Perdana Menteri daripada UMNO dan mahukannya kukuh dengan lama berada di situ daripada mencucuk serta menggoncang kedudukannya?

Apa faedahnya kepada Najib dan UMNO jika Ismail Sabri dijatuhkan dan PRU15 diadakan dalam waktu terdekat?

Apakah benar-benar terjamin UMNO dan BN mampu membentuk kerajaan secara sendirian?

Apakah jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat ini, maka Najib boleh bertanding lagi?

Adakah Najib sebenarnya sedang mengalami “jiwa kacau” selepas rayuannya di Mahkamah Rayuan baru-baru ini ditolak, lalu sementara tarikh rayuan di Mahkamah Persekutuan belum lagi ditetapkan, beliau lebih rela melihat segala-galanya rosak binasa dan Ismail Sabri terus susah kerananya, meskipun yang mengetuai kerajaan sekarang ialah UMNO?

Jika bukan itu sebabnya, susah sangatkah Najib sebagai pemimpin UMNO dan bekas Perdana Menteri untuk bersikap lebih bijaksana dengan membantu dan memastikan Ismail Sabri berada lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 06/02/2022.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

119 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
119
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x