Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ANNUAR MUSA TIDAK BANTU ISMAIL SABRI?

Menjadi perbualan di kalangan beberapa pemimpin UMNO kebelakangan ini tentang kedudukan Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta peranannya dalam mempertahankan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Sebagaimana disedari ramai, Ismail Sabri kini dikritik kiri kanan dan depan belakang atas pelbagai isu sejak beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Mahiaddin Md Yasin pada Ogos tahun lalu.

Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan kawalan terhadap pelbagai saluran komunikasi dan penerangan dalam negara, Annuar sepatutnya menjadi menteri paling ke hadapan dalam mempertahankan Perdana Menteri.

Lagi pun, dirasakan itulah sebab utama beliau dilantik mengetuai portfolio kementeriannya sekarang ini.

Tetapi, ramai yang melihat beliau seperti tidak melakukan peranan tersebut dengan sepenuhnya, kalau ada pun ia cuba dilakukan sekali-sekala saja.

Malah, ada yang berkata, usaha Annuar mempertahan dan membela Mahiaddin sebelum ini lebih terserlah berbanding apa yang dilakukannya kepada Ismail Sabri sekarang, walhal ketika itu beliau adalah Menteri Wilayah Persekutuan yang tiada kaitan sama sekali dengan komunikasi atau penerangan kepada rakyat.

Kenapakah ini berlaku?

Adakah Annuar lebih sayang Mahiaddin berbanding Ismail Sabri?

Seorang pemimpin UMNO daripada utara berkata, Annuar juga seolah-olah tidak ambil peduli dan langsung tidak memberi reaksi jika berlaku sebarang kritikan atau serangan terhadap Ismail Sabri di media sosial.

“Seolah-olah menteri yang mengawal televisyen, radio dan pelbagai saluran media ini mahu rakyat menelan begitu saja semua kritikan terhadap Perdana Menteri,” tambah pemimpin tersebut dengan agak kecewa.

Ketika era Mahiaddin dulu, tambahnya, jika berlaku serangan sebegitu, kita bukan saja boleh melihat ada reaksi balas yang sepadan, baik di media sosial atau media tradisional, malah Annuar sendiri kerap tampil menunjukkan pembelaannya melalui platform media sosial yang dimilikinya.

“Namun sejak era Ismail Sabri, cuba periksa, sudah berapa kali beliau pernah menulis membela dan mempertahankan Perdana Menteri?” soal pemimpin UMNO itu lagi.

Seorang pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan pula berkata, SKMM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang berada di bawah kawalan kementerian Annuar malah lebih cepat bertindak jika ada kritikan atau komplen terhadap kementerian atau menterinya sendiri berbanding kalau terdapat kritikan kepada Perdana Menteri.

Di era Mahiaddin, meski berjawatan Menteri Wilayah Persekutuan, selain sangat aktif mempertahankan Perdana Menteri ketika itu, Annuar juga seolah-olah ketua cybertrooper kerajaan di media sosial.

Malangnya dengan jawatannya sekarang, sementara itulah yang sepatutnya beliau letakkan sebagai keutamaan di bahunya, tetapi ia nampaknya langsung tidak berlaku.

Kenapa?

Dan sampai bila Ismail Sabri harus diperlakukan sebegini? – ShahbudinHusin 31/01/2022.

4 3 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

241 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
241
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x