Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENYATUAN UMMAH TERNYATA SUDAH PUNAH

Melihat reaksi tindak balas pimpinan UMNO terhadap gelaran itik patah kaki yang diberi Presiden Pas, Hadi Awang kepada parti itu, satu perkara yang nyata ialah tiada langsung tanda keinginan untuk menjernihkan suasana.

Malah, serangan balas UMNO terhadap kenyataan Hadi itu lebih keras dan menyakitkan lagi.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak kisah walau digelar apa sekali pun.

“Bagi mereka yang menggelar UMNO dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya – gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

“Tetapi, UMNO masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia,” ujarnya seperti menyindir Pas.

Malah, Mohamad yang juga popular dengan gelaran Tok Mat berkata, UMNO mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU14 bukanlah kerana ‘ubatan mujarab’ daripada PAS.

“UMNO bukan seperti parti lain. Tiada wala’ kepada presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya.

“UMNO adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja,” tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi.

Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin pula berkata, walaupun Pas sebuah parti yang kuat dan hebat, tetapi UMNO tidak mahu menumpang kekuatan dan kehebatan tersebut.

Khaled juga mengingatkan Hadi dan PAS bahawa “kluster mahkamah” tidak ada kena-mengena dengan PRN Johor.

Bahkan katanya, beliau sendiri berpendirian isu mahkamah membabitkan pemimpin UMNO wajar diselesaikan melalui proses perundangan.

Bagaimanapun, tegas Khaled, dalam keseriusan Hadi mahu menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan MN, diharapkan Presiden Pas itu tidak lupa untuk turut menjemput Amanah dan DAP bersama sekali.

“Barulah benar-benar majmuk,” sindirnya.

Sementara itu, ahli MT UMNO, Shabery Chik secara sinis menempelak Pas yang disifatkannya suka bermain banyak kolam dalam politik.

Beliau berkata, mereka yang suka bermain banyak kolam umpama “berudu” yang bergantung kepada air sebagai punca kuasa.

“Bagi yang suka bermain di banyak kolam sepatutnya kenal apa itu berudu. Hidup berudu terlalu bergantung kepada air kerana banyak makanan di situ.

“Air itu seperti kuasa, kering air akan menyebabkan berudu mati.

“Berudu dalam masa beberapa minggu tumbuh kaki dan menjadi katak.

“Katak akan terus melompat dan mencari air untuk melahirkan lebih banyak berudu,” ujarnya lagi.

Dengan respon sedemikian rupa, malah reaksi pimpinan UMNO di pelbagai peringkat yang lain tentu lebih kurang saja nadanya, berbaik semula dengan Pas sudah seperti jauhnya panggang dengan api saja layaknya.

Dalam erti kata lain, laungan penyatuan ummah dan perpaduan Melayu yang didendangkan ketika berbaik sebelum ini sudah tidak bermakna lagi.

Ia umpama sudah hancur dan punah, walaupun tidak diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua parti.

Barangkali, kalah dan hilang kuasa sekali lagi pun belum tentu mereka mahu berbaik kembali.

Setelah puluhan tahun bermusuhan, kemudian berbaik semula, akhirnya ternyata berbalah dan bergaduh lebih menyeronokkan buat UMNO dan Pas. – ShahbudinHusin 29/01/2022.

3 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

127 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
127
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x