Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

AZAM BAKI TAK PERNAH DIPANGGIL BERI PENJELASAN, ABU ZAHAR CUBA MENGELIRUKAN?

Dalam sidang media dua hari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Abu Zahar Ujang memberitahu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah hadir dalam pertemuan dengan lembaga itu pada 24 Nov lalu untuk memberi penjelasan berkenaan kontroversi pemilikan berjuta-juta saham yang dikaitkan dengannya.

Kata beliau, Azam memaklumkan kepada LPPR bahawa akaun miliknya telah digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat tersenarai di BSKL pada sekitar tahun 2015 lalu.

Abu Zahar seterusnya berkata, mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai sebarang manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

“Dalam pertemuan itu, Azam telah menjelaskan kedudukan sebenar pada kami bahawa saham-saham yang menggunakan namanya itu adalah milik adiknya, Nasir Baki.

“Ahli-ahli LPPR berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan sendiri atas saham-saham berkenaan dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikannya,” ujar beliau lagi.

Dengan apa yang dinyatakan Abu Zahar kepada media itu, ia seolah-olah memberi gambaran Azam telah dipanggil oleh LPPR untuk memberi penjelasan berkenaan isu yang terkait dengannya.

Ia juga memberi gambaran seolah-olah ahli-ahli LPPR SENDIRI yang dikatakan berpuas hati dengan penjelasan Azam itu telah melakukan pertanyaan dan bersoal jawab dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Benarkah itu yang berlaku?

Daripada beberapa maklumat yang diterima, memang ada pertemuan atau mesyuarat LPPR pada 24 November itu, tetapi ia hanyalah mesyuarat biasa yang kelazimannya memang diadakan sebulan sekali.

“Mesyuarat pada 24 November itu bukan mesyuarat khas dan bukan juga mesyuarat sessi khusus untuk mendapatkan penjelasan daripada Azam.

“Dalam LPPR, selain tujuh anggota yang perlu hadir mesyuarat, YANG PELIKNYA DAN DI MANA LPPR DIKATAKAN BEBAS bila Azam juga turut hadir sebagai anggota ex-officio atas kedudukannya sebagai KP SPRM berdasarkan Seksyen 13(1)(b) akta agensi tersebut,” kata maklumat berkenaan.

Kata maklumat itu, dalam mesyuarat tersebut ada ahli LPPR yang bertanya berkenaan pemilikan saham Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah memberi penjelasan pendek bahawa saham-saham berkenaan adalah milik adiknya.

“Penjelasan Azam cuma setakat itu dan ia cuma lafaz kata yang diucapkannya sekali lalu saja.

“Tiada pertanyaan selanjutnya daripada ahli LPPR selepas itu dan mesyuarat kemudian terus bergerak kepada agenda yang seterusnya,” tambah maklumat itu lagi.

Difahamkan, tiada pertanyaan lanjut dikemukakan dalam mesyuarat tersebut kerana pada ketika itu belum banyak lagi maklumat terdedah berkaitan saham-saham yang dikaitkan dengannya itu, selain ia juga bukan mesyuarat khas yang khusus untuk mendapatkan penjelasan daripada Azam berkenaan saham yahg dikaitkan dengannya.

“Jika ia mesyuarat khas DENGAN MENYEDIAKAN DOKUMEN DOKUMEN BERKAITAN yang khusus untuk isu Azam, ia pasti berbeza,” tambah maklumat itu lagi.

Dengan itu, jelas maklumat tersebut, adalah tidak tepat, malah mengelirukan untuk Abu Zahar memberi gambaran kepada umum seolah-olah semua ahli LPPR berpuas hati dan menerima penjelasan yang diberikan Azam.

“Tidak timbul soal berpuas hati kerana sebenarnya tiada apa-apa penjelasan diberikan, melainkan hanya cakap sekali lalu yang tidak sampai sepuluh perkataan daripada Azam yang memberitahu saham-saham itu kepunyaan adiknya,” ujar maklumat itu seterusnya.

Dalam hal berkaitan, perkara ini nampaknya relevan dengan cabaran bekas ahli ahli panel perundingan SPRM, Edmund Terence Gomez terhadap Abu Zahar agar mendedahkan minit mesyuarat LPPR pada 24 November bagi menyokong kenyataannya yang memperlihatkan seolah-olah LPPR telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku tentang saham-saham yang dimilikinya itu.

Sediakah Abu Zahar menyahut cabaran tersebut?

Apakah beliau akan terus berdiam diri, walau dilihat cuba mengelirukan orang ramai, malah seperti cuba “menipu” melalui sidang medianya dua hari lalu itu?

Atau sebagaimana dituntut oleh PH, bersekali dengan Azam, Abu Zahar juga sebenarnya perlu direhatkan dan disiasat atas tindakannya yang membawa LPPR melangkaui bidang tugasnya? – ShahbudinHusin 07/01/2022.

4 3 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

158 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
158
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x