Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

OSMAN SAPIAN YANG KUKENALI…(BAH. 2)

Tidak dapat dinafikan Dato’ Osman Sapian sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Johor merangkap Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Johor memainkan peranan penting dalam kejayaan PH di Johor pada Pilihanraya Umum Ke-14, tahun 2018.

Osman Sapian yang menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kempas selama tiga penggal sebagai wakil rakyat Umno/ Barisan Nasional (BN) telah bertindak sebagai pemimpin pembangkang PPBM/PH Johor pada PRU-14 yang bersejarah itu.

Dalam PRU-14, Osman bertanding sekali lagi sebagai calon di DUN Kempas atas platform PH dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan beliau beroleh kemenangan. Kemenangan itu menjadi tapak asas bagi beliau menjadi Menteri Besar Johor.

Pada waktu menghadapi PRU-14, aku memimpin Keadilan Johor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri. Dalam masa yang sama aku menjadi salah seorang Timbalan Pengerusi PH Johor, bersama-sama Liew Chin Tong (DAP), Hj Aminolhuda Hassan (Amanah) dan Dato’ Dr Shaharudin Salleh (PPBM). Manakala Tan Sri Mahyuddin Yassin memegang jawatan Pengerusi PH Johor.

Sepanjang yang aku ingat hampir kesemua mesyuarat PH Johor diadakan di Pejabat PPBM Johor di Taman Kempas Utama tidak jauh dari Setia Tropika. Dengan Osman Sapian sebagai Setiausaha PH Johor dan sebagai tuan rumah, maka kami pemimpin-pemimpin PH yang lain agak selesa bermesyuarat di pejabatnya. Osman muncul sebagai pemudahcara atau fasilitator kepada kami dengan sikap ramah, sopan dan santai, pembawaan dirinya.

Aku mengetahui kemudiannya bahawa Osman menghabiskan wangnya sendiri yang banyak untuk membuka pejabat PPBM yang serba lengkap itu yang kemudiannya menjadi tempat PH Johor sering bermesyuarat. Mungkin itu satu daripada pengorbanan Osman kepada partinya PPBM dan juga PH.

Apabila PRU-14 semakin dekat, maka adalah tugas kami pemimpin-pemimpin PH Johor menyelesaikan agihan kerusi untuk menghadapi pilihanraya.

PH Johor ketika itu ada empat buah parti. Lawan utama PH di Johor sama ada di kerusi DUN ataupun Parlimen tentu sahaja Umno/BN. PRU-14 amat mudah iaitu pertandingan dua parti gabungan utama, PH dan BN.

Ada 26 kerusi parlimen di Johor. Pembahagian kerusi ini diputuskan oleh pimpinan utama PH di peringkat Pusat atau Nasional iaitu Majlis Presiden PH yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PH. Masa itu Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara.

Terdapat 56 kerusi DUN yang menjadi taruhan yang perlu diagih-agihkan secara cermat kepada empat buah parti gabungan di dalam PH. Mesyuarat awal untuk membincangkan garis kasar dan prinsip pembahagian kerusi itu diadakan di Ibupejabat PPBM di Petaling Jaya dengan dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin.

Manakala mesyuarat pembahagian kerusi itu selanjutnya diadakan di Pejabat PPBM Johor di Kempas, Johor Bahru.

Setiap parti menghantar empat orang wakil ke mesyuarat membincangkan agihan kerusi itu. Osman dan aku banyak kali memainkan peranan sebagai pendamai dalam mesyuarat yang sentiasa tegang dan panas. Banyak mesyuarat aku diberi kepercayaan untuk mempengerusi sidang.

Hanya apabila aku sudah hampir hilang sabar, muka mulai merah padam dan suara mula keras apabila kepentingan asas Parti Keadilan terancam, maka sebelum aku menghentak meja, adalah lebih baik aku minta mesyuarat ditangguhkan sebentar selama lima minit.

Kemudian aku meminta Osman pula yang memimpin mesyuarat.

Begitulah keadaan mesyuarat kami. Walaupun tegang dan panas, tetapi akhirnya selesai juga pembahagian kerusi tersebut. Banyak kali waktu mesyuarat berehat untuk elakkan perbahasan yang tidak terkawal, Osman dan aku berunding di bilik Pejabat Khas Osman untuk mencari jalan keluar dan jalan penyelesaian.

Bergerak ke hadapan. Selepas kemenangan besar PH di Johor pada PRU-14 itu, satu tugas berat sedang menunggu, iaitu pembentukan Kerajaan PH di Negeri Johor.

Maka satu mesyuarat pemimpin-pemimpin PH Johor dengan diketuai oleh Muhyiddin Yassin diadakan di Hotel Le Grandeur, tidak jauh dari Lapangan Terbang Senai. Selain Muhyiddin, mesyuarat itu turut serta dihadiri oleh Hj Aminolhuda Hassan (Amanah), Liew Chin Tong (DAP), Dr Shaharudin Salleh (PPBM) dan aku (Keadilan). Osman tidak ada dalam mesyuarat itu.

Muhyiddin Yassin dengan secara diplomasi tetapi tegas mahu nama Osman Sapian sahaja dikemukakan kepada Sultan Johor sebagai calon Menteri Besar. Tetapi aku membantah. Aku mencadangkan supaya nama Sallahuddin Ayob, Timbalan Presiden Amanah dan ADUN Simpang Jeram juga dikemukakan sebagai calon Menteri Besar. Muhyiddin akur walaupun nampak dia kurang senang. Mesyuarat itu berjalan pukul sembilan pagi.

Muhyiddin kemudian menemui Sultan Johor. Pukul 11 pagi kami bermesyuarat lagi selepas Muhyiddin pulang dari Istana. Muhyiddin memberitahu mesyuarat bahawa Sultan mahukan Osman Sapian sebagai Menteri Besar. Apabila mendengar penjelasan itu, aku tidak mendesak lagi untuk ketengahkan Salahudin Ayob sebagai calon Menteri Besar.

Episod ini amat menekan jiwaku. Untuk satu waktu yang genting, aku tidak menyokong Osman Sapian sahabatku sejak kecil sebagai calon Menteri Besar tetapi aku memilih orang lain. Adakah aku mengkhianati kawan baikku sendiri? Ketika itu, aku bercakap pada diri sendiri “bukannya aku tidak sayangkan Osman, tetapi aku sayangkan Johor lebih.” Macam dialog dalam Drama Julius Ceaser.

Osman tentu tahu ada kebuntuan pada pagi itu tentang calon Menteri Besar Johor. Dia pasti tahu aku tidak menyokong pencalonannya.

Aku rasa bersalah. Aku mungkin bukan seorang sahabat yang baik.Lebih tidak patut lagi, Osman banyak membantu aku berkempen di Parlimen Pasir Gudang di kawasan tempat aku bertanding dan beroleh kemenangan yang besar mengalahkan Dato’ Mohamed Khaled Nordin, bekas Menteri Besar Johor.

Osman Sapian adalah arkitek utama yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pasir Gudang pada hari Perdana Menteri Najib Razak mengisytiharkan pembubaran Parlimen. Satu perhimpunan besar pemimpin-pemimpin PH diadakan pada malam itu di Pasir Gudang untuk pengumuman rasmi bahawa keempat-empat parti politik dalam PH iaitu Amanah, DAP, PPBM dan Keadilan akan menggunakan satu logo yang sama iaitu logo Keadilan dalam PRU-14.

Selain Mahathir, Dr Wan Azizah Presiden Keadilan, Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP dan Mohamad Sabu, Presiden Amanah datang ke Parlimen Pasir Gudang tempat aku akan bertanding sebagai calon PH.

Osman memberitahu aku, dia memilih perhimpunan itu diadakan di Pasir Gudang untuk membantu aku. Kini sebaliknya, apabila timbul soal pencalonan Menteri Besar Johor, aku pula tidak memihak kepadanya. Bagaimana aku boleh menerangkan perkara ini kepada Osman?

Tetapi dua hari sebelum Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di Istana Bukir Serene di hadapan Sultan Johor, terdapat satu gerak langkah songsang untuk menyilang dan menghalang Osman dari diangkat menjadi Menteri Besar Johor.

Pada ketika itu aku membantah gerak langkah sedemikian. Mereka berusaha untuk menemui Sultan dan mengajak aku bersama. Aku katakan tidak. Aku tidak mahu terlibat dengan usaha untuk menggagalkan perlantikan Osman. Aku telah menerima hakikat bahawa Osman adalah pilihan Sultan dan aku akur kepada hakikat itu. Negara ini Malaysia dan negeri Johor mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Aku telah dijemput oleh Kerajaan Johor untuk menghadiri Majlis Angkat Sumpah Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor Ke-16. Aku sangat teruja untuk ke Istana untuk menyaksikan sahabat baikku mengangkat sumpah untuk menjadi Menteri Besar.

Aku mengajak isteriku untuk mencari pakaian rasmi Baju Melayu Teluk Belanga serba hitam.Aku biasanya memakai Baju Melayu Cekak Musang. Jadi kami pergi ke Jakel di Johor Bahru.

Keesokan paginya aku telah awal-awal sampai di Balairong Seri, Istana Bukit Serene, Johor Bahru dengan pakaian Melayu Johor serba hitam, laksana pahlawan.

Tekadku satu. Aku akan lawan sebarang usaha untuk menggagalkan perlantikan Osman Sapian di saat-saat akhir, walaupun di Istana. Apa nak jadi, jadilah, kata hatiku. Aku akan mempertahankan sahabatku Osman.

Kemudian Sultan Johor, Sultan Ibrahim pun sampai. Majlis pun akan bermula. Osman aku lihat sedikit pucat dan “nervous”. Dia menoleh ke belakang mencari aku. Mata kami bertemu. Aku memberi isyarat bahawa aku ada bersama dengannya.

Sejurus kemudian Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Johor itu pun selesai. Aku lega. Aku menyaksikan buat kali pertama sahabatku itu dijemput naik ke kereta rasmi Kereta Menteri Besar Kerajaan Johor yang berwarna hitam. Osman Sapian melambaikan tangan ke arah kami.

Pada saat itu, Osman Sapian mungkin tidak tahu ada usaha untuk menggagalkan perlantikannya.Rahsia ini tidak pernah aku ceritakan pada Osman.Hanya selepas sahabatku meninggal dunia, barulah aku dedahkan perkara ini.

Tenanglah sahabatku Osman di Alam Akhirat. Semoga rohmu dicucuri rahmat oleh Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan kamu ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

Al-Fatihah

HASSAN ABDUL KARIM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Johor.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

69 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
69
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x