Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PEMILIHAN UMNO SEBELUM PRU15 – BELUM TENTU ISMAIL SABRI MAMPU TEWASKAN ZAHID HAMIDI

Apabila Ismail Sabri Yaakob memperlekeh kemenangan cemerlang BN di PRN Melaka dengan mengatakan undi popular UMNO hanya meningkat 1 peratus saja pada pilihan raya tersebut, tujuan tersiratnya barangkali ialah untuk memberitahu kepimpinan UMNO yang ada sekarang tidaklah begitu bagus kemampuannya dalam mencipta kejayaan.

Tujuan lebih besar daripada itu tentunya ialah untuk menonjolkan dirinya sebagai calon Presiden UMNO, sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, bersekali dengan keinginan agar pemilihan parti harus diadakan sebelum PRU15 dilangsungkan.

Dengan itu, jika PRU15 diadakan bersama wajah baru kepimpinan UMNO, dipercayai bukan saja kemenangan lebih gemilang mampu dicapai, setidak-tidaknya tidaklah peningkatan undi popular hanya sekadar 1 peratus saja.

Di atas kertas, atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri mungkin dilihat tidak ada masalah untuk memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO, tidak kira siapa sekali pun lawannya.

Apatah lagi dengan kemungkinan paling besar lawannya nanti ialah Presiden UMNO sedia ada, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan hampir 100 pertuduhan di mahkamah, rata-rata percaya kemenangan senang-senang akan memihak kepadanya.

Isunya, benarkah jika Ismail Sabri melawan Zahid Hamidi, hanya “macam kacang” saja untuknya menewaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu?

Beberapa pemimpin UMNO peringkat bahagian yang diketahui sebagai penyokong Zahid Hamidi ketika ditanya pandangan mereka, amat mengalu-alukan jika Ismail Sabri berhasrat merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang ini.

Bagaimanapun, semuanya mengingatkan bahawa belum pasti Ismail Sabri begitu mudah mahu merampas jawatan tersebut daripada Zahid Hamidi.

Kata mereka, Zahid Hamidi diketahui sebagai pemimpin yang mempunyai kekuatan rantaian akar umbi di seluruh negara yang bermula sejak beliau menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia lagi.

“Ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, rantaian itu lebih besar dan kukuh lagi,” ujar mereka.

Sebaliknya, kata mereka, Ismail Sabri tiada kekuatan seperti itu, malah tidak pernah terdengar wujudnya “orang Ismail Sabri” dalam UMNO sebelum ini.

Ia bukan saja berbeza dengan Zahid Hamidi yang rantaian “orang Zahid Hamidi” ada di setiap bahagian di seluruh negara, malah Tun Abdullah Badawi, Najib Razak, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin misalnya, mereka juga mempunyai kelompok “orang masing-masing” yang boleh dikenali wajahnya.

Tetapi, tambah mereka, pernahkah kita dengar wujudnya “orang Ismail Sabri” di mana-mana bahagian UMNO?

Mereka menambah, “orang Ismail Sabri” dalam UMNO hanya ada sedikit-sedikit di sana sini atau ada yang muncul mengaku sebagai penyokongnya setelah beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Dengan kekurangan itu, tegas mereka, tidak mudah untuk Ismail Sabri mahu menjatuhkan Zahid Hamidi, tambahan lagi jika Najib Razak secara terbuka memberikan sokongannya kepada Presiden UMNO itu.

Faktor seterusnya, kata “orang-orang Zahid Hamidi” itu lagi, sebahagian besar ahli UMNO juga sedar, tujuan di sebalik Ismail Sabri yang disokong kluster kabinet untuk mengambil alih kepimpinan itu ialah hanya untuk membolehkan kerjasama parti dengan Bersatu dijalin semula.

Dalam PRN Melaka sendiri, jelas mereka, bukanlah rahsia lagi di mana Ismail Sabri telah mencuba sedaya upaya untuk membawa UMNO dan Bersatu saling bekerjasama, meskipun ia bertentangan dengan keputusan dan hasrat akar umbi melalui PAU2020 yang lalu.

Dengan hasrat Ismail Sabri bertanding jawatan Presiden UMNO itu yang memungkinkan mandat akar umbi melalui PAU2020 akan dicampakkan ke dalam tong sampah, tidaklah mudah, tegas mereka, untuk beliau melepasi halangan tersebut.

Begitu pun, kata mereka lagi, jika Ismail Sabti sedia dimalukan dengan dikalahkan bertanding atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, dipersilakanlh untuk meneruskan hasrat bertanding itu.

“Zahid Hamidi tidak rugi apa-apa, perjuangannya hanya untuk mempertahankan maruah akar umbi UMNO yang menolak sama sekali daripada bekerjasama dengan Bersatu,” ujar mereka. ShahbudinHusin 14/12/2021.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

67 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
67
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x