Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

IDRUS SENDIRI SALAH GUNA KUASA, TIDAK LAYAK JADI PEGUAM NEGARA – PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti siri tindakan Peguam Negra berhubung isu pendakwaan dan kehakiman baru-baru ini, termasuk kes YB Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lalu atas dakwaan salah guna kuasa.

Namun, seperti yang semua sedia maklum, hingga ke hari ini beliau masih tidak dibawa ke mahkamah.

Pada ketika itu, dilaporkan bahawa SPRM menunggu arahan Peguam Negara untuk mendakwa beliau.

Kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes ini selepas 6 bulan telah berlalu jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri menyalahgunakan kuasanya dengan melakukan pendakwaan berpilih yang bermotif politik.

Pada ketika YB Pasir Salak bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia, isu penahanan beliau oleh SPRM ini mungkin akan mewujudkan persepsi amat buruk terhadap negara.

Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang Duta Besar yang pernah ditahan Kerajaan sendiri atas dakwaan salah guna kuasa?

Kami meneliti isu ini bersekali dengan siri tindakan Peguam Negara, termasuk dalam membatalkan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen UMNO dari Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dari dakwaan rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.

Ahli perniagaan tersebut telahpun mengaku bersalah dan didenda kerana memberi sogokan kepada Tengku Adnan.

Majlis Presiden amat kesal bahawa sehingga hari ini, Peguam Negara masih belum lagi memberi sebarang penjelasan terhadap tindakan beliau ini.

Oleh itu, kami menggesa Peguam Negara untuk segera memberi penjelasan mengapa YB Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah.

Sekiranya beliau gagal mendakwa YB Pasir Salak, maka Peguam Negara tidak layak memegang jawatan penting ini.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

3 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x