Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

UMNO/PAS/BERSATU GAGAL DIELAK BERLAGA, ISMAIL SABRI DIANCAM BAHAYA

Orang yang paling susah hati dan tertekan jiwa raganya bila berlaku pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka ini tidak lain tentunya ialah Ismail Sabri Yaakob.

Beliau kini bukan saja gagal dalam usahanya memastikan tiga parti utama dalam kerajaan Keluarga Malaysia – UMNO, Pas dan Bersatu – tidak berlaga sesama sendiri, bahkan barangkali menyedari suaranya sebagai Perdana Menteri langsung tidak laku di mata kepimpinan UMNO.

Walaupun Presiden UMNO, Ahmad Zahid berada di di Jerman untuk rawatan tulang belakang, ketegasan pendiriannya untuk BN bertanding solo dan tidak bekerjasama dengan sesiapa sebagaimana dilafazkan lama sebelum ini lagi nampaknya kekal sebagai ketetapan rasmi.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Melaka bagi BN juga ternampak benar-benar sehati sejiwa dengan Zahid Hamidi dalam mempertahankan pendirian tidak mahu bekerjasama, baik dengan Pas mahu pun Bersatu.

Kini, dengan pertandingan tiga penjuru yang berlaku itu, selain wajah kepimpinan Ismail Sabri akan terus dibayangi awan hitam kegagalan yang sekaligus menampakkan ketidakwibaannya sebagai Perdana Menteri, beliau juga tentu sedang pening kepala sama ada mahu turun sama berkempen ke Melaka atau sebaliknya.

Kalau beliau turun berkempen untuk membantu calon UMNO, tambahan lagi di kawasan di mana UMNO berlawan dengan Pas atau Bersatu, tindakannya itu boleh saja mengundang rasa kecil hati kedua-dua parti yang bertanding atas tiket PN itu.

Sementara Bersatu dan Pas menyokongnya sebagai Perdana Menteri di peringkat pusat, tentulah ternampak tidak kena jika beliau berkempen untuk UMNO bagi mengalahkan calon kedua-dua parti itu.

Jika Ismail Sabri memilih turun berkempen untuk membantu Bersatu dan Pas atas keinginannya menjaga hati Mahiaddin Md Yasin dan Hadi Awang yang sama-sama mendokongnya sebagai Perdana Menteri, sudah pasti UMNO pula akan berasa hati.

Akan ada suara-suara yang mengecamnya atas jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO serta termenjadinya sebagai Perdana Menteri juga kerana adanya sokongan daripada UMNO.

Akhirnya, tentulah terlihat hodoh wajah seorang Perdana Menteri daripada UMNO, tetapi turun berkempen untuk parti lain yang sedang dibenci oleh UMNO sendiri.

Pilihan seterusnya ialah turun berkempen untuk UMNO dan turun juga membantu Pas dan Bersatu sebagai tindakan untuk menjaga hati semua.

Namun, pilihan ini akan mendedahkannya kepada bahan ketawa kerana tidak tidak masuk seorang Perdana Menteri membantu semua parti yang sedang bertembung sesama sendiri.

Mungkin dalam hal ini, jalan paling selamat bagi Ismail Sabri ialah beliau langsung tidak turun berkempen, baik untuk UMNO mahu pun untuk Pas dan juga Bersatu.

Dengan demikian, tiada sesiapa boleh berasa kecil hati terhadapnya.

Tetapi, jangan pula dilupa, atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri daripada UMNO, meskipun hanya berjawatan Naib Presiden, tidak turun berkempen dalam pilihanraya membantu parti sendiri boleh pula membuatkan akar umbi parti menjadi marah, kecil hati dan menganggapnya sebagai pemimpin yang tidak berguna.

Biasanya seseorang pemimpin itu, atas nama jawatan dan kedudukannya dalam kerajaanlah digunakan secara langsung dan tidak langsung untuk membantu parti menang dalam pilihanraya.

Apabila Ismail Sabri tidak datang membantu, kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas ini pastinya menjadi tidak dipedulikan lagi oleh UMNO.

UMNO lebih mungkin akan berkehendakan calon lain yang tidak ragu-ragu kepada parti sendiri sebagai Perdana Menteri.

Selepas itu, apabila keputusan PRN Melaka telah diketahui, sekali lagi ia juga memberi kesan kepada Ismail Sabri.

Jika UMNO dan BN menang, seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri dengan Ismail Sabri turut sama turun berkempen, hubungannya dengan Pas dan Bersatu tentu saja tidak lagi semesra dulu.

Silap-silap sebagaimana sebelum ini UMNO menjatuhkan Mahiaddin dengan gerakan diketuai Zahid Hamidi dan Najib Razak, kali ini Ismail Sabri pula yang bakal dijatuhkan oleh PN dengan Mahiaddin dan Hadi Awang pula berpakat bersama.

Walaupun ada yang berkata, perkara itu mustahil boleh berlaku, tetapi harus diingat, tiada benda yang mustahil dalam politik, lihat saja bagaimana UMNO dan Pas boleh berbaik semula setelah berpuluh tahun bergaduh sehingga mengenai akidah dan bagaimana Pas boleh bersama dengan Mahiaddin meskipun bekas Perdana Menteri itu pernah mengatakan Pas adalah parti ajaran sesat.

Kalau UMNO kalah dan gagal membentuk kerajaan negeri, Ismail Sabri tetap tidak terlepas daripada dihayun dan dipersalahkan oleh partinya sendiri.

Beliau akan ditohmah tidak cukup membantu atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri untuk memastikan kemenangan buat UMNO.

Lebih buruk lagi, jika kekalahan UMNO itu nanti disertai dengan tindakannya tidak datang membantu ketika kempen.

Begitu pun, jika BN menang di Melaka tanpa kelibat Ismail Sabri datang membantu kempen untuk UMNO, ini lagi bahaya buat masa depannya.

Bermakna, tanpa ada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri datang membantu pun, UMNO dan BN tetap boleh mencapai kemenangan.

Dengan sendirinya, beliau sudah tidak diperlukan lagi dalam UMNO dan pemimpin lain kemungkinan besar bakal ditonjolkan sebagai calon baru Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.

Menang atau kalah buat UMNO di Melaka ini dan sama ada Ismail Sabri turun berkempen atau tidak, kesan bahayanya tetap ada kepada masa depannya. – ShahbudinHusin 07/11/2021.

95 responses to “UMNO/PAS/BERSATU GAGAL DIELAK BERLAGA, ISMAIL SABRI DIANCAM BAHAYA”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *