Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SETELAH RENTAS NEGERI SUDAH DIBUKA, TIDAK LOGIK LAGI ISMAIL SABRI MAHU DARURATKAN PRN MELAKA

Sama ada PRN Melaka akan diadakan atau tidak, semuanya masih lagi menjadi tanda tanya dan tiada jawapan yang pasti.

Mengikut rentetan yang berlaku, meskipun DUN Melaka telah dibubarkan, tetapi timbul pula desakan agar PRN Melaka didaruratkan berikutan kebimbangan angka kes Covid19 akan meningkat semula jika pilihanraya diadakan.

Paling kuat mendesak agar PRN ditangguhkan melalui penguatkuasaan darurat ialah UMNO, walaupun yang memohon pembubaran DUN Melaka kepada TYT Ali Rustam adalah Ketua Menteri daripada UMNO juga setelah empat Adun bertindak menarik sokongan terhadapnya.

Sebagaimana yang disebut Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu, meskipun DUN Melaka telah dibubarkan dan timbul desakan agar darurat dilaksanakan, tetapi beliau mengambil pendirian bahawa kerajaan hanya akan membuat keputusan berkenaan perkara itu pada minggu ini.

Katanya, minggu ini akan diputuskan sama ada kerajaan perlu menasihatkan Raja Nazrin Shah tentang keperluan darurat dilaksanakan atau sebaliknya di Melaka.

Menurut Ismail Sabri lagi, tempoh seminggu diperlukan sebelum membuat keputusan itu ialah bagi membolehkan Pemangku Yang Dipertuan Agong, Raja Nazrin Shah mendapat taklimat Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan SPR terlebih dahulu.

“Jadi kita tunggu selepas taklimat kepada Pemangku Yang Dipertuan Agong dan Kabinet akan buat keputusan selepas itu,” tambahnya.

Untuk itu, mesyuarat kabinet Jumaat ini akan menjadi penantian sama ada kerajaan akan mengisytiharkan darurat bagi tujuan menangguhkan PRN Melaka atau pun tidak.

Jika tiada darurat, maka PRN Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN negeri itu dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

Tetapi, jika kita teliti semua perkembangan yang berlaku, baik yang terkait dengan secara langsung atau tidak langsung dengan kemelut politik di Melaka, sebenarnya tiada keperluan sama sekali untuk menangguhkan PRN negeri itu.

Pertama, oleh kerana DUN Melaka telah dibubarkan, maka tiada pilihan lain lagi bagi kerajaan selain keperluan mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran diwartakan.

Mengisytiharkan darurat oleh kerajaan yang dipimpin oleh UMNO setelah pembubaran juga dinasihatkan oleh kerajaan negeri UMNO kepada TYT Melaka, ia tidak lain menggambarkan ketidaktetapan dalam pendirian yang telah diputuskan.

Hal lain, ia juga menunjukkan rasa ketakutan UMNO untuk berdepan PRN setelah mereka sendiri mahu PRN diadakan.

Dalam hal ini, Ismail Sabri sepatutnya terus saja memberi laluan atau arahan kepada SPR untuk menetapkan tarikh pilihanraya, sambil menggesa ditetapkan SOP sewajarnya berkaitan kempen dan mengundi bersama dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Dan tidak perlu juga sampai menyusahkan Timbalan Yang Dipertuan untuk baginda terlibat sama dalam soal politik sehingga perlu mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan SPR berkaitan hal ini.

Kerajaan seharusnya jalan terus saja untuk mengadakan PRN sesuai dengan DUN Melaka yang sudah pun dibubarkan itu.

Kedua, kebenaran rentas negeri sudah dibenarkan di seluruh negara bermula 11 Oktober lalu dan kini sesiapa saja boleh bergerak ke mana-mana tanpa sekatan lagi.

Dengan kebebasan rentas negeri itu, semua aktiviti kehidupan rakyat boleh dikata sudah bebas dan tiada lagi sebarang larangan.

Dalam erti kata kain, bersama kebenaran rentas negeri dan pergerakan rakyat yang tidak terhalang itu, sudah tentu tidak munasabah lagi untuk menghalang PRN Melaka daripada diadakan.

Tidakkah lawak jadinya bilamana sementara rakyat dibebaskan bergerak, bebas pergi ke mana-mana dan bebas berjumpa dengan sesiapa saja, tetapi dalam waktu yang sama didaruratkan untuk berpilihanraya?

Apa ertinya kebebasan yang diberi itu jika darurat masih mahu digunakan untuk menyekat kebebasan?

Ketiga, jika darurat juga yang akhirnya menjadi pilihan, apa bezanya Ismail Sabri dengan Mahiaddin? – ShahbudinHusin 13/10/2021.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

70 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
70
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x