Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DUA SOALAN MUDAH UNTUK NAJIB

Sehari dua ini nampaknya sibuk benar Najib Razak mempertahankan diri dan keluarganya berhubung isu ubahsuai Seri Perdana.

Bermula dengan mengkritik Mahiaddin Md Yasin kerana meluluskan ubahsuai Seri Perdana sebanyak RM38.5 juta ketika wabak Covid19 sedang melanda negara, kaitan yang ditimbulkan selepas itu memaksa beliau lebih banyak mempertahankan dirinya.

Ia berikutan kenyataan Mahiaddin berkaitan perlunya ubahsuai itu dilakukan yang antaranya adalah disebabkan ada perabot di Seri Perdana telah dibawa keluar oleh Najib atas alasan ia milik peribadinya.

Kemudian, bertebaran pula di media sosial beberapa keping gambar yang memperlihatkan keadaan di Seri Perdana sebelum diubahsuai yang antara lain menunjukkan lantai yang sudah rosak, usang dan ditakungi air.

Tidak cukup dengan itu, ditimbulkan juga kembali berkenaan dakwaan yang pernah timbul pada 2010 lalu tentang kos ubahsuai Seri Perdana sebanyak RM65 juta.

Najib adalah Perdana Menteri ketika itu.

Pada umumnya, semua persoalan yang berlegar di media sosial, baik berkaitan perabot yang dibawanya keluar atau ubahsuai Seri Perdana sebanyak RM65 juta ketika pemerintahannya itu, ianya telah dijawab dan dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri itu melalui laman sosialnya.

Sambil memberi penjelasan, tidak lupa Najib terus menyerang Mahiaddin berkaitan ubahsuai itu, termasuk mempertikai tujuan melakukannya jika tiada niat untuk mendiami Seri Perdana.

Berkaitan ubahsuai RM65 juta itu, Najib menegaskan bahawa ia tidak pernah berlaku dan timbul kerana salah faham DAP terhadap Bajet 2011 ketika itu.

Seterusnya, Najib merayu agar janganlah dirinya difitnah lagi dengan tohmahan ubahsuai sebanyak RM65 juta itu.

Tambahan lagi, sebagaimana kita semua sedar, tidak pernah sama sekali didedahkan sehingga ini, baik melalui kenyataan rasmi kerajaan atau jawapan di Parlimen berhubung ubahsuai sebanyak RM65 juta itu.

Ada ada tidak ubahsuai dilakukan Najib itu kekal misteri sehingga kini.

Begitu pun, melalui gambaran yang diberi oleh beberapa kenalan yang pernah berkunjung ke Seri Perdana sewaktu Tun Abdullah Badawi dan Najib menjadi Perdana Menteri, semuanya menyatakan dengan pasti ada perbezaan dari segi hiasan dalaman dan perabot di kediaman itu.

Kata mereka, ketika Najib menduduki Seri Perdana selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, keadaannya begitu jauh berbeza dengan ketika ia didiami oleh Tun Abdullah sebelum itu.

Antara perbezaan yang diingati mereka ialah dari segi warna hiasan dalaman, pilihan perabot dan lampu-lampu.

Dalam hal ini, Najib sendiri dalam penjelasannya tidak pernah menyatakan secara jelas atau berterus-terang tentang sama ada pernah melakukan ubahsuai atau pun tidak sebelum beliau menduduki Seri Perdana.

Yang dinyatakan olehnya hanyalah ubahsuai sebanyak RM65 juta itu sebagai fitnah dan tidak benar.

Jadi, ada dua soalan di sini buat Najib – pertama, pernah atau tidak beliau melakukan ubahsuai Seri Perdana selepas menjadi Perdana Menteri pada 2009 dan kedua, jika ada ubahsuai dilakukan, berapakah kos penggunaan dana kerajaan yang digunakan untuk kerja-kerja itu?

Rasa-rasanya tidak susah untuk Najib menjawab dua soalan mudah ini. – ShahbudinHusin 01/10/2021.

5 3 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

155 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
155
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x