Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TPM – JIKA BERSATU CALONKAN AZMIN, TIDAK BERETIKA UNTUK ISMAIL SABRI MENOLAKNYA

Nama Azmin Ali semakin hangat disebut-sebut sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri untuk digandingkan dengan Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui negara.

Meskipun keputusan melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak mutlak Ismail Sabri selaku Perdana Menteri, maklumat daripada pelbagai pihak dalam Bersatu mengesahkan hampir pasti nama beliau akan dicalonkan bagi jawatan tersebut oleh parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin itu.

Di sebalik empat nama disebut-sebut dan berminat bagi jawatan nombor dua itu – Azmin, Hamzah Zainuddin dan Redzuan Mohd Yusof dan Ahmad Faizal Azumu atau Peja – perkembangan setakat ini memperlihatkan Ahli Parlimen Gombak itu sedang mendahului carta persaingan.

Dikatakan juga, Mahiaddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi PN sendiri lebih cenderung dan berminat untuk meletakkan Azmin bagi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

Azmin, Hamzah dan Redzuan berjawatan menteri sebelum ini, manakala Ahmad Faizal adalah Timbalan Presiden Bersatu.

Dalam perjumpaan antara pemimpin Bersatu baru-baru ini, isu pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah antara topik yang diperbincangkan dengan panjang lebar.

Rata-rata yang hadir bersetuju, di sebalik ada empat calon yang berminat, tetapi Bersatu harus mencalonkan hanya satu nama saja kepada Ismail Sabri.

Tujuan mengemukakan satu nama itu adalah untuk memperlihatkan Bersatu tiada perpecahan, selain agar Ismail Sabri tidak boleh berdalih untuk menolak atau memilih calon lain.

Seorang pemimpin Bersatu yang sejak awal bersama parti itu ketika dihubungi selepas perjumpaan tersebut tanpa ragu-ragu menyatakan Azmin akan diputuskan sebulat suara untuk dicadangkan kepada Perdana Menteri bagi diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Lagi pun kita percaya Azmin sebagai menteri kanan era Mahiaddin adalah gandingan terbaik untuk dipasangkan dengan Ismail Sabri bagi menerajui negara ini,” kata pemimpin Bersatu itu lagi.

Dengan perkembangan ini, sekiranya tiada apa-apa perubahan di saat-saat akhir, dalam susunan kabinet yang akan diumumkan Ismail Sabri minggu ini, akan tercatatlah nama Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dengan kedudukan gabungan PN memiliki 50 kerusi Parlimen, Ismail Sabri tidak seharusnya cuba menolak nama yang dicalonkan Bersatu itu nanti, meskipun UMNO secara umumnya agak kurang senang dengan Azmin, khususnya dalam isu berkaitan video Haziq.

Jika Ismail Sabri menolak nama Azmin, ia bermakna beliau tidak menghormati serta mengenang jasa Bersatu dan PN yang merupakan penyumbang kerusi terbesar menjadikannya berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Sudahlah Mahiaddin sedia meletakkan jawatan dan menyokong Ismail Sabri sebagai penggantinya yang sekaligus menjadikan UMNO mendapat kembali kerusi Perdana Menteri yang hilang dalam PRU14 lalu, maka amatlah tidak wajar dan tiada etika jika beliau tidak sedia membalas budi baik itu dengan sekadar menggantikannya dengan jawatan lebih rendah iaitu Timbalan Perdana Menteri kepada Bersatu.

Lagi pun, lihatlah juga bagaimana Mahiaddin begitu murah hati memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO sebelum ini dalam keadaan UMNO tidak meminta dan tidak mencalonkan sesiapa bagi jawatan itu.

Maka, jika Bersatu sudah mencalonkan nama Azmin, tidak sepatutnya lagi ada dolak-dalik dalam pertimbangan Ismail Sabri untuk memutuskannya.

Tambahan pula, jika Ismail Sabri mahu benar-benar selamat dalam undi percaya di Parlimen nanti, melantik Azmin adalah pilihan yang tidak boleh sama sekali untuk ditolak. – ShahbudinHusin 25/08/2021.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

146 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
146
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x