Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JENAMA PN MESTI DIKEKALKAN SEBAGAI KERAJAAN, BERTUKAR PEMANDU TIDAK MENUKAR TOYOTA MENJADI MERCEDES

Hanya beberapa jam setelah Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah dan belum pun beliau masuk ke pejabat Perdana Menteri, perbalahan antara UMNO dan Bersatu sudah pun lebih dulu mengambil tempatnya.

Ia bermula dengan kunjungan Ismail Sabri ke kediaman bekas bossnya, Mahiaddin Md Yasin petang semalam dan kemudian bekas Perdana Menteri itu memuatnaik di laman sosialnya berkenaan perkara tersebut beserta beberapa keping gambar mereka berdua.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri serta mendoakan kejayaannya mengemudi negara, Mahiaddin juga berjanji untuk memberi sokongan penuh dan akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional atau PN memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Pada asasnya tiada apa-apa yang salah daripada apa yang dimuatnaik Mahiaddin itu dan lafaz katanya kepada Ismail Sabri itu boleh dikata biasa-biasa saja.

Tidak ada apa-apa yang luar biasa langsung daripadanya.

Rupa-rupanya sebutan Mahiaddin mengenai nama kerajaan Perikatan Nasional dalam kenyataannya itu telah membuatkan rasa tidak senang pelbagai pihak dalam UMNO.

Setakat ini, dua pemimpin UMNO – Setiausaha Agung, Ahmad Maslan dan ahli MT, Abdul Rahman Dahlan benar-benar tidak senang dengan nama Perikatan Nasional yang disebut Mahiaddin itu dan mereka seolah-olah mahu nama PN dipadamkan terus sebaik saja Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

Nampaknya merampas kerusi Perdana Menteri belum cukup memberi klimaks kepada nafsu rakus UMNO di mana mereka kini mahu nama PN pula dihapuskan terus.

Kata Ahmad Maslan, kerajaan baru ini adalah kerajaam campuran antara BN, PN, GPS dan PBS.

“PN hanya dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan tidak BN, GPS dan PBS,” katanya.

Secara tersiratnya, maksud Ahmad Maslan itu, selain kerana kerajaan kini diketuai BN, jumlah kerusi bukan PN juga lebih banyak daripada yang dimiliki oleh gabungan PN, maka tidak sesuai lagi ia dinamakan sebagai kerajaan PN.

Sementara Abdul Rahman berkata, jenama PN sebagai kerajaan persekutuan telah pun berakhir sebaik saja Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya, BN bukan pun anggota komponen PN.

Di media sosial pula, mereka yang pro UMNO turut membidas kenyataan Mahiaddin itu dengan pelbagai hujah serta alasan.

Yang nyata, selain tidak setuju dan terus menolak Mahiaddin, UMNO serta BN seperti tidak mahu lagi dikaitkan dengan PN.

Apa pendirian Ismail Sabri dalam hal ini belum lagi diketahui, tetapi oleh kerana PN merupakan blok terbesar dalam kerajaan sekarang iaitu 50 kerusi Parlimen, malah Naib Presiden UMNO itu sendiri sebelum diketahui pro PN dan tidak setia dengan ketetapan MT, logiknya nama PN itu lebih munasabah untuk terus dikekalkan.

Kalau ditukar kepada nama lain, bagaimana jika 50 kerusi PN itu tidak setuju dan menarik sokongan mereka?

Lagi pun, yang bertukar hanyalah kepala keretapi saja, segala gerabak buruk di belakangnya masih sama dengan gerabak kerajaan lama sebelum ini.

Selagi gerabak lama itu kekal, apa lagi jika lantikan menteri-menteri nanti adalah majoritinya “jenis surat khabar lama” yang pernah berada dalam kabinet Mahiaddin sebelum ini, memang kerajaan selepas ini lebih sesuai dikekalkan dengan nama kerajaan PN.

Tambahan lagi, dengan Ismail Sabri mengunjungi kediaman Mahiaddin lebih dulu, bukan rumah Zahid Hamidi atau Najib Razak mesejnya adalah jelas beliau lebih terhutang budi kepada Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu berbanding yang lain-lainnya.

Di hati Ismail Sabri sendiri rasa-rasanya mengekalkan nama PN lebih mendamaikan hatinya berbanding menukar kepada nama lain, kecuali jika beliau ingin mewujudkan kerajaan perpaduan yang melibatkan parti-parti pembangkang dalam susunan kabinetnya.

Selagi kerajaannya nanti kekal dengan sokongan 114 Ahli Parlimen, sama dengan SD yang dimiliki Mahiaddin sebelum mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 dulu, terimalah hakikat bahawa sekadar menukar pemandu kereta tidak sesekali menjadikan Toyota sekelip mana menjadi Mercedes. (ShahbudinHusin 22/08/2021)

5 3 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

113 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
113
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x