Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ROS SAH ALAT POLITIK, NYAWA UMNO HANYA DAPAT DISELAMATKAN JIKA REGIM MAHIADDIN SEGERA DITAMATKAN

Mula-mula Pendaftar Pertubuhan atau RoS mengeluarkan kenyataan media bahawa penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan yang diputuskan parti itu sebagai tidak sah.

Ia berikutan, kata RoS, ia diputuskan oleh MT ketika pemegang jawatannya telah tamat tempoh iaitu selepas 30 Jun 2021.

Meskipun Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan menafikan perkara itu, sambil membutirkan sepenuhnya kronologi peristiwa yang menunjukkan keputusan itu sebenarnya dibuat pada 18 Jun serta pemaklumannya dihantar kepada RoS pada 24 Jun, selain pada Isnin, 9 Ogos lalu, beliau turut menghantar semua dokumen lengkap berkaitan kepada agensi berkenaan, namun matlamat mencari salah UMNO nampaknya tetap diteruskan.

Kali ini RoS menyatakan, kedudukan pemegang jawatan dalam UMNO selepas 30 Jun hanyalah bersifat caretaker saja.

Bermakna, selepas tarikh itu, menurut RoS lagi, hanya tugas-tugas pentadbiran yang dibenar dilaksanakan oleh pemegang jawatan dalam UMNO, tetapi tidak melibatkan soal dasar seperti menarik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin dan kerajaan PN.

Dengan sendirinya, keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Mahiaddin pada 7 Julai dan menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada 3 Ogos lalu adalah tidak sah di mata RoS.

Maka adalah difahami bahawa keputusan RoS itu bukanlah sangat menunjukkan ia merupakan keinginan RoS, tetapi itu adalah keinginan sebenar Mahiaddin dan mereka yang sedang mencatur kuasa dalam kerajaan PN.

Untuk lagi mudah difahami, bermakna RoS telah diperalat dan menjadi alat kepada Mahiadddin dan kerajaan PN untuk melemahkan UMNO, seterusnya mengekalkan kekuasaan di tangan mereka.

Sepatutnya, sementara RoS meneliti segala surat dan dokumen yang dihantar Ahmad Maslan pada Isnin lalu, ia tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan terbuka yang bersifat memihak seperti kedudukan pemegang jawatan dalam UMNO hanya bersifat caretaker saja.

Bagaimana jika bukti yang ditunjukkan UMNO adalah kukuh dan ia telah mematuhi segala peraturan dalam memunda pemilihan selama 18 bulan itu?

Di mana RoS mahu meletak mula senget sebelah mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang seharusnya mesti berteraskan keadilan dan peraturan?

Begitu pun, ini bukanlah kali pertama RoS diperalatkan untuk kepentingan politik mereka yang berkuasa.

Ketika era BN dahulu, ia juga berperanan memihak kepada kerajaan semasa berkaitan pendaftaran Bersatu yang menghadapi pelbagai masalah, hinggakan nama Bersatu pun tidak dibenar untuk digunakan.

Mematuhi kehendak RoS itu, akhirnya nama PPBM telah digunakan dan hanya setelah BN tumbang dan PH berjaya menjadi kerajaan, barulah nama Bersatu dibenar untuk digunakan semula.

Apa yang dialami UMNO sekarang sepertinya suatu balas dendam daripada Bersatu terhadap parti itu.

Dulu Bersatu mahu menumbangkan UMNO, lalu RoS diperalatkan untuk menekan Bersatu dengan harapan kejatuhan kerajaan dapat dielakkan, namun barangkali, tekanan itulah yang menjadi salah satu sebab rakyat lebih bangkit untuk mengakhiri era BN pada PRU 2018 lalu.

Kini Bersatu pula mengetuai kerajaan dan UMNO sedang berusaha mahu menumbangkan kerajaan, maka sekali lagi RoS dipergunakan untuk menekan serta melemahkan musuh kerajaan.

Oleh kerana Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang bertanggungjawab kepada RoS adalah juga Setiausaha Agung Bersatu, apa yang berlaku kepada UMNO sekarang ini bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Lumrah telah ditunjukkan bahawa baik UMNO atau Bersatu yang mengetuai kerajaan, tekanan kepada musuh dengan menggunakan jentera kerajaan adalah suatu keseronokan bagi mereka memperalatkannya.

Namun demikian, dalam situasi yang begitu menekan sekarang, tidak banyak pilihan ada di tangan UMNO, khususnya buat Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Pemimpin UMNO yang pro kerajaan PN dan Mahiaddin mungkin gembira dengan tekanan RoS itu kerana ia memberi ruang untuk mereka terus berlama-lama lagi mengaut nikmat kehidupan sebagai menteri dalam kerajaan.

Risiko sama ada UMNO dilemahkan atau diharamkan sekali pun barangkali tidaklah sepenting keghairahan mengekalkan jawatan sedia ada yang masing-masing pegang ketika ini.

Sebab itu, semua mereka senyap sunyi tidak berbunyi apa-apa bagai merestui saja tindakan RoS itu, meski hakikatnya sebahagian mereka tahu bila sebenarnya MT UMNO bermesyuarat membuat ketetapan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan itu.

Tetapi, bagi bagi kelompok UMNO yang telah membuat ketetapan muktamad menolak Mahiaddin serta masih sayang kepada parti tersebut, dengan sikap yang ditunjukkan oleh RoS sekarang ini, hanya satu saja pilihan yang tinggal di tangan mereka bagi memastikan masa depan UMNO tidak terus dikafankan.

Ia tidak lain dengan mengukuhkan lagi iltizam untuk menumbangkan Mahiaddin dan PN secepat mungkin – jika boleh – sebelum terbit matahari pagi pada esok hari.

Hanya dengan segera menamatkan regim Mahiaddin ini, itulah satu-satunya jalan untuk UMNO dapat diselamatkan dan RoS ketika itu akan terjumpa semula jalan pulang ke pangkal kebenaran. (ShahbudinHusin 11/08/2021)

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

115 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
115
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x