Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PELAN PEMULIHAN SIAP DALAM DUA HARI DAN TIBA2 SETUJU BUKA PARLIMEN PADA OKTOBER TANDA MAHIADDIN SEDANG ‘TERDESAK GILER’

Dalam langkah terdesak gilernya menjelang Majlis Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang esok, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin petang ini menjanjikan untuk membenarkan Parlimen bersidang pada September atau Oktober depan.

Dalam pengumuman secara langsung melalui TV ke seluruh negara, Mahiaddin berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara pada bulan September atau Oktober.

“Saya ingin memberikan komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam fasa ini iaitu setelah kes-kes Covid19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti kelompok,” ujarnya lagi.

Sebagaimana Pelan Pemulihan Negara ini adalah langkah terdesak Mahiaddin kerana ia baru saja diumumkannya pada 13 Jun dan tiba-tiba sudah siap untuk dibentangkan pada hari ini, 15 Jun iaitu hanya dua hari, menjanjikan membuka Parlimen juga merupakan satu lagi langkah terdesaknya untuk menyelamatkan diri daripada dahan kuasa tempatnya berpaut yang semakin rapuh.

Yang nyata, hanya setelah Yang Dipertuan Agong mengambil inisiatif mendapatkan pandangan ketua-ketua parti dan akan membawa semua dapatan itu dalam Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja, ternampak barulah Mahiaddin terbuka mata dan minda dengan pelan pemulihannya.

Selama ini apa kerja dan apa yang difikirkannya?

Jika tidak ada inisiatif Agong itu, beliau sepertinya akan terus buat bodoh saja tentang segala kritikan, teguran dan pandangan pelbagai pihak berkenaan masalah dalam negara serta kegagalan dan kelembapannya dalam mengurus negara ketika pandemik Covid19 ini sedang melanda.

Lebih-lebih lagi berkaitan membenarkan Parlimen bersidang, Mahiaddin bukan saja selama ini mendiamkan diri dan enggan melayan sebarang desakan, bahkan pengampu-pengampunya seperti Speaker Parlimen, Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan, mereka ini sentiasa saja menampilkan hujah tertentu yang kadangkala kelakar dan tak masuk akal bagi mengelak Parlimen dibuka.

Agaknya, jika Agong tidak mengambil inisiatif memanggil menghadap ketua-ketua parti, jangankan mahu berjanji untuk membuka Parlimen, membentangkan apa-apa pelan pun barangkali tak bersambung sel-sel otak beliau untuk sampai berfikir ke arah itu.

Soalnya, apa benda pelan pemulihan yang hanya seolah-olah dirangka dalam tempoh dua hari dan dibentangkan petang tadi?

Adakah ia Pelan Pemulihan Negara atau Pelan Kelentong Luar Biasa yang dirangka semata-mata untuk menyelamatkan jawatannya?

Melihat keseluruhan penyampaiannya dalam pembentangan Pelan Pemulihan Negara tadi, jelas ia hanya merupakan langkah terdesak beliau untuk menunjukkan dirinya sedang berbuat sesuatu untuk negara ini.

Langkah menunjuk diri ini bukan saja ditujukan kepada rakyat, tetapi juga kepada Agong dan Raja-Raja.

Tetapi, jika diperhati keseluruhan apa yang dibentangkannya tadi iaitu sehingga empat fasa pelan pemulihan yang dirangkanya, semuanya ke arah membawa lebih kesusahan dan kesengsaraan kepada rakyat.

Maknanya, sehingga hujung tahun kita semua akan terus terbelenggu dengan kehidupan terkurung sebegini.

Apakah ia lebih baik berbanding jika melaksanakan penutupan sepenuhnya semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari atau sebulan misalnya pada permulaan PKP penuh sebelum ini?

Menetapkan fasa demi fasa sebenarnya hanya helah Mahiaddin untuk mendapat simpati dan ihsan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, sambil ingin bermain masa, agar beliau terus diberikan peluang lebih lama menjadi sebagai Perdana Menteri.

Janjinya untuk membenarkan Parlimen dibuka pada bulan September atau Oktober jelas menampakkan helahnya untuk maksud yang sama.

Tambahan lagi, janji itu turut disertai dengan kiranya angka kes harian menurun di bawah 2,000 sehari.

Isunya kenapa menjelang September atau Oktober baru Parlimen mahu dibuka dan mengapa tidak sekarang?

Apa guna semua Ahli Parlimen sudah menerima suntikan vaksin jika mereka tidak dibenarkan bersidang, sedangkan kilang dan syarikat yang ada beribu pekerja dibenarkan beroperasi tanpa mengambil kira pekerjanya sudah disuntik vaksin atau tidak?

Jika kes harian tidak menurun sehingga 2,000 sebagai syarat untuk Parlimen dibuka menjelang September atau Oktober, apa pula nanti akan berlaku?

Tidak munasabah langsung sebenarnya untuk Mahiaddin berjanji Parlimen hanya boleh dibuka pada Oktober, malah ia tidak ubah seperti janji manis sang buaya untuk memikat hati anak dara.

Berdasarkan semua hakikat yang ada di depan mata, baik kandungan pelan pemulihan atau janji membuka Parlimen, kerajaan PN dan Mahiaddin yang gagal ini tidak harus diberi lanjutan masa lagi untuk terus menguasai Putrajaya.

Mereka sudah gagal dan apa pelan atau janji sekali pun yang cuba dikemukakan, semuanya hanya mampu menuju kepada satu arah – kegagalan yang lebih besar lagi. (ShahbudinHusin 15/06/2021)

5 6 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

61 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
61
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x