Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PN SEBAGAI #KERAJAANGAGAL BUKAN SAJA MEMBUATKAN RAKYAT SENGSARA, TAPI JUGA MEMALUKAN AGONG SELAKU KETUA NEGARA

Dua hari lalu saya telah menulis berkenaan perlunya ketua-ketua parti yang dijemput mengadap Yang Dipertuan Agong agar menggunakan peluang tersebut untuk berterus-terang mengenai kegagalan kerajaan PN mentadbir negara ini.

Kegagalan PN dalam mengurus negara bukan saja harus ditekankan dalam konteks gagal menangani Covid19 dan menjadikan proklamasi darurat sebagai sia-sia, tetapi juga berkaitan kegagalan memulihkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Yang lebih buruk, proklamasi darurat yang pada mulanya diwar-warkan agar usaha lebih berkesan dapat diambil untuk menangani Covid19, yang terjadi akhirnya ia lebih dipergunakan untuk mempertahankan kuasa semata-mata.

Sebab itu, walaupun Agong ada bertitah tiada masalah Parlimen dibenarkan bersidang ketika tempoh darurat berkuatkuasa, kerajaan langsung tidak memperdulikannya seolah-olah cuba menderhaka dalam diam terhadap baginda.

Ini sesuatu yang sungguh memalukan dan menyerlahkan tujuan dan maksud sebenar darurat dicadangkan oleh Mahiaddin Md Yasin untuk diperkenankan oleh Agong.

Dalam hal berkaitan, ketua-ketua parti dalam PH yang mengadap Agong semalam diberitakan dengan jelas dan sepakat telah mengangkat maklum tentang gagalnya kerajaan PN selama ini.

Baik Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu atau Lim Guan Eng, mereka telah menyampaikan pandangan tentang kesuraman ekonomi, Covid19 yang masih membelenggu, bantuan untuk rakyat yang susah, keperluan bantuan ekonomi yang lebih besar, proses vaksinasi yang perlahan serta pentingnya Parlimen dibenarkan bersidang.

Semua yang ditekankan itu adalah merupakan faktor kegagalan PN dalam mengurus negara sehingga rakyat jadi sengsara dan terbelenggu kehidupan tanpa kesudahan yang pasti.

Meskipun tidak diletakkan harapan yang terlalu tinggi, adalah menjadi harapan dengan kesepakatan dan bersatu hati ketua-ketua parti bercakap tentang kegagalan PN itu akhirnya akan membuka jalan untuk Agong melakukan sesuatu yang terbaik untuk negara ini.

Dengan kegagalan yang berterusan dan berpanjangan itu, tiada lain penyelesaian yang munasabah melainkan melakukan perubahan dalam pentadbiran negara.

Tanpa perubahan, kerajaan gagal ini akan terus menompokkan lagi kegagalannya dan akhirnya rakyat juga yang akan menanggung sengsara yang tiada kesudahan.

Sudahnya, apabila rakyat sengsara, negara akan jadi musnah dan ia sudah tentu akan memalukan Agong sendiri sebagai ketua negara yang memayungi rakyat seluruhnya.

Begitu pun, jika kita memahami mengapa Agong mengambil pendekatan ingin bertemu dengan ketua-ketua parti dan kemudian membawa semua hasil pertemuan itu dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 16 Jun akan datang, ia dengan sendirinya bermakna PN dan Mahiaddin memang telah gagal mengurus negara ini.

Jika tidak kerana kegagalan PN, untuk apa Agong perlu bertemu dengan ketua-ketua parti meminta pandangan?

Bukankah Agong sepatutnya hanya berurusan dengan kerajaan yang sedang mengurus negara saja?

Apa pun, pendekatan Agong yang luar biasa itu sebenarnya lebih menyerlahkan keprihatinan dan ambil berat baginda tentang keadaan negara serta nasib rakyat yang sedang susah serta sengsara akibat kegagalan kerajaan sejak lebih setahun yang lalu.

Usaha baginda itu bukan saja harus dipuji dan disanjung, malah wajib disertai dengan pengharapan serta doa agar muncul sesuatu perubahan yang menggembirakan rakyat, seterusnya mengeluarkan negara daripada kegagalan ini.

Harapan rakyat hanya mahu keluar daripada kesengsaraan dan Agong tidak terus dimalukan dengan kegagalan PN yang sepatutnya boleh dielakkan jika Mahiaddin berlapang dada berundur lebih awal lantaran beliau sebenarnya tidak mampu dan tiada keupayaan sama sekali sebagai Perdana Menteri. (ShahbudinHusin 10/06/2021)

4.1 10 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

93 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
93
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x