Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PEMECATAN TAJUDDIN BELUM CUKUP UNTUK MEMBUATKAN RAKYAT MALAYSIA BENAR-BENAR GEMBIRA

Memang tidak dinafikan ramai yang bersorak dengan berita pemecatan Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatannnya sebagai Pengerusi Prasarana Bhd baru-baru ini.

Tindakannya cuba bergurau secara berlebihan dalam sidang media berkaitan tragedi perlanggaran tren LRT bukan saja dilihat tidak wajar, malah dianggap mengarut.

Beliau seolah-olah tiada rasa simpati terhadap mangsa tragedi dan dengan itu disifatkan sebagai gagal sebagai peneraju Prasarana.

Tetapi, jika sikap Tajuddin yang mengarut dan dianggap gagal itu merupakan asas pemecatannya, kerajaan tidak seharusnya berhenti setakat ini saja.

Ramai lagi yang lebih mengarut daripada Tajuddin harus juga diambil tindakan pecat yang sama.

Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba sejak awal perlantikannya lagi sudah pun menunjukkan ciri-ciri mengarut dengan mencadangkan minum air suam untuk membunuh virus Covid19.

Petuanya itu kemudian disanggah oleh hampir semua doktor dan pakar kesihatan, malah oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau seterusnya mengarut lagi dengan mengatakan negeri di Malaysia ada 15 buah dan jumlah negara di seluruh dunia adalah 500 semuanya.

Kalau mahu dibandingkan antara Tajuddin dengan Dr. Adham, siapakah yang lebih mengarut?

Menteri Agama, Dr. Zulkifli al-Bakri tidak kurang mengarutnya kerana didapati beberapa kali melanggar SOP PKP serta menjadi kecaman ramai berdasarkan gambar-gambarnya yang tular di media sosial.

Sebagai Menteri Agama yang sepatutnya menjaga soal dasar berkaitan kemajuan Islam di negara ini, Dr. Zulkifli juga dianggap mengarut kenapa lebih ghairah menikahkan selebriti dan menghadiri majlis tahnik anak artis ternama.

Perlakuannya itu membuatkan ramai yang menggelarkannya sebagai Menteri Nikah Kahwin sebagaimana watak yang pernah ditampilkan oleh Allahyarham Seniman P. Ramlee dalam filem Musang Berjanggut.

Selain itu, dengan telah didenda sebanyak RM2000 kerana melanggar SOP, ini dengan jelas membuktikan Dr. Zulkifli memang melakukan kerja yang mengarut, bukan saja atas kedudukannya sebagai menteri, bahkan atas perlakuan tidak menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan di mana beliau adalah salah seorang anggota kabinetnya.

Seorang lagi menteri yang dianggap mengarut di mata rakyat ialah Khairy Jamaluddin yang tidak kurang dilihat gagal dalam soal menguruskan pemberian vaksin .

Dengan peruntukan sebesar RM5 bilion yang disediakan daripada ambilan dana amanah KWAN, tetapi pemberian vaksin masih berdepan banyak masalah serta lambat berbanding bagaimana negara-negara lain menguruskannya, ini juga diperkatakan ramai sebagai mengarut dan suatu kegagalan yang tidak boleh diterima.

Haruslah diingat bahawa pemberian vaksin ini sepatutnya mesti diuruskan dengan telus dan cekap, tetapi mudah kerana pertaruhannya adalah 32 juta nyawa rakyat Malaysia.

Kalau mahu dianalisa satu persatu, sebenarnya ramai lagi menteri, timbalan menteri dan peneraju GLC yang lebih kurang mengarut juga perangai mereka dalam kerajaan pintu belakang yang tiada keabsahan ini.

Namun, tentulah yang paling banyak sekali mengarut ialah Perdana Menteri sendiri, Mahiaddin Md Yasin yang hari-hari menjadi bahan persendaan dan kebencian rakyat dalam memguruskan negara ini.

Selain mengarut dan gagal menguruskan negara ketika pandemik dengan beberapa perlaksanaan PKP yang entah bila ada kesudahannya, tahap mengarut beliau paling teruk sekali ialah apabila mencadangkan darurat dilaksanakan untuk memerangi Covid19.

Dengan fakta bahawa sebelum darurat angka Covid19 hanya sekitar 2000 kes sehari tetapi melonjak melebihi 7000 kes sehari setelah darurat dikuatkuasakan, tidakkah ini namanya mengarut kelas paling istimewa sekali yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin di dunia ini?

Sebab itu, sementara ramai yang bersorak dengan pemecatan Tajuddin, rakyat negara ini sebenarnya belum cukup gembira dengan tindakan setakat itu saja.

Sekurang-kurangnya jika tiada lagi tiga menteri mengarut sebagaimana disebut diatas, lebih-lebih lagi kalau Mahiaddin turut sama dapat disingkirkan, itulah sebenarnya paling menggembirakan sekali buat rakyat Malaysia.

Tiadanya lagi mereka itu pasti membuatkan ramai akan mengadakan kenduri kesyukuran bersama pulut kuning atau berduyun-duyun bersedekah pisang ke masjid-masjid pada hari Jumaat.

Kalau mahu dibuat perbandingan, kegembiraan rakyat dengan pemecatan tiga menteri itu, terutamanya Mahiaddin, adalah umpama orang miskin menang loteri atau ketika lelaki takut bini mendapat khabar diberi keizinan untuk kahwin satu lagi (ShahbudinHusin 28/05/2021)

3.8 8 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

98 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
98
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x