Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ADUHAI…MALANGNYA NASIB MUHYIDDIN ADA MENTERI MACAM RINA HARUN!!

Sejak dua tiga hari lepas telah viral beberapa keping gambar yang menampakkan penampilan terbaru Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang kelihatan jauh lebih kurus dan seolah-olah berwajah baru.

Berdasarkan gambar-gambar itu, ramai yang memuji penampilan beliau sekarang dengan menyifatkannya ternampak lebih menarik serta bergaya melebihi gaya artis Neelofa.

Pada mulanya, setelah melihat gambar-gambar tersebut, terdetik semacam ada keraguan dan rasa tidak percaya ia adalah penampilan terbaru Rina memandangkan jauh sangat bezanya dengan wajahnya yang dulu.

Dua tiga orang kawan lain pula mengatakan mungkin ianya adalah gambar edit memandangkan terlihat beliau sekarang hampir tidak sama langsung dengan wajah serta penampilannya yang dulu.

Bukan saja badannya kelihatan jauh lebih kurus, malah wajah, gaya pakaian, bersolek, tudung dan bentuk hidungnya pun sudah nampak lain.

Tetapi, setelah memeriksa laman Facebooknya dan portal rasmi Parlimen Malaysia serta mendapati gambar beliau di situ turut menampilkan wajahnya yang terbaru yang hampir sama dengan gambar-gambar yang tersebar di media sosial itu, maka sahlah Rina yang sekarang bukan lagi Rina yang dulu.

Kemudian daripada itu, bertebaran pula maklumat dan gambar lamanya ketika mengunjungi seorang pakar kesihatan serta kecantikan di sebuah hospital swasta.

Dengan itu, beliau diperkatakan atau dipercayai telah menjalani “bariatric surgery” iaitu pembedahan yang bertujuan mengurangkan berat badannya.

Dalam istilah harian, ia disebut sebagai potong usus perut iaitu menjadikan usus perut lebih pendek, sekaligus menyebabkan seseorang itu mudah kenyang walau hanya mengambil seketul cekodok setiap kali waktu makan.

Sekarang barulah difahami mengapa kelibatnya sudah lama tidak kelihatan, rupa-rupanya menghilangnya beliau selama ini adalah kerana menjalani pembedahan.

Persoalannya di sini, perlukah seorang menteri wanita menjalani pembedahan untuk menjadikan penampilannya lebih cantik bak seorang artis atau model?

Dalam hubungan ini, jangan kita lupa bahawa untuk kelihatan cantik, kurus dan menarik dengan menjalani pembedahan, selain bayaran melakukan pembedahan itu memerlukan modal, “kos menyelenggara” kecantikan agar sentiasa nampak segar juga adalah mahal.

Dengan badan sudah jadi slim, muka dan hidung ternampak lain daripada dulu, selain pakaian dan beg tangan baru diperlukan untuk kelihatan lebih sesuai dengan perubahan, alat-alat solek untuk merawat wajah juga tentunya akan bertambah.

Pastinya lebih ghairah untuk nampak kekal kelihatan cantik jika orang-orang sekeliling pula datang dengan pujian yang melimpah-limpah.

Selain itu, dengan usus telah jadi pendek dan tidak perlu makan banyak, pasti juga diperlukan pelbagai vitaman dan makanan tambahan yang mahal untuk memberi tenaga serta kesegaran.

Maknanya, selain banyak kos diperlukan, lebih banyak masa juga akan dihabiskan untuk merawat diri bagi mengekalkan kecantikan.

Maka, sebagai menteri, pemimpin sayap Bersatu dan Ahli Parlimen yang sentiasa sibuk daripada pagi hingga malam, bagaimanakah Rina akhirnya dapat menumpukan masa serta tenaganya terhadap tugas hakikinya membantu dan menjaga rakyat?

Tidakkah dengan mengubah penampilan itu akan menjadikannya selepas ini lebih sibuk terhadap diri sendiri berbanding menjaga rakyat?

Apakah pula nilai tambah sebagai menteri dan wakil rakyat dengan penampilan terbarunya sekarang ini?

Mampukah ia menjadikan rakyat lebih suka kepadanya dan lebih menyokong Bersatu serta Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri?

Andai kata beliau bertanding lagi di Titiwangsa dalam PRU15 akan datang, apakah dengan penampilan baru ini dapat menjamin kemenangannya dengan selesa?

Realitinya, sebagai pemimpin yang dinilai ialah khidmat kepada rakyat, bukannya penampilan seharian.

Rakyat akan menyukai dan terus menyokong seseorang itu jika khidmatnya kekal cemerlang, di samping sederhana dengan gaya yang asli serta bukan tiruan.

Tambahan lagi, dalam konteks Rina, dengan berbadan gempal pun beliau dapat jadi menteri, apa lagi yang mahu dikejarnya dengan mengubah penampilan, walhal yang jauh lebih penting ialah menjaga prestasi serta khidmatnya sebagai pemimpin, selain memastikan kesihatan terjaga dengan lebih banyak bersenam misalnya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo pernah menjalani rawatan memutihkan wajah, tetapi akhirnya kecundang juga ditolak rakyat dan BN Selangor hilang kuasa sejak 2008 hingga sekarang.

Rosmah Mansor, isteri Najib Razak juga pernah dijadikan bualan dengan penampilan wajahnya yang dikaitkan dengan suntikan botox dan merosotnya sokongan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu sehingga BN kecundang dalam PRU14 seringkali dihubungkaitkan dengan beliau sebagai salah satu sebab utamanya.

Namun, yang paling sedihnya, bandingkan rupa dan penampilan kedua-dua mereka sekarang berbanding dahulu.

Maka, dalam kes Muhyiddin yang juga sedang mengalami kemerosotan sokongan ketika ini sehingga melimpah ke dinding media sosial Presiden Jokowi di Indonesia, tidak mustahilkah penampilan Rina akan menjadi sebab tambahan kedudukannya lebih ditolak dalam PRU akan datang?

Aduhai…malangnya nasibmu Muhyiddin kiranya itu menjadi kenyataan!! (Shahbudindotcom 10/02/2021)

4.2 12 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

185 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
185
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x