Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

UNDI TOLAK BELANJAWAN TAK SAMA DENGAN SOKONGAN DIMILIKI ANWAR UNTUK TUMBANGKAN MUHYIDDIN

Ramai yang cuba menyalahkan Anwar Ibrahim berikutan kegagalan blok pembangkang menolak Belanjawan 2021 dalam bacaan kali ketiga di Parlimen semalam.

Mereka berkata, kegagalan itu membuktikan Anwar pada hakikatnya tiada sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin.

Tidak kurang yang membidas, di mana sebenarnya pengakuan beliau sebelum ini bahawa sokongan di belakangnya untuk mengambil alih kerajaan adalah kukuh dan meyakinkan?

Seterusnya, terutama daripada kalangan penyokong kelompok yang tiada parti, lancang saja mulut mereka menyarankan agar Anwar meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH.

Kenapa hanya Anwar yang dipersalahkan?

Siapa yang sehari sebelum pengundian belanjawan semalam tiba-tiba mengadakan sidang akhbar menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri kononnya mereka mampu mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia?

Berapa sokongan Ahli Parlimen yang mampu mereka bawa melalui angan-angan untuk kembali menerajui negara itu?

Dalam hal ini, barangkali ramai yang keliru dan tidak mampu membezakan antara undi menolak belanjawan dengan sokongan yang didakwa dimiliki oleh Anwar untuk mengambil alih kerajaan.

Walaupun pelbagai pihak mengharapkan Muhyiddin dapat ditumbangkan melalui penolakan belanjawan, realitinya beberapa kerumitan akan timbul jika perkara itu itu menjadi kenyataan.

Antaranya ialah belanjawan baru terpaksa dibentangkan semula oleh kerajaan baru dan faktor masa sebelum ketibaan tahun 2021 adalah kekangan utamanya.

Barangkali ia akan menyebabkan beberapa perbelanjaan kerajaan akan terganggu dengan sendirinya.

Selain itu, UMNO dan BN juga tidak mahu dilihat mengingkari titah Agong yang mahu Belanjawan 2021 disokong serta diluluskan.

Ini yang menjadi antara alasan mengapa BN terus menyokong belanjawan, meskipun diketahui beberapa Ahli Parlimennya sebelum ini turut memberi sokongan kepada Anwar untuk mengambil alih kerajaan.

Lagi pun, dengan Tun Mahathir Mohamad bersama Tengku Razaleigh Hamzah tampil mengadakan sidang akhbar menawarkan diri untuk menerajui negara, siapa akan jadi Perdana Menteri jika belanjawan ditolak semalam?

Bagi Ahli Parlimen UMNO atau BN yang menyokong Anwar, mereka tentu saja tidak mahu jawatan Perdana Menteri menjadi rebutan, apa lagi jatuh ke tangan Tun Mahathir, setelah Muhyiddin dijatuhkan.

Mereka hanya mahu Anwar sebagai Perdana Menteri, bukan Tun Majathir atau Ku Li.

Berbeza dengan usaha Anwar untuk mengambil alih kerajaan melalui sokongan SD atau surat sokongan yang telah dipersembahkannya kepada Agong sebelum ini, usaha itu jika berjaya dan Agong memanggil ketua-ketua parti berkaitan untuk pengesahan, hanya nama Anwar sebagai pilihan untuk menjadi Perdana Menteri.

Tiada gangguan dan peluang pemimpin lain mencelah di saat akhir kononnya mereka lebih layak menjadi Perdana Menteri.

Begitu pun, di sebalik usaha Anwar itu banyak terganggu kerana pandemik Covid19 yang masih berterusan, difahamkan ia tetap berjalan seperti yang dirancang, malah pertemuan serta perbincangan juga tidak putus-putus diadakan.

Untuk itu, selepas Belanjawan 2021 diluluskan, serangan semula untuk menjatuhkan Muhyiddin bila-bila masa saja boleh timbul atau digerakkan kembali.

Dengan tidak perlu lagi merangka belanjawan baru, pengambilalihan kerajaan selepas ini akan jadi lebih mudah kerana Perdana Menteri bary hanya tinggal melaksanakannya saja apa yang telah diluluskan itu.

Dalam erti kata lain, kerajaan Muhyiddin yang bentang belanjawan, tetapi Perdana Menteri yang lain melaksanakannya.

Keyakinan bahawa Muhyiddin bakal dijatuhkan, meskipun Belanjawan 2021 telah diluluskan, ternampak lebih kukuh apabila Najib Razak selaku Pengerusi BNBBC masih menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan berhubung UMNO berkaitan pengeluaran KWSP dan lanjutan moratorium pinjaman bank.

Beliau masih menunggu janji PN untuk mereka memperbaiki syarat kedua-dua isu berkenaan sehingga ia benar-benar menepati sebagaimana dijanjikan.

“Jika hasrat kami tidak tercapai dan kami rasa tertipu, selepas suatu tempoh masa yang munasabah, BN masih berpeluang untuk berbuat sesuatu.

“Tapi belanjawan ini bukan platform yang sesuai untuk memperjuangkannya kerana kekurangan masa sebelum tahun 2021 bermula,” tulis Najib di laman sosialnya.

Maknanya apa?

Tidak lain ia bermakna nasib Muhyiddin belum tentu selamat sepenuhnya selepas ini, walaupun beliau dilihat cuba bergembira dengan kelulusan belanjawan yang disokong melalui undian 111-108 itu.

Tambahan lagi, majoriti tiga undi semalam adalah tanda kelemahan yang boleh digoyang pada bila-bila masa. (Shahbudindotcom 16/12/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

61 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
61
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x