Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

GABUNGAN BESAR HANYA AKAN JADIKAN UMNO PARTI MELAYU NOMBOR DUA

Bulan lalu, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa melontarkan idea perlunya diwujudkan “grand coalition” yang melibatkan parti-parti yang menolak Pakatan Harapan atau PH.

Katanya, sudah terlalu lama politik negara ini berlegar di sekeliling dua atau tiga personaliti bagi mempertahan atau menentang individu tertentu.

“Cukup-cukuplah. Malah penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat UMNO, PAS dan Bersatu semata-mata.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu “grand coalition”yang melibatkan sekurang-kurangnya 12 atau 13 parti politik yang sealiran,” katanya lagi.

Annuar seterusnya mencadangkan muafakat besar itu melibatkan BN, PN, MN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya telah menunjukkan kerjasama berkesan dalam kerangka pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin Yassin.

Semalam pula, rakan baik Annuar, Hamzah Zainuddin tampil mencadangkan pembentukan sebuah gabungan besar melibatkan PN, BN dan GPS bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemeteraian piagam antara PN, BN dan GPS itu akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika diperhatikan, kenyataan Hamzah semalam adalah sambungan terhadap lontaran idea yang dibuat Annuar sebelumnya.

Mereka berdua seolah-olah sedang sambut-menyambut bagi menjadikan idea gabungan besar itu menjadi kenyataan.

Selain mereka berdua berkawan baik, Annuar dan Hamzah juga sama-sama memegang jawatan Setiausaha Agung iaitu BN dan PN serta kedua-duanya dikenali sebagai penyokong kuat Muhyiddin.

Apa sebenarnya “grand coalition” atau gabungan besar itu?

Sebenarnya, idea itu tidak lain adalah bertujuan untuk menjadikan Bersatu melalui PN terus memimpin kerajaan selepas PRU15 akan datang dengan Muhyiddin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri.

Dengan idea “grand coalition” itu datang daripada Annuar dan Hamzah, sudah tentulah tujuan besarnya untuk meletakkan Muhyiddin sebagai pemimpin utama gabungan tersebut.

Dengan Muhyiddin diletakkan sebagai kepalanya, bermakna Bersatu akan menjadi parti utama atau peneraju gabungan besar itu.

Apabila Bersatu menjadi parti utama atau penerajunya, bererti juga UMNO hanya akan menjadi kedua saja.

Melaluinya, maka Bersatu akan menuntut jumlah kerusi paling banyak untuk ditandingi, meletakkan UMNO di tempat kedua dan Pas di tempat ketiga.

Tetapi, oleh kerana Bersatu hanya ada ahli sekitar 200 ribu, jentera pilihanraya untuk menghadapi PRU15 akan digabungkan bersama dengan UMNO yang ada keahlian 3.4 juta dan Pas dengan keahlian 1 juta.

Dengan kata lain, gabungan besar itu selain untuk meletakkan Bersatu sebagai peneraju dengan kerusi paling banyak untuk ditandingi dan UMNO di kedudukan kedua serta Muhyiddin dapat terus dikekalkan, ia juga meletakkan Bersatu berupaya menumpang kekuatan jentera dan akar umbi UMNO serta Pas untuk menghadapi PRU15 datang.

Namun, di mana kedudukan UMNO akhirnya?

Selama lebih 60 tahun UMNO menjadi parti Melayu dominan dan peneraju kepada BN dan negara, tidakkah sesuatu yang memalukan apabila ia hendak dijadikan parti nombor dua di belakang Bersatu?

Lantaran itu, “bodoh” sangatlah UMNO kalau ia setuju bersama dalam gabungan besar yang ideanya tidak sukar ditelah adalah hasil pemikiran bersama Annuar dan Hamzah bagi kepentingan masa depan mereka dan juga Muhyiddin semata-mata. (Shahbudindotcom 12/12/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

52 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
52
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x