Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PESANAN UNTUK MUHYIDDIN – HARGA DIRI ADALAH HARGA MATI, TUNGGU APA LAGI?

Penolakan cadangan darurat oleh Yang Dipertuan Agong, selain suatu sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia juga merupakan suatu detik yang menjadikan moral Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan kabinet sudah hancur berkecai.

Atas kapasiti Perdana Menteri selaku penasihat kepada Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan, kebiasaannya nasihat daripada Perdana Menteri tidak pernah tidak diterima.

Tambahan lagi, nasihat itu adalah berkaitan perkara besar iaitu untuk mengisytiharkan darurat dalam negara dan bukannya untuk memohon perkara kecilan seperti membina jambatan atau menghias taman.

Tetapi, dengan ianya ditolak oleh Agong jelas memperlihatkan keputusan kabinet berkaitan darurat itu tidak relevan dan seperti pihak Istana dapat menyelami ada maksud lain terselindung di sebaliknya.

Oleh kerana ini merupakan sejarah dan tidak pernah keputusan kabinet ditolak oleh Agong sebelum ini, mudah kata, Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet sudah tiada maruah lagi sekarang ini jika tidak segera meletakkan jawatan.

Maruah itu sepatutnya ditebus dengan Muhyiddin dan semua anggota kabinetnya mesti meletak jawatan tanpa perlu menarik nafas lebih daripada sekali.

Meski dilaporkan Muhyiddin memang berhasrat untuk meletakkan jawatan dalam perbincangan di rumahnya malam tadi, tetapi dikatakan dibantah oleh beberapa menteri yang bimbang nyawa politik mereka akan putus di tengah jalan, tetapi kekalnya beliau menerajui kerajaan hanya membuatkan harga dirinya semakin melayang ke udara.

Kata orang tua-tua dulu, harga diri adalah harga mati dan ia tidak boleh sama sekali untuk dikompromi.

Sebab itu, orang yang ada maruah dan harga diri, jawatan hanya picisan bagi mereka dan bukan segala-galanya dalam kehidupan.

Lagi pula, dengan terus menerajui kerajaan yang dilihat rakyat sebagai tiada lagi maruah dan harga dirinya, tiada apa-apa lagi yang dimampu dilakukannya selepas ini?

Apabila Agong menolak cadangan darurat yang diluluskan kabinet, bahkan ketika mengadap di Kuantan Jumaat lalu, Muhyiddin turut membawa beberapa menteri kanannya, ia adalah gambaran bahawa kabinet ini tidak lagi diyakini serta dipercayai mampu membuat keputusan yang baik untuk negara.

Bagaimana selepas ini Muhyiddin mampu mengangkat muka di hadapan Agong untuk mempersembahkan sesuatu perkara?

Kalau isteri hilang kepercayaan serta keyakinan pun seseorang suami itu boleh susah hati dibuatnya, apakah Muhyiddin tidak berasa apa-apa apabila Agong selaku ketua negara dilihat tiada lagi kepercayaan dan keyakinan terhadap kabinetnya?

Lebih daripada itu, dengan titah Agong, selain menolak darurat, turut menyarankan agar Belanjawan 2021 diteruskan seperti dijadualkan, ia juga petanda bahawa baginda mahu kemelut politik tidak diselesailan melalui perisytiharan darurat, sebaliknya oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu sendiri.

Meskipun Agong mengakui Belanjawan 2021 adalah penting, khususnya untuk melawan Covid19 dan memulihkan ekonomi negara, baginda tidak pula menyentuh mengenai penolakan atau usul tidak percaya terhadapnya.

Bermakna, urusan Parlimen dan belanjawan adalah urusan Ahli-Ahli Parlimen memikir serta memutuskannya dan pihak Istana tidak mahu campurtangan mengenainya.

Ini adalah kebijaksanaan Agong yang mahu politik dan Istana dipisahkan, jauh sekali untuk membenarkan pihak Istana dipergunakan bagi kepentingan politik pihak eksekutif.

Sedemikian itu, Sidang Parlimen bermula 2 November yang disusuli dengan pembentangan belanjawan pada 6 November adalah titian genting untuk hayat politik Muhyiddin seterusnya.

Memang tidak salah untuk terus memilih jalan hidup tidak bermaruah, malah tiada yuran pun akan dikenakan terhadapnya, tetapi jika dalam pengundian belanjawan pun dikalahkan juga, kehinaan akan bertempek sekali lagi menimpanya.

Ia bukan saja menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pertama dalam sejarah yang cadangan kabinetnya ditolak Agong, kemudian akan menjadi yang pertama juga dalam sejarah belanjawan negara tidak berjaya diluluskan.

Apakah kehinaan seperti itu yang ditunggu oleh Muhyiddin sehingga susah benar hendak meletak jawatan? (Shahbudindotcom 26/10/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

149 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
149
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x