Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ZAHIDI HARUS DIDAKWA SEBAR BERITA PALSU DI DEWAN NEGARA

Tak pasti jangan kongsi, jadilah pengguna internet yang bijak – inilah ayat yang pernah diperingatkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berhubung penyebaran berita-berita di alam maya.

Malangnya, sebagai seorang timbalan menteri, beliau bukan saja menyebaarkan berita yang salah di media sosial, bahkan lebih buruk mengucapkannya di Dewan Negara, sebuah tempat yang mulia.

Walaupun sudah meminta maaf atas kesalahan maklumat yang diterimanya berhubung dakwaannya bahawa pelajar UMS, Veveonah Mosibin tidak mengambil peperiksaan ketika memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet, sebaliknya menuduh hanya untuk mencari populariti sebagai youtuber, semuanya sudah terlanjur dan tidak lagi bermakna.

Zahidi bukan saja melukakan hati pelajar terbabit dan keluarganya, bahkan seluruh orang Sabah yang terasa dihina dengan jawapannya di Dewan Negara itu.

Kini bukan saja rakan-rakan Veveonah yang mengesahkan memang peperiksaan sedang berlangsung ketika itu, malah ada gurunya juga tampil mengesah dan menyokongnya.

Dalam hal ini, Zahidi bukan saja wajar dikecam atas penghinaannya kepada pelajar miskin tersebut, bahkan sebagai timbalan menteri, beliau juga patut didakwa kerana menyebar berita palsu dan menjadikannya sebagai sandaran dalam memberi jawapan di Dewan Negara.

Sebagaimana Attakiri yang bersalah melanggar perintah kuarantin diri, Zahidi juga sebenarnya melakukan kesalahan dan harus didakwa atas kesalahannya.

Lebih-lebih lagi dengan pengakuannya sendiri menerima maklumat yang salah berhubung Veveonah dan memohon maaf, bermakna beliau mengakui kesalahannya yang telah dilakukannya.

Sebagai timbalan menteri yang pernah memberi ingatan kepada rakyat agar jangan berkongsi maklumat yang tidak pasti, tetapi akhirnya beliau sendiri melakukannya, bukankah ini menunjukkan kecuaian dan tiada langsung sikap kepimpinan melalui teladan dalam dirinya?

Apakah pemimpin seperti ini harus terus berada sebagai pemimpin kepada rakyat dengan menikmati imbuhan gaji daripada cukai rakyat?

Apa pun, menjelang PRN Sabah pada 26 September ini, pengundi Sabah harus mengambil iktibar daripada perlakuan Zahidi ini.

Itulah sebenarnya wajah kebanyakan pemimpin UMNO terhadap orang miskin dan tidak berkemampuan di negara ini.

Bagaimana parti itu sudah dikalahkan dan kemudian beroleh kuasa melalui pintu belakang, perangai dan sikap mereka sama saja – hanya memikirkan diri sendiri dan gemar menghina orang lain yang lebih rendah statusnya.

Lantaran itu, PRN Sabah harus menjadi titik tolak untuk pengundi memilih parti dan pemimpin yang betul-betul pro rakyat dan tidak menghina orang miskin.

Jika Zahidi tidak didakwa atas berita palsu yang disebarkannya, sahlah kerajaan PN yang berkuasa sekarang di mana UMNO menjadi sebahagian daripadanya sedang membela dan melindungi Ahli Parlimen Padang Besar itu yang sebelum ini pernah melontarkan idea agar ketum dihalal dan dijadikan industri di Perlis. (Shahbudindotcom 04/09/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

38 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
38
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x