Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PASTI RAMAI SETUJU DENGAN HAKIKAT INI

Barisan senator pembangkang menggesa kerajaan Perikatan Nasional mempertimbangkan semula rancangan untuk melantik pemimpin Bersatu Negeri Sembilan, Dr. Rais Yatim sebagai Presiden Dewan Negara.

Menurut mereka, Dr. Rais yang juga bekas menteri UMNO yang kemudiannnya berpaling tadah menyertai Bersatu, dikira “tidak sesuai” untuk memegang peranan itu.

“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah.

“Justeru, ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.

“Kami berpendapat bahawa Dr. Rais Yatim bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut,” kata kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Yusmadi Yusoff (PKR), Aiman Athirah Al Jundi (Amanah), Liew Chin Tong (DAP), Theodore Douglas Lind (Warisan), Donald Peter Mojuntin (Upko) dan Marzuki Yahya (Pejuang).

Dr. Rais mengangkat sumpah sebagai senator pada 16 Jun lalu dan sejak itu namanya diperkatakan akan dilantik sebagai Presiden Dewan Negara menggantikan SA Vigneswaran.

Tempoh penggal SA Vigneswaran yang juga Presiden MIC sebagai Presiden Dewan Negara berakhir pada 22 Jun lalu.

Dr. Rais pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan daripada tahun 1978 hingga 1982, ketika itu mewakili UMNO.

Beliau juga turut menerajui beberapa kementerian sepanjang karier politiknya – antaranya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Luar Negeri.

Dr. Rais meninggalkan Umno pada tahun 1990 untuk bergabung bersama bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan menubuhkan parti serpihan Semangat 46.

Beliau kembali menyertai UMNO setelah parti itu dibubarkan.

Dr. Rais sekali lagi keluar UMNO buat kali kedua selepas PRU14 pada 2018 lalu sebaik BN tumbang kepada PH untuk menyertai Bersatu.

Walaupun beliau menyerahkan borang penyertaannya menyertai Bersatu kepada Tun Mahathr Mohamad, Dr. Rais kemudian mengalihkan sokongannya kepada Muhyiddin Yassin apabila berlaku krisis antara Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

Atas sokongannya kepada Muhyiddin, beliau dilantik sebagai senator dan disebut-sebut akan dijadikan Presiden Dewan Negara dalam sidang yang bermula 2 September ini.

66 responses to “PASTI RAMAI SETUJU DENGAN HAKIKAT INI”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *