Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

RAHMAN DAHLAN PUKUL BUNG MOKTAR, SINDIR ZAHID HAMIDI?

Malam semalam, secara tiba-tiba saja Abdul Rahman Dahlan bersama sekumpulan pemimpin UMNO Sabah mengadakan sidang media mengkritik pemilihan Bung Moktar Radin sebagai Pengarah Pilihanraya BN Sabah.

Menurut beliau, langkah memilih Bung Moktar yang masih berdepan kes mahkamah adalah tindakan yang boleh memakan diri bagi UMNO dan BN.

“Ia langkah bunuh diri.

“Tidak ada parti di dalam dunia akan meletakkan seseorang yang ada kes mahkamah menjadi pemimpin parti yang akan bertanding pilihanraya.

“Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah. Tak ada cara lain untuk mengatakan perkara ini dan saya mahu berterus terang mengenainya.

“Kerana mesej ini tidak sampai kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seterusnya menyifatkan langkah memilih Bung Moktar, walaupun merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mengetuai BN menghadapi PRN adalah menghina autonomi dan rakyat negeri itu.

Kenapa secara tiba-tiba saja Rahman Dahlan bersuara mengkritik Bung Moktar?

Mengapa ketika Bung Moktar dilantik menerajui UMNO Sabah selepas majoriti pemimpin dan wakil rakyatnya keluar parti untuk menyertai Bersatu, beliau tidak membantah?

Meskipun secara selapis tindakan Rahman Dahlan ini dilihat menyasarkan Bung Moktar secara spesifik,!tetapi jika dihalusi beliau juga sebenarnya cuba menyindir Presiden UMNO, Zahid Hamidi.

Ini kerana, sama seperti Bung Moktar, Zahid Hamidi juga sedang berdepan dengan kes mahkamah, malah dengan jumlah pertuduhan yang lebih banyak lagi.

Bermakna, jika tindakan memilih Bung Moktar sebagai Pengarah PRN Sabah dianggap langkah bunuh diri, Zahid Hamidi juga tentunya tidak layak mengetuai UMNO dan BN andai kata pilihanraya mengejut diadakan tidak lama lagi.

Dalam hal ini, jika pilihanraya mengejut diadakan dalam waktu terdekat dan di ketika Zahid Hamidi masih menjadi Presiden UMNO, apakah Rahman Dahlan akan turut bersuara memprotes sebarang peranan yang bakal dimainkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Apakah usaha mengenepikan Bung Moktar merupakan permulaan kepada usaha menyingkirkan Zahid Hamidi?

Jika ada, siapakah dalang di belakang semua ini?

Kecuali jika Zahid Hamidi tidak menyedari bahawa usaha mengenepikan Bung Moktar adalah juga cubaan menyingkirkannya, adalah hampir mustahil desakan Rahman Dahlan ini akan dilayannya.

Melayan desakan Rahman Dahlan bermakna Zahid Hamidi secara tidak langsung membuka ruang kepada orang lain mengambil alih kedudukannya sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang . (Shahbudindotcom 19/08/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

41 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
41
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x