Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SETIAKAWAN NAJIB DAN ZAID

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim baru-baru ini telah menjalani pembedahan lutut di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota.

Pembedahan itu adalah berikutan kesakitan di bahagian lutut yang dideritanya sejak sekian lama.

Akibat sakit lutut itu, pergerakan dan aktivitinya banyak terjejas sejak kebelakangan ini.

Ramai yang datang menziarahi bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu sebaik mereka mengetahui beliau sedang dirawat di hospital.

Tetapi, apa yang membuatkan Zaid berasa terharu ialah berikutan kesudian dan kesediaan bekas Perdana Menteri, Najib Razak meluangkan masa melawatnya sebaik diketahuinya bekas Pengerusi DAP Kelantan itu berada di hospital dan baru selesai menjalani pembedahan.

Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar tentang keadaan lutut Zaid yang baru dibedah, di samping turut berbual hal-hal lain seperti politik dan perkembangan semasa dalam negara.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi berkaitan kes dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB yang kini telah dipindahmilik ke Kementerian Kewangan.

Walaupun berbeza pendirian politik sebelum ini, bagi Zaid, Najib seorang yang lebih menghargai hubungan setiakawan memandangkan mereka saling mengenali sewaktu dalam UMNO, bahkan pernah berada bersama-sama dalam kabinet ketika era Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Ketika itu, Najib adalah Timbalan Perdana Menteri manakala Zaid merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang.

“Saya terharu dengan kesudian Najib menziarahi saya.

“Beliau seorang yang baik hati dan begitu menghargai hubungan setiakawan,” kata Zaid yang dijangka akan berehat selama dua bulan akibat pembedahan lutut itu.

Selepas ini, harapan Zaid, keadaan lututnya pulih seperti sediakala dan beliau boleh kembali aktif dalam beberapa aktiviti yang diminatinya, antaranya bermain golf dan memenuhi undangan-undangan politik.

Zaid kini sudah keluar DAP serta melepaskan semua jawatannya dalam parti itu. (Shahbudindotcom 12/08/2020)

35 responses to “SETIAKAWAN NAJIB DAN ZAID”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *