Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KEJAYAAN DI CHINI PENGIKTIRAFAN KEPADA NAJIB, NAMA MUHYIDDIN SUDAH BOLEH DIPADAMKAN

PRK Dun Chini berakhir dengan kemenangan bergaya calon BN, Mohd Sharin Md Zain yang berjaya mengalahkan dua calon Bebas dengan majoriti 12,650 undi.

Beliau memperolehi 13,872 undi, manakala calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Shukri mendapat 1,222 undi sementara seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli memperolehi 137 undi.

Kedua-dua mereka hilang wang deposit atau pertaruhan pilihanraya.

Walaupun kemenangan BN di Chini, satu DUN dalam Parlimen Pekan yang dipimpin Najib Razak sudah boleh dijangka awal kerana pencabarnya hanya calon Bebas, selain kawasan itu juga merupakan kubu kuat UMNO, tetapi kemenangan besar ini juga memberi beberapa petunjuk yang menarik.

Kemenangan di Chini adalah kemenangan Najib, setidak-tidaknya dalam lingkungan 80 peratus kerana beliau boleh dikata berkempen hampir sepenuh masa sejak penamaan calon pada 20 Jun lalu.

Malah pentingnya penglibatan dan kerja kuat beliau untuk berkempen turut mendapat perhatian mahkamah sehingga kes perbicaraannya pada Khamis lalu ditamatkan lebih awal bagi membolehkannya balik ke Chini meneruskan kerja-kerja kempen.

Dalam kempen pula, sebagaimana yang boleh dilihat di media sosial, Najib memang bekerja kuat dan bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan kepada BN sentiasa dalam genggaman.

Sepanjang kempen, meskipun lawan yang dihadapi hanya calon Bebas, semua pembesar UMNO juga telah turun berkempen untuk memastikan kemenangan itu.

Ini dengan sendirinya memberi gambaran Najib masih diikriraf sebagai pemimpin besar, ada pengaruh besar serta punya masa depan yang besar selepas ini.

Jika tidak, memandangkan hanya calon Bebas yang dihadapi, untuk apa semua pemimpin UMNO berduyun-duyun datang ke Chini seolah-olah lawan yang bertanding adalah pencabar yang boleh memberi cabaran berbisa?

Tidak lain, hadirnya mereka itu adalah suatu pengiktirafan kepada Najib serta masa depannya.

Selain itu, kerana mengiktiraf Najib juga, selain ramai pimpinan Pas yang turut berkempen, Azmin Ali sendiri terpaksa meluangkan masa dan menebalkan muka untuk turun sama berkempen ke Chini.

Mengimbas pelbagai cemuhan dan kejian Azmin terhadap Najib sebelum ini, apa lagi lawan di Chini hanyalah calon Bebas, jika bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak datang berkempen pun ia tentu saja boleh difahami dan tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada UMNO, BN atau sesiapa sekali pun.

Tetapi, memandangkan Azmin sedar pengaruh Najib masih kuat dalam UMNO dan beliau dalam masa yang sama mengharapkan ihsan parti itu untuk memberinya laluan mudah bertanding di Parlimen Gombak, wajah miripnya yang kabur dalam “video Haziq” telah menjadi cerah serta bercahaya dilihat oleh pengundi-pengundi Chini.

Untuk itu, meskipun semasa kempen di Chini ini turut dibayangi dengan beberapa kenyataan yang kononnya Muafakat Nasional mahu mengekalkan lagi Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, kemenangan besar di Chini pada hakikatnya lebih melonjakkan lagi nama Najib sebagai faktor utamanya.

Berdasarkan penerimaan, sokongan pemimpin dan keputusan pilihanraya itu, Najib langsung tidak dilihat sebagai pemimpin yang sedang dibicarakan atau dalam laluan menuju ke penjara.

Kemenangan di Chini juga mengesahkan bahawa MN melalui UMNO dan Pas saja pun, tanpa Bersatu ada menyelit di dalamnya, cahaya mengambil semula kuasa sudah boleh tergambar dengan terang.

Dengan begitu, tentu saja gambaran Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang sudah boleh dipadamkan mulai sekarang. (Shahbudindotcom 04/07/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

84 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
84
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x