Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SELAMATKAN MALAYSIA UNTUK KALI KEDUA!!

Semua tumpuan seluruh negara petang tadi adalah kepada mesyuarat Majlis Presiden PH di pejabat PKR yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad daripada Bersatu dan Shafie Apdal selaku Presiden Warisan.

Sebelum mesyuarat, Tun Mahathir dilaporkan telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR.

Mesyuarat petang tadi menjadi tumpuan kerana ia dijangka akan memutuskan siapa calon Perdana Menteri yang disepakati dalam usaha PH mengambil alih semula kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

Walaupun dikhabarkan telah ada kata putus berhubung perkara tersebut, tetapi sebagaimana yang dimaklumkan melalui kenyataan media PH, keputusan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu lagi.

Adalah dipercayai, dalam tempoh seminggu ini akan digunakan untuk memaklumkan keputusan tersebut kepada parti masing-masing sebelum ia kemudian diumumkan secara rasmi sama ada Tun Mahathir atau Anwar adalah calon Perdana Menteri PH yang telah dipersetujui secara rasmi.

Dengan adanya calon Perdana Menteri itu, laluan untuk mengambil alih kerajaan kini lebih terbuka buat PH dengan tiga kaedah yang bukan lagi rahsia.

Pertama, mengumpul SD atau Akuan Bersumpah melebihi 112 Ahli Parlimen yang akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Kedua, melalui usul undi tidak percaya dalam Sidang Parlimen selama 25 hari bermula 13 Julai depan.

Ketiga, dengan cara menolak Belanjawan 2021 melalui undian dalam Sidang Parlimen pada Oktober akan datang.

Siapa pun calon Perdana Menteri yang telah dipersetujui, harapan rakyat sebenarnya amat tinggi agar PH kembali sebagai kerajaan sebagaimana mandat yang diberikan pengundi pada PRU14 lalu.

Oleh itu, PH harus bergerak dengan nada yang sekata serta tersusun dalam perancangannya bagi mengambil alih kerajaan ini lantaran majoriti PN hanya sekitar satu atau dua undi saja.

Selain itu, diberitakan ramai lagi dalam PN yang hanya menunggu masa saja untuk memberi sokongan kepada PH disebabkan berbagai-bagai faktor.

Siapa pun yang mahu memberi sokongan, secara idealnya tidak ada masalah untuk PH menerimanya, kecuali kelompok yang sah pengkhianat dan perosak yang telah dikenalpasti dan dikenali ramai sebelum ini.

Kepada penyokongTun Mahathir dan Anwar pula, mulai sekarang mereka juga harus mengurangkan pergeseran sesama sendiri dan menerima siapa saja yang telah dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri PH.

Ini kerana, yang penting sekali ialah mengembalikan semula PH ke tampuk kuasa demi menyelamatkan kembali negara daripada pelbagai kerosakan yang semakin ketara dirasai semenjak 100 hari Muhyiddin Yassin dan PN, gabungan parti tidak berdaftar serta caca marba, menguasai Putrajaya.

Selamatkan Malaysia buat kali kedua, dengan yang pertama menumbangkan BN pada PRU 2018 lalu, adalah perjuangan murni untuk mereka yang cintakan negara ini. (Shahbudindotcom 09/06/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

78 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
78
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x