Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PAK WAN ‘BUNUH’ KARIER POLITIK SENDIRI?

Di luar daripada kebiasaan, sidang media Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof semalam yang djangka akan mengumumkan perletakan jawatannya, ia akhirnya bertukar menjadi pengumuman sokongannya kepada PN dan Muhyiddin Yassin.

Mohd Redzuan atau Pak Wan seterusnya menegaskan, beliau tidak meletakkan jawatan serta tidak akan meletak jawatan.

“Sekali lagi saya ulangi, saya tak letak jawatan dan takkan letak jawatan,” tambahnya.

Sesungguhnya sebagai seorang menteri yang dilantik oleh Muhyiddin, mengadakan sidang akhbar semata-mata untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah sesuatu yang lucu dan kelakar.

Ini kerana, memang sewajibnya semua menteri memberi sokongan kepada Perdana Menteri tanpa berbelah bagi dan jika sudah tidak mahu lagi berbuat demikian, langkah yang betul ialah meletakkan jawatan.

Kalau mahu meletakkan jawatan, barulah wajar mengadakan sidang media khas mengenainya.

Sekadar ingin menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan tidak meletak jawatan, Pak Wan sepatutnya hanya perlu menghantar kenyataan media dua perenggan saja, bukan mengadakan suatu sidang media khas yang menyusahkan wartawan menulis topik yang hanya layak dijadikan berita kaki saja

Bahkan tidak mengadakan sidang media pun bukan suatu isu sebenarnya kerana sebagai menteri memang beliau wajib memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Mengadakan sidang media khas mesti berkaitan sesuatu perkara yang besar, mengejutkan dan ada nilai berita yang berhari-hari boleh diperbualkan orangramai.

Adakah selepas ini setiap menteri perlu mengadakan sidang akhbar masing-masing untuk memaklumkan sokongan mereka kepada Muhyiddin?

Begitu pun, sidang media khas Pak Wan semalam itu, dengan pada minggu sebelumnya beliau berjumpa Tun Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana serta telah “menceceh”dengan beberapa orang tentang perasaan tidak puas hatinya terhadap Muhyiddin, sebenarnya lebih merupakan suatu tindakan “u-turn” daripadanya di saat-saat akhir.

Kepada seorang pemimpin Bersatu peringkat Pusat, Pak Wan dikatakan pernah meluahkan rasa kecewanya atas keputusan Muhyiddin melantiknya hanya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, sedangkan sebelum ini beliau adalah Menteri Pembangunan Usahawan.

Dengan jawatan tanpa portfolio itu, beliau merasakan bukan saja seolah-olah menteri yang tiada kerja, bahkan menganggap dirinya telah diperlekehkan oleh Muhyiddin sebagai kenalan lamanya.

Pak Wan sebaliknya merasakan jawatan yang sesuai dengannya ialah berkaitan hal ehwal ekonomi, atau jika Menteri Tugas-Tugas Khas kekal dipegangnya, setidak-tidaknya Petronas adalah dalam portfolio kementeriannya memandangkan penglibatannya dalam perniagaan berkaitan sektor minyak dan gas sebelum ini.

Kepada kenalannya yang lain pula, selepas pertemuannya dengan Tun Mahathir minggu lepas, Pak Wan turut memberi bayangan jelas bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai menteri.

Dalam luahannya, Pak Wan menyebut bagaimana dalam satu perjumpaan kecil di rumah Muhyiddin di mana Perdana Menteri secara terbuka menyatakan beliau lebih meyakini Dr. Radzi Jidin berbanding dirinya.

Untuk makluman, Dr. Radzi hanyalah seorang Senator setelah kalah teruk di Ketereh pada PRU14 lalu di tangan Annuar Musa, namun Muhyiddin telah melantiknya sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

Kata Pak Wan lagi, beliau tidak kisah pun jika Muhyiddin menganggap Dr. Radzi lebih dipercayai berbanding dirinya, tetapi tidak perlulah memperkatakannya secara terbuka di depannya.

Malah, Pak Wan ada memberitahu, sebelum beliau berbuat demikian, ia akan dimulakan dahulu oleh Dr. Shahruddin Salleh, Ahli Parlimen Sri Gading pada hari Khamis.

Dan akhirnya, sebagaimana yang disebutnya itu, Dr. Shahruddin benar-benar meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya pada Khamis, 4 Jun 2020.

Berdasarkan semua itu, tidak dinafikan Pak Wan memang telah “u-turn” daripada niat dan perancangan asalnya, cuma sebab sebenar beliau berbuat demikian saja yang tidak diketahui.

Namun, apakah tindakan “u-turn” Pak Wan ini menguntungkan dirinya?

Oleh kerana beliau telah “menceceh” kepada beberapa orang mengenai perasaan tidak puas hatinya terhadap Muhyiddin, tidak mustahil perkara itu telah sampai ke telinga Perdana Menteri sendiri.

Maka, rasa curiga dan tidak percaya Muhyiddin terhadapnya tentu saja sukar dielakkan lagi.

Di tambah dengan pendiriannya yang mudah berubah, bahkan ada yang menyebut “dia ni memang tak boleh pakai” sehingga keliru antara dron dan kereta terbang, kedua-dua kem dalam Bersatu iaitu kem Tun Mahathir dan kem Muhyiddin, mungkin tidak memperdulikannya lagi selepas ini.

Lebih daripada itu, melalui sidang media khasnya semalam yang jelas tidak mendapat apa-apa respon daripada kem Muhyiddin, kebarangkalian Pak Wan dipindahkan ke kementerian lebih kanan daripada portfolio tugas-tugas khasnya sekarang seperti tidak ternampak ada bayang-bayangnya.

Bukankah ini bermakna beliau akhirnya tidak akan ke mana-mana, lebih-lebih lagi jika dalam waktu terdekat ini berlaku perubahan kerajaan, ia hanya akan menyebabkan karier politiknya “terbunuh” secara automatik begitu saja? (Shahbudindotcom 06/06/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

60 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
60
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x