Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APAKAH AKAN BERLAKU LANTIKAN FASA KEDUA GLC MELIBATKAN KETUA2 BAHAGIAN BERSATU?

Harus disedari, cabaran politik yang mesti dihadapi oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam waktu yang terdekat ini adalah melibatkan dua perkara.

Cabaran pertama, usul undi tidak percaya di Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 18 Mei akan datang.

Cabaran kedua, mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu yang akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Berikutan ancaman wabak Covid-19, Pendaftar Pertubuhan atau RoS telah memberi arahan bahawa semua parti politik hanya dibenarkan mengadakan perhimpunan selepas 30 Jun 2020.

Ini bermakna, pemilihan Bersatu sepatutnya diadakan pada Jun dijangka akan dilangsungkan sekitar Julai atau Ogos tahun ini.

Melewatkan lagi daripada tempoh itu tentu saja dianggap tidak wajar kerana Bersatu tidak pernah mengadakan pemilihan parti sejak ditubuhkan pada 2016 lalu, kecuali jika wabak Covid-19 benar-benar memberi ancaman yang terus berpanjangan.

Kedua-dua cabaran ini bukan saja mesti dihadapi, malah wajib dimenangi oleh Muhyiddin bagi memastikan survivalnya sebagai Perdana Menteri dapat dipertahankan sehingga PRU15 akan datang.

Untuk mendepani cabaran pertama, sebagaimana yang disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, Muhyiddin telah dan akan melantik lebihan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak berjawatan menteri atau timbalan menteri sebagai pengerusi GLC atau syarikat berkaitan kerajaan.

Sehingga ini beberapa Ahli Parlimen Pas dan UMNO sudah pun dilantik mengetuai GLC dan Muhyiddin pasti akan membuat lantikan lagi sehingga sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen masing-masing ada jawatan bergaji lumayan, termasuk kemudahan kereta dan pemandu, sebelum 18 Mei ini.

Jika gagal berbuat demikian, risiko untuk Muhyiddin ditewaskan dalam usul undi tidak percaya adalah sangat terbuka.

Dalam hal ini, silap-silap Zahid Hamidi, Najib Razak, Ahmad Maslan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Bung Mokhtar Radin yang sedang berdepan pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram di mahkamah pun tidak mustahil akan dilantik sama mengetuai mana-mana GLC yang bersesuaian.

Yang penting bagi Muhyiddin, kedudukannya sebagai Perdana Menteri melalui tebuk atap mesti diselamatkan, walau dengan apa cara sekali pun.

Sehingga ini bermakna, walaupan lantikan Ahli-Ahli Parlimen mengetuai GLC mendapat kecaman ramai kerana dianggap mempertaruhkan untung rugi syarikat untuk kepentingan jawatan, ia dijangka tidak akan dapat mengubah fikiran Muhyiddin dan apa yang beliau lakukan adalah semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Lagi pula, berbanding jawatan Perdana Menteri yang disandangnya dengan untung rugi GLC, tentulah Muhyiddin jauh lebih sayang dan mahu memastikan nikmat kedudukannya dapat diselamatkan.

Selepas cabaran pertama itu dan katalah beliau mampu melepasinya, Muhyiddin perlu pula berdepan cabaran kedua iaitu pemilihan dalam Bersatu.

Walaupun rekod Mukhriz tidak pernah cemerlang sebelum ini dan dalam UMNO sendiri, beliau pernah kalah bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian UMNO Kubang Pasu, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Naib Presiden UMNO, tetapi pertandingan dalam Bersatu menentang Muhyiddin kali ini tentulah berbeza.

Ini kerana pengurus kempen bagi Mukhriz untuk berlawan dengan Muhyiddin nanti adalah Tun Mahathir sendiri yang telah pun diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu.

Sementara ketika dalam UMNO dulu, pengurus kempen Mukhriz hanyalah Peja atau Ahmad Faizal Azumu yang sekarang adalah Menteri Besar Perak.

Dengan kedudukan lebih 60 peratus ahli Bersatu adalah anti UMNO dan pro Tun Mahathir, kelebihan sokongan kepada Muhyiddin dalam barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula hanya sekitar dua orang serta majoriti Ketua-Ketua Bahagian parti itu seperti “wiper” iaitu kiri sapu dan kanan pun sapu, usaha Muhyiddin untuk memenangi pertandingan dengan Mukhriz tidaklah sebegitu mudah sebenarnya.

Jika kena gayanya, tidak mustahil Mukhriz mampu membuat kejutan dan kemudian Bersatu dapat dikuasai secara majoriti atau sepenuhnya oleh Tun Mahathir.

Apakah dalam hal ini, demi untuk memastikan kemenangannya, akan berlaku lantikan fasa kedua dalam GLC oleh Muhyiddin tidak lama selepas ini yang melibatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu pula? (ShahbudinHusin 14/04/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

50 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
50
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x