Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SELAIN MENANGKAP PENCURINYA, SUMBER WANG RM250 RIBU SYED SADDIQ YANG HILANG MESTI JUGA DISIASAT

Berikutan laporan polis oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kehilangan wang tunai sebanyak RM250 ribu daripada peti simpanan di rumahnya, siasatan pihak berkuasa seharusnya mencakupi dua aspek.

Pertama, pihak polis mesti mencari dan menangkap pencuri yang mengambil wang daripada peti simpanan Syed Saddiq itu.

Sehingga ini dilaporkan pembantu rumahnya telah pun ditahan polis untuk disiasat lanjut.

Selain itu, berdasarkan laporan polis Syed Saddiq, peti besinya itu mempunyai kata laluan rahsia dan hanya orang tertentu saja yang tahu di mana beliau menyimpannya.

Dengan itu adalah penting untuk pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk forensik untuk menangkap siapa sebenarnya pencuri terbabit.

Sama ada orang gajinya atau orang lain yang terlibat, mereka wajar dihukum berdasarkan undang-undang sedia ada.

Kedua, dalam hal ini pihak SPRM juga harus menyiasat berkaitan sumber wang RM250 ribu yang hilang itu.

Walaupun sebagai pemimpin politik, Syed Saddiq barangkali ada keperluan untuk menyimpan wang tunai di rumahnya bagi menghadapi keperluan yang tak dijangka, tetapi apakah menyimpan sehingga ratusan ribu ringgit di rumah sesuatu yang wajar?

Kenapa beliau tidak menyimpan dalam jumlah yang kecil saja di rumahnya dan selebihnya diletakkan di dalam bank?

Jika wang itu merupakan sebahagian wang gajinya sebagai menteri selama 22 bulan sebelum ini, kenapa ia ada dalam peti besi di rumahnya?

Bukankah wang gajinya dibayar terus ke akaun banknya dan kalau pun wang gaji itu banyak yang tidak dibelanjakan sepanjang beliau menjadi menteri, untuk apa ia dikeluarkan dan kemudian diletakkan dalam bentuk tunai di rumahnya?

Apakah menyimpan wang di bank sudah tidak selamat bagi Syed Saddiq?

Untuk mengetahui sama ada wang RM250 ribu yang hilang itu merupakan sebahagian pendapatan Syed Saddiq selama menjadi menteri sebelum ini atau tidak, SPRM mesti menyiasat kedudukan akaun bank serta aliran keluar masuk wang dalam simpanannya.

Hanya dengan cara itu barulah diketahui sama ada wang RM250 ribu yang hilang itu adalah sebahagian daripada pendapatannya, datang daripada sumber sahih yang lain atau sebaliknya.

Turut penting untuk diketahui, berdasarkan laporan polis Syed Saddiq sendiri, beliau mendapati wang dalam peti simpanannya sebanyak RM250 ribu telah dicuri/hilang/berkurangan, maka dalam hal ini apakah jumlah RM250 ribu itu saja yang ada dalam peti simpananya dan kemudian telah hilang atau masih ada lebihan yang ditinggalkan lagi dalam peti itu?

Kalau setelah siasatan SPRM mendapati jumlah RM250 ribu yang hilang itu bukan merupakan sebahagian daripada pendapatannya sebagai menteri selama 22 bulan, kesahihan dari segi halal atau haram dan bersih atau kotornya wang tersebut tentu saja menjadi persoalan ramai.

Apatah lagi, jika selain RM250 ribu yang hilang itu, ada lagi lebihan yang mungkin lebih besar jumlahnya yang tidak dicuri atau hilang daripada peti simpanannya.

Pokoknya, demi ketelusan dan kepentingan ramai, sementara siapa yang mencuri wangnya ingin sangat diketahui oleh Syed Saddiq, rakyat di luar, termasuk pengundi Muar, sebenarnya lebih ingin tahu bagaimana wang sebanyak itu atau mungkin lebih, boleh diperolehinya. (ShahbudinHusin 30/03/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

50 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
50
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x