Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PN ADALAH KERAJAAN TANPA IDENTITI, TANPA MANIFESTO DAN TANPA PERJUANGAN

Perikatan Nasional – itulah khabarnya nama gabungan yang memerintah kerajaan sekarang ini.

Nama baru ini merupakan perubahan daripada Pakatan Nasional, nama yang digunakan sebelum ini.

Pakatan Nasional atau PN adalah nama ciplakan hasil cantuman Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional.

Oleh kerana nama Pakatan Nasional itu terlalu “direct” hasil cantuman Pakatan Harapan dengan Muafakat Nasional, maka ia kemudian ditukar kepada Perikatan Nasional.

Begitu pun, harus diakui munculnya nama tersebut adalah terlalu baru dan barangkali seiring dengan sempurnanya pengkhianatan yang berjaya meletakkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Walaupun demikian, Perikatan Nasional belum lagi merupakan sebuah gabungan yang sah dan berdaftar sebagaimana Pakatan Harapan atau Barisan Nasional misalnya.

Perikatan Nasional hanya merupakan nama sebutan yang dijaja yang menggabungkan kelompok Muhyiddin daripada Bersatu, puak Azmin Ali daripada PKR, UMNO, Pas dan juga GPS di Sarawak.

Tetapi, ia hanya ada pada nama saja. Selain masih tidak berdaftar, PN juga tidak ada carta organisasi, tiada struktur, tiada hala tuju perjuangan dan tiada manifesto untuk dinilai oleh rakyat.

PN juga tidak pernah dipilih rakyat melalui undi atau pilihanraya untuk menjadi kerajaan.

Siapa jadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung pun belum ada susunannya.

Dan kerana itu, siapa yang bertanggungjawab dalam PN ini tidak diketahui dengan jelas orangnya.

Pendek kata, segala-gala tentang identiti PN ini adalah kabur, mungkin sekabur “video Haziq” di mata pihak polis dan Jabatan Peguam Negara.

Begitulah kedudukan PN ini sebenarnya, tetapi ia tetap merupakan sebuah kerajaan buat waktu ini.

Disebabnya ketiadaan banyak perkara itu, PN ini adalah sebuah gabungan kerajaan yang merbahaya kepada rakyat kerana siapa yang bertanggungjawab dan apa yang mahu dilakukannya langsung tidak jelas kepada kita semua.

Kalaulah PN tidak melakukan apa-apa sekali pun, tiada siapa boleh marah kerana tiada dokumen atau apa-apa bukti yang pernah mereka tunjukkan sebelum ini tentang apa yang mahu mereka lakukan untuk rakyat negara ini.

Oleh kerana perjuangan dan manifesto PN adalah kosong, tiada apa-apa yang rakyat boleh harapkan sebenarnya daripada gabungan kerajaan ini, walaupun tugas kerajaan adalah sebagai payung kepada rakyat.

Asas yang menjadikan semua pihak menggbungkan diri dalam PN ini pun, jika diperhati, tidak lebih semata-mata untuk mengejar jawatan, kedudukan serta menyelamatkan diri daripada pendakwaan yang sedang berjalan di mahkamah.

Maka, apakah rakyat mahu membiarkan PN ini menjadi kerajaan dalam tempoh yang lama?

Kecualilah, jika rakyat memang tidak mengharapkan apa-apa daripada kerajaan dan boleh hidup sendiri tanpa bantuan, malah seronok melihat muka-muka pengkhianat ini muncul di kaca tv setiap hari berlagak seperti pemimpin yang berkaliber dan ada visi, barangkali bolehlah PN ini dipertahankan mentadbir negara ini sekurang-kurangnya sehingga PRU15 akan datang.

Kalau tidak, menjelang sidang Parlimen pada 18 Mei depan pun tentunya sudah terlalu lama memberi peluang “petualang-petualang” ini memegang kuasa di bumi bertuah Malaysia ini. (ShahbudinHusin 06/03/2020)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

255 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
255
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x