Tidak ada sesiapa yang benar-benar pasti apa keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini berhubung peralihan kuasa.
Mungkin peralihan kuasa ditetapkan pada Mei dan mungkin juga permintaan Tun Mahathir Mohamad agar ia dianjakkan sehingga November, akan dipersetujui.
Begitu juga berkenaan tarikh, mungkin ada tarikh khusus yang akan ditetapkan dan mungkin pula tarikh peralihan kuasa kekal terbuka seperti sekarang ini.
Walaupun banyak desakan agar tarikh khusus serah kuasa penting untuk ditetapkan, antara tujuannya untuk memberi kestabilan kepada PH, hakikatnya apa bentuk keputusan mesyuarat Majlis Presiden masih lagi kabur keadaannya.
Barangkali ia lebih kabur daripada penglihatan polis dan Peguam Negara terhadap video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin Ali.
Apa pun, sebarang keputusan Majlis Presiden berkaitan peralihan kuasa malam ini, bukan saja memberi kesan kepada PH, tetapi juga kepada Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.
Dari segi PH, jika anggota mesyuarat mahu melihat gabungan itu terus stabil, tidak berpecah, tiada lagi pihak luar dapat mengambil kesempatan dan Tun Mahathir sendiri menjadi terkekang daripada terus berdolak-dalil, tiada pilihan lain melainkan mereka menetapkan tarikh khusus peralihan kuasa itu.
Tidak kira sama ada Mei atau November, satu tarikh khusus majlis serah kuasa dan seterusnya untuk Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri mesti ditetapkan.
Begitu pun, jika peralihan kuasa disetujui kepada tempoh asal iaitu Mei, ia dengan sendirinya akan membuatkan Tun Mahathir lebih dihargai dan dipandang tinggi oleh rakyat.
Keakuran beliau terhadap Mei itu akan menjadikan dirinya seorang yang berpegang kepada janji, tidak tamak kuasa dan benar-benar mahu PH ini menjadi kerajaan dalam tempoh yang lebih lama lagi.
Tetapi, jika Majlis Presiden setuju untuk menganjakkan tempoh peralihan kepada November iaitu sehingga selesai Sidang Apec, imej Tun Mahathir akan sedikit tercalar kerananya.
Beliau akan dilihat lebih mementingkan ego sendiri, walhal Apec tidaklah begitu penting untuk terus diterajuinya berbanding kedudukan negara yang terus merosot dalam banyak segi kebelakangan ini.
Lagi pula, dengan memanjangkan tempohnya berkuasa enam bulan lagi sehingga November berbanding Mei yang sepatutnya, belum tentu keberadaannya mampu menjadikan kedaaan negara bertambah baik, ekonomi makin meningkat, pelaburan asing makin mencurah-curah dan nilai ringgit menjadi lebih tinggi.
Setuju menganjakkan peralihan kuasa sehingga November, yang pastinya hanya akan membuatkan Anwar lebih disanjung tinggi kerana kesabaran dan tolak ansurnya.
Ia sekaligus membuktikan Anwar bukanlah seorang yang gelojoh dan terlalu obses untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar hakikatnya boleh bersabar dan boleh menunggu serta tetap menghormati Tun Mahathir yang lebih berusia daripadanya.
Ia akhirnya akan memperlihatkan kepada rakyat bahawa Anwar, dengan sifat-sifat terpuji yang dimiliknya seperti pemaaf, sabar dan tidak gelojoh, adalah “harapan baru” untuk masa depan negara ini.
Siapakah lagi dalam negara ini yang ada sifat-sifat seperti itu? (ShahbudinHusin 21/02/2020)