Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PRU UNTUK MENUKAR KERAJAAN, BUKAN MEMPEROLEH PM BARU

Daripada semasa ke semasa, bila-bila saja isu peralihan kuasa timbul menjadi bahan perdebatan, tidak kurang yang menyarankan agar Perdana Menteri mengadakan pilihanraya umum atau PRU bagi tujuan itu.

Terutama daripada pembangkang, mereka ternampak ghairah benar dengan melihat hanya PRU saja merupakan satu-satunya penyelesaian untuk menentukan siapa Perdana Menteri selepas Tun Mahathir Mohamad.

Kata mereka, oleh kerana sehingga sekarangTun Mahathir masih tidak menetapkan tarikh untuk peralihan kuasa dan ia ditafsirkan sebagai keengganan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, maka mengadakan PRU adalah pilihan terbaik ke arah itu.

Oleh kerana pembangkang bertalu-talu dan tanpa jemu membuat saranan itu, kadangkala pemimpin PH sendiri, terutama yang anti, benci dan dengki kepada Anwar, turut terikut-ikut setuju dengan perkara itu.

Mereka seterusnya berhujah bahawa apabila Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas PRU14 lalu, ia adalah untuk tempoh sehingga habis penggal dan bukannya bagi jangka masa dua tahun saia.

Lalu, mereka pun bertempik agar Tun Mahathir terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 akan datang, seolah-olah mereka lupa kepada konsensus PH berhubung peralihan kuasa serta janji Tun Mahathir sendiri yang mahu memegang kuasa selama dua tahun dan melakukan penyerahan kuasa sebelum tibanya PRU15.

Sebenarnya keyakinan mereka jika PRU diadakan tanpa menunaikan janji peralihan kuasa, maka PH akan berpecah, seterusnya akan kalah dan melepaslah peluang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bagi golongan yang anti, benci dan dengki terhadap Anwar, tidak kira daripada pembangkang atau PH, itulah kepuasan sebenar dalam perjuangan mereka.

Dalam hal ini, harus disedari bahawa isu peralihan kuasa adalah hal dalaman PH yang perlu diselesaikan tanpa melibatkan rakyat atau pengundi melalui PRU.

Tugas rakyat atau kuasa pengundi melalui PRU ialah untuk menukar atau mengekalkan kerajaan dan perkara itu sudah pun dilakukan dalam PRU14 lalu, manakala melakukan pertukaran Perdana Menteri adalah hal PH yang sudah pun berjaya menjadi kerajaan.

Pertukaran atau peralihan kuasa itu boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa menunggu PRU diadakan sebagaimana Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981 dahulu, Tun Abdullah Badawi pada 2003 dan Najib Razak pada 2009.

Hanya apabila Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 lalu saja melalui PRU, tetapi ia berlaku bersekali dengan pertukaran kerajaan.

Maka itu, di mana perlunya Anwar menjadi Perdana Menteri melalui PRU terlebih dahulu?

Lagi pun, konsensus sudah ada dan calon PM8 juga sudah ditetapkan.

Kita bukannya seperti Amerika atau Indonesia yang hanya melalui PRU saja baru boleh memperolehi seorang ketua kerajaan yang baru.

Apabila rakyat memenangkan PH yang menggunakan logo PKR dalam PRU14 lalu, bermakna pengundi bukan saja ingin melihat BN tumbang, malah mereka juga mahu Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya selepas Tun Mahathir sebagaimana perkara itu telah dikonsensuskan sebelumnya lagi.

Ini kerana PKR yang mewakili PH ketika PRU14 itu adalah parti yang diasaskan oleh Anwar berdasarkan semangat perjuangan reformasi yang dibangkit dan dipeloporinya.

Maka itu, keperluan menunggu PRU untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri adalah terkeluar daripada perjanjian yang telah disepakati oleh PH, malah beliau seharusnya diberi ruang yang mencukupi untuk mengepalai kerajaan bagi menghadapi PRU15 nanti. (ShahbudinHusin 24/12/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

81 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
81
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x