BUAT APA NADIR BUMI DIKENAL PASTI KALAU BUKAN BERTUJUAN MELOMBONGNYA?

Bagi meredakan kebimbangan pelbagai pihak berhubung usaha penerokaan nadir bumi di Perak, Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu berkata, ia hanya bertujuan mengenal pasti saja.

Beliau berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan sebuah syarikat dari China iaitu Chinalco GXNF Rare Earth Development baru-baru ini hanya untuk mengenal pasti nadir bumi yang ada di negeri itu.

“MOU ini adalah untuk kita eksplorasi, kita nak tahu apa ada dalam bumi dan selepas tahu kita akan buat kajian apakah ia economical untuk diekstrak, ada manfaat atau tidak.

“Bukan hari ini tandatangan, esok dah bawa keluar.

“Sebarang perlombongan sama ada emas, bijih timah, amang semua perlu dibuat kajian impak terhadap alam sekitar, dan hari ini kerajaan negeri masukkan pula kajian impak sosial,” ujar Ahmad Faizal lagi.

Soalnya, untuk apa kajian mengenal pasti itu dilakukan kalau bukan untuk tujuan melombongnya suatu hari nanti?

Bukankah dengan melakukan kajian mengenal pasti itu menyerlahkan maksud tersirat untuk mengeluarkan nadir bumi itu?

Apakah kerajaan negeri boleh menahan diri daripada tidak mengeluarkan nadir bumi itu jika hasilnya didapati lumayan?

Apakah negeri Perak sudah kekurangan ikhtiar lain untuk menambah pendapatan sehingga nadir bumi yang akhirnya merosak serta mencemarkan alam sekitar pun mahu dilombong juga? (ShahbudinHusin 29/11/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 2 December 2019 — 6:20 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments