Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JIKA ANWAR SEGERA JADI TPM, SEMUA ISU PERALIHAN KUASA AKAN SELESAI DENGAN SENDIRINYA

Hari demi hari, isu berkaitan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 terus menjadi perbualan, perbincangan dan tidak kurang sebagai bahan spekulasi, batu api serta adu-domba.

Semalam bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein, dengan watak seolah-olah dirinya adalah Pengerusi BN, tampil mengatakan Ahli-Ahli Parlimen BN akan mempertahankan Tun Mahathir Mohamad jika berlaku sesuatu yang mengancam kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Kata beliau, BN mahu Tun Mahathir terus menerajui negara sehingga pilihanraya umum datang.

Semalam juga, Azmin Ali ditanya sekali lagi mengenai desas-desus beliau akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Ramadan akan datang ini.

Walaupun Azmin mengatakan beliau tidak tahu menahu mengenai khabar angin itu serta tidak memikirkan sangat perkara tersebut, rasanya sudah dua tiga kali beliau menjawab persoalan yang sama sejak 10 bulan lalu.

Tidak memeranjatkan kiranya selepas Hari Raya nanti atau dua tiga bulan akan datang, kita akan membaca lagi berita yang sama yang keluar daripada mulut daripada Azmin.

Hari ini, Pemangku Presiden UMNO merangkap calon BN PRK Rantau, Mohamad Hasan melahirkan keyakinannya bahawa Tun Mahathir tidak akan melakukan penyerahan kuasa kepada Anwar, biar pun sudah ada perjanjian mengenainya

Katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, Tun Mahathir lebih sedia membubarkan Parlimen untuk diadakan pilihanraya umum daripada menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Sebelum ini, sekumpulan Ahli Parlimen BN turut dilaporkan menandatangani akuan bersumpah untuk mempertahankan Tun Mahathir jika berlaku usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Kemudian, Pas juga tampil dengan surat contoh yang diberikan kepada Tun Mahathir untuk menyatakan sokongan yang sama.

Realitinya, peralihan kuasa kepada Anwar adalah sesuatu yang diikat dengan perjanjian sebagai persetujuan untuk melantik Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebelum PRU14 lalu.

Perkara lain yang dipersetujui ketika itu ialah membebaskan Anwar daripada penjara serta mendapatkan pengampunan penuh buat dirinya daripada Yang Dipertuan Agong.

Dengan janji memberi pembebasan dan pengampunan sudah dilaksanakan, Anwar kini, tetap dengan penuh kesabaran menunggu janji peraliahan kuasa dalam tempoh dua tahun itu dilaksanakan.

Tiada sama sekali usaha atau rancangan mahu mengusulkan undi tidak percaya kerana ini adalah isu dalaman PH semata-mata serta boleh diselesaikan melalui permuafakatan serta konsenses gabungan itu.

Spekulasi mengenai usul itu hanyalah mainan UMNO dan Pas yang bukan saja bertujuan memecah-belahkan PH, tetapi juga memperlihatkan kebimbangan mereka untuk berdepan dengan Anwar sebagai Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang.

Apa lagi yang mampu dilakukan oleh UMNO dan Pas untuk menutup kebimbangan itu selain merelakan diri mereka menjadi batu api dan tukang hantuk di sana sini?

Namun demikian, apakah Anwar dalam masa yang sama mahu membiarkan saja desas-desus, spekulasi dan golongan batu api terus memercikkan spekulasi serta syak wasangka dan perbalahan dalam PH?

Ini baru 10 bulan masa berlaku, bagaimana keadaannya menjelang semakin hampir tempoh dua tahun nanti?

Dalam hal ini, pilihan paling baik buat Anwar ialah beliau mesti segera duduk sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tambahan pula dengan Anwar sudah menjadi Presiden PKR ketika ini, sepatutnya ia disusuli juga dengan beliau menduduki jawatan nombor dalam kerajaan itu.

Dengan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, bukan saja kedudukan beliau sebagai pengganti kepada Tun Mahathir yang sudah mencecah usia 94 tahun akan lebih diyakini, malah golongan penabur spekulasi, pengadu domba dan “hantu raya” dengan sendiri akan “gantung diri” dibuatnya.

Juga, akan mati dengan sendirinya pertanyaan pemberita kepada Azmin tentang bila beliau akan menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Kaedah yang paling baik, lebih cantik jika dapat dilakukan sempena setahun PH menguasai Putrajaya pada Mei depan ialah dengan Dr. Wan Azizah sendiri mengumumkan perletakan jawatannya.

Selepas Dr. Wan Azizah meletakkan jawatannya, Majlis Presiden PH boleh dengan segera memutuskan untuk mencalonkan Anwar untuk mengisi jawatan tersebut.

Setelah Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum setahun kemudian mengambil alih jawatan Perdana Menteri, isu peralihan kuasa, baik yang melingkari PKR dan Bersatu serta selama ini menjadi bahan spekulasi dan batu api di kalangan UMNO dan Pas serta rakyat seluruhnya, semuanya akan terselesai dengan sendirinya. (Shahbudindotcom 03/04/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

87 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
87
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x