Impian yang sekian lama dinanti-nantikan dalam politik negara ini ialah wujudnya sistem dua parti yang seimbang serta menjadikan proses semak dan imbang dalam kerajaan nampak lebih berkesan.
Melalui kewujudan sistem dua parti di mana kerajaan yang bertukar ganti lebih mudah berlaku setiap kali pilihanraya diadakan, sesiapa juga yang menjadi kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik dan tidak akan mengabaikan janji-janji mereka kepada rakyat.
Selebihnya, mereka yang menjadi pemimpin pula akan sentiasa berhati-hati dalam tindakan atau percakapannya, jauh sekali untuk berani terjebak dalam perbuatan rasuah atau skandal.
Ini kerana dengan sistem dua parti dan kerajaan yang mudah bertukar ganti, mereka yang terlibat skandal atau rasuah sedar nasib mereka lebih mungkin berakhir di penjara apabila sudah tidak lagi memegang kuasa.
Ia tentu saja berbeza dengan sesebuah kerajaan yang mampu bertahan selama 60 atau 100 tahun misalnya, pengumpul kekayaan atau pengaut rasuah akan terus hidup dan mati bersama kekayaan mereka, malah sesetengahnya terus diberikan sanjungan selama berketurunan lamanya.
Apabila BN kalah dalam PRU14 lalu, sistem dua parti terlihat akan segera menjadi pengganti.
Namun, pembangkang nampaknya masih berpecah dan bersepah-sepah dengan kepentingan diri masing-masing.

Ditambah lagi dengan gelagat mereka yang keluar parti untuk mencari habuan peribadi serta sesetengah parti bertindak meninggalkan rakan sendiri.
Bagaimanapun, dengan perkembangan terkini yang menyaksikan UMNO dan Pas sudah berkahwin akhirnya, walaupun kelihatan pelik serta janggal, itulah kemajuan politik sebenarnya.
Perkahwinan kedua-dua parti itu, ditambah jika kemudiannya diterima dengan baik oleh MCA dan MIC, dengan sendirinya akan menjadikan kelompok pembangkang sudah bersatu menuju ke arah sistem dua parti.
Berbeza ketika sebelum PRU14 lalu, di mana meskipun PH merupakan gabungan pembangkang utama untuk berlawan dengan BN, Pas ketika itu masih bersendirian dengan Gagasan Sejahtera dan kuasa ketiganya.
Penggabungan pembangkang yang kuat ini adalah baik untuk negara dan rakyat. Mereka mampu menjadi elemen semak dan imbang yang baik kepada kerajaan PH yang baru saja mendapat kuasa.
Dengan itu, bukan saja kerajaan akan sentiasa berhati-hati, bahkan dengan peranan pembangkang yang kuat itu, PH akan menjadi tiada pilihan selain berusaha sebaik mungkin menunaikan janji-janji manifesto yang sehingga kini kebanyakannya semacam ditangguhkan dengan sengaja serta dengan pelbagai alasan yang direka-reka.
Pemimpin yang suka merapu, bercakap bukan-bukan, menyombong diri dan tidak mesra rakyat juga akan mula sedar diri untuk lebih berhati-hati.
Kebimbangan kerajaan PH terhadap kedudukan pembangkang yang kuat ini dapat dilihat daripada respon beberapa pemimpin kerajaan seperti Tun Mahathir Mohamad, Azmin Ali dan yang lain-lainnya.
Meskipun ramai yang melihat kerjasama UMNO dan Pas ini sesuatu yang pelik berdasarkan sejarah lama mereka dan sukar menjangka sampai bila perkahwinan kedua-duanya mampu bertahan, mereka diharapkan terus berperanan dengan sebaik-baiknya.
Kita boleh saja berbeza pendapat dan tidak setuju terhadap mana-mana parti, namun peranan sesebuah parti demi kepentingan negara dan agar rakyat sentiasa mendapat yang terbaik daripada sesebuah kerajaan, tentunya jauh lebih utama.
Oleh itu, penggabungan pembangkang yang kuat untuk berlawan dengan kerajaan adalah sesuatu yang harus diterima baik oleh kita semua. (Shahbudindotcom 07/03/2019)