Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam mengumumkan rancangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah mahkamah khas untuk kes-kes rasuah di negara ini.
Katanya, mahkamah khas itu diperlukan supaya kes-kes melibatkan rasuah dapat dibicarakan dengan cepat.
Tambah Tun Mahathir lagi, rancangan itu juga selaras dengan inisiatif pelan antirasuah nasional di mana mahkamah khas itu dapat menumpukan kepada kes-kes terdahulu melibatkan rasuah.
Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir memberi contoh tentang penjualan tanah milik Kementerian Pertahanan untuk membina kem-kem tentera di mana ia dilakukan dengan menyalahi undang-undang sehingga kerajaan mengalami kerugian yang banyak daripadanya.
“Inilah sebabnya kita memerlukan sebuah mahkamah khas supaya kes-kes rasuah dapat didengari dengan cepat,” jelasnya.
Apakah mahkamah khas ini benar-benar perlu sebenarnya untuk negara kita?
Apakah kes rasuah di negara kita begitu tinggi atau terlampau tinggi sehingga sebuah mahkamah khas diperlukan untuk menanganinya?
Tidakkah dengan adanya mahkamah khas itu secara langsung memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara yang paling tinggi ke rasuahnya, sekaligus memberi gambaran tidak baik dari segi imej negara di mata dunia?
Adakah negara-negara lain ada mahkamah khas rasuah seperti itu?
Dalam konteks semasa, apa yang jauh lebih penting bagi negara ialah kita mesti mempunyai Peguam Negara yang jauh lebih cekap dan berwibawa.
Apa guna kita ada mahkamah khas mengenai rasuah jika Peguam Negaranya masih lembab sehingga kes melibatkan Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan ramai lagi masih juga belum lagi dibawa di mahkamah walaupun sudah hampir setahun pertuduhan dilakukan?
Mengapa Peguam Negara seolah-seolah hanya suka jumlah pertuduhan yang banyak berbanding membawa satu atau dua kes yang kuat terlebih dahulu untuk dibicarakan di mahkamah?
Kepada Tun Mahathir, selagi Peguam Negara tidak ditukar segera, berpuluh mahkamah khas yang diwujudkan pun tidak akan memberi makna apa-apa. (Shahbudindotcom 20/03/2019)