Presiden UMNO dan Pengerusi BN tanpa kuasa, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak hadir dalam majlis perasmian dan istiadat pembukaan sidang Parlimen yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, hari ini.
Menurut Ketua Whip BN, Mahadzir Khalid, sebab Zahid Hamidi tidak menghadirkan diri tidak dapat dipastikan.
Beliau, kata Mahadzir, tidak dapat dihubungi.
Zahid Hamidi bukan saja melepaskan kuasanya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kepada Mohamad Hassan yang merupakan timbalannya, malah jawatan Ketua Pembangkang yang disandangnya sejak Julai 2018 lalu juga telah diserahkan kepada Ismail Sabri.
Selain tindakan itu menyebabkannya semakin kekurangan peranan dalam parti, kedudukannya kini hanyalah sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk saja.
Persoalannya, mengapa Zahid Hamidi tidak menghadirkan diri dalam majlis perasmian Parlimen kali ini?
Bukankah majlis ini sebenarnya penting dalam kedudukannya sebagai Ahli Parlimen?
Adakah beliau mengambil cuti secara tiba-tiba sebagai Ahli Parlimen, sama seperti cutinya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN juga?
Atau merajuk hati?
Apakah barangkali ketidakhadirannya kali ini merupakan tanda-tanda beliau akan mengundurkan diri sepenuhnya daripada politik dan hanya mahu menghabiskan sisa-sisa perjuangannya untuk berdepan dengan 46 kes mahkamah yang sedang dihadapinya? (Shahbudindotcom 11/03/2019)