Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KERETAKAN BN BERI KELEBIHAN KEPADA PH DI RANTAU

Kemenangan BN di Semenyih dan semakin eratnya hubungan antara UMNO dan Pas kebelakangan ini nampaknya tidak mendatangkan kegembiraan buat MCA dan MIC.

Kedua-dua parti mewakili kaum Cina dan India itu semalam mengeluarkan kenyataan bersama secara mengejut yang membayangkan kemungkinan untuk mereka meninggalkan BN dan mencari gabungan baru untuk disertai.

Berikutan BN telah ditolak pada rakyat pada PRU14 lalu, kedua-dua parti mahukan gabungan itu dibubarkan atau distruktur semula untuk kembali kepada semangat dan tujuan asalnya sepertimana ia mula-mula ditubuhkan dahulu.

Bagi kedua-dua parti itu, kesefahaman dalam BN yang ada sekarang sudah tidak lagi dihormati.

Perkembangan ini yang berlaku menjelang PRK Rantau di mana pemimpin utama UMNO sendiri iaitu Mohamad Hassan akan bertanding tentu saja merupakan sesuatu yang mencemaskan bagi parti itu.

Jika MCA dan MIC bertindak keluar BN dalam waktu terdekat ini, malapetaka besar pasti akan menimpa UMNO dan Mohamad Hassan dalam PRK itu.

Meskipun MCA dan MIC kalah teruk dalam PRU14 lalu, tetapi berdasarkan pengundi Cina di Rantau merangkumi jumlah 17 peratus dan India 27 peratus, ketiadaan kedua-dua parti itu membantu Mohamad Hassan dalam kerja-kerja kempen mungkin akan menyebabkan beliau kehilangan terus sejumlah 44 peratus kelompok undi kedua-dua kaum itu.

Semata-mata bergantung kepada kelompok 56 peratus pengundi Melayu dan bersandarkan kerjasama UMNO dan Pas saja tidak akan berupaya menjanjikan kemenangan buat Mohamad Hassan di Rantau.

Setidak-tidaknya, seperti Cameron Highlands dahulu, kedua-dua parti itu tetap diperlukan untuk mendekati komuniti pengundi masing-masing.

Nada cemas Mohamad Hassan jelas tergambar dalam hal ini apabila beliau segera merayu MCA dan MIC agar bertenang dahulu, sambil berjanji akan memanggil mesyuarat tergempar BN dengan seberapa segera.

Beliau jelas berbeza dengan Nazri Aziz, Setiausaha Agung BN yang nampaknya hanya tergelak besar dengan ancaman MCA dan MIC mahu keluar parti itu, sambil berkata, “silakanlah.”

Sekarang terserah kepada Mohamad Hassan bagaimana untuk menangani karenah MCA dan MIC ini.

Yang pasti, jika Mohamad Hassan gagal berbuat sesuatu, malah kalau sehingga akhir kempen tiada sama sekali bantuan daripada MCA dan MIC, beliau bolehlah melupakan saja kemenangannya di Rantau ini.

Lebih buruk lagi, jika tiba-tiba MIC misalnya, akan turun bertanding sebagai calon Bebas untuk memecahkan lagi undi.

Perpecahan dalam BN adalah suatu kelebihan dan akan memudahkan lagi PH untuk mengalahkan UMNO, sekaligus menjadikan bantuan Pas tidak memberi apa-apa makna lagi kepada Mohamad Hassan. (Shahbudinditcom 05/03/2019).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

103 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
103
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x