PKR hari ini secara rasmi mengumumkan Dr. S Streram adalah calon yang akan dipertaruhkan untuk mewakili PH dalam PRK Rantau yang akan diadakan pada 13 April depan.
Pengumuman yang dibuat oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim ini dengan sendirinya mematikan spekulasi dan perebutan berhubung calon PH bagi PRK tersebut.
Pengumuman calon yang dibuat lebih awal ini juga adalah tindakan yang membolehkan Dr. S Streram terus bergerak dan memulakan kerjanya mulai sekarang.
Dr. S Streram yang dalam PRU14 lalu tidak dapat mengemukakan kertas pencalonannya kerana ketiadaan pas memasuki dewan akan berhadapan dengan Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang sedang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO.
Berikutan itu, Mohamad Hassan diumumkan menang tanpa bertanding sebelum kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah.
Dengan komposisi pengundi Melayu 54 peratus, India 27 peratus dan Cina 18 peratus, meskipun sebelum ini ada permintaan agar PKR meletakkan calon Melayu bagi mengelakkan sentimen kaum dan agama dimainkan oleh UMNO sebagaimana di Cameron Highlands, realiti politik akhir-akhir ini memperlihatkan laluan Mohamad Hassan dalam berdepan Dr. S Streram tidaklah semudah yang disangka.
Apatah lagi dengan perkembangan terbaru di mana UMNO dan Pas sudah mengumumkan secara rasmi “perkahwinan” mereka, bergantung hanya kepada kelompok pengundi Melayu 54 peratus saja tidak mampu menjamin kemenangan buat BN.
Sebaliknya, dengan “perkahwinan” UMNO dan Pas tersebut yang mungkin menjauhkan lagi pengundi bukan Melayu daripada BN, kejayaan PH mencuri 10 atau 15 peratus pengundi Melayu sudah memadai untuk mencipta kemenangan jika sokongan majoriti daripada blok pengundi bukan Melayu yang merangkumi 45 peratus itu berjaya dikekalkan.
Dalam hal ini, PKR, Bersatu dan Amanah mempunyai tugas yang amat penting untuk meyakinkan pengundi Melayu Rantau agar memberikan undi mereka kepada PH yang kini sudah menjadi kerajaan di peringkat pusat dan juga negeri.
Di waktu yang sama, segmen bukan Melayu dalam PKR bersama DAP turut tidak kurang pentingnya peranan mereka dalam memastikan pengundi India dan Cina kekal konsisten menyokong PH.
Pemilihan Dr. S Streram sebagai calon tidak dinafikan tentu saja memberi kelebihan kepada beliau dari segi memperolehi undi 27 peratus kaum India berbanding Mohamad Hassan.
Sebab itu, selain Mohamad Hassan sangat berharap kepada MCA dan MIC yang berjaya dipujuknya tidak meninggalkan BN terus membantunya dalam PRK ini, tindakan beliau menggugurkan Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN juga adalah dengan harapan beliau tidak kehilangan lebih banyak undi bukan Melayu.
Jika Nazri tidak digugurkan dan beliau terus celupar berbalah secara terbuka dengan MCA dan MIC, maka sudah tentu undi daripada kelompok bukan Melayu Rantau sukar untuk memihak kepada BN.
Dalam erti kata lain, tindakan Mohamad Hassan menggugurkan Nazri adalah semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya sebelum perlakuan bekas Menteri Pelancongan yang gemar bergaduh itu “membunuh” terus masa depannya.
Dalam pada itu, meskipun sebelum ini UMNO dan Pas ghairah memainkan sentimen perkauman dan agama dalam kempen-kempen mereka, tetapi dengan kedudukan pengundi bukan Melayu sebanyak 45 peratus di Rantau, terus berbuat demikian adalah ibarat tindakan “bunuh diri” buat BN.
Yang nyata, PRK Rantau tidaklah semudah yang disangka buat Mohamad Hassan dan BN, biar pun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah menjadi Adun di situ sejak 2004 lagi.
Cabaran beliau kali ini adalah berbeza dan tidak mustahil, khususnya berikutan termetrainya “perkahwinan” UMNO dan Pas yang menyebabkan rasa bimbang kepada pengundi bukan Melayu serta beberapa faktor lain seperti PH kini adalah kerajaan, Dr. S Streram mampu membuat kejutan pada 13 April nanti. (Shahbudindotcom 11/03/2019)