DUA PANCINGAN UNDI YANG TIDAK MENJADI…..

Setakat ini dalam usaha untuk memenangi PRK Semenyih, dua usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membeli hati dan jiwa pengundi.

Pertama, mengumumkan bantuan sara hidup untuk orang bujang berjumlah RM100 dan kedua, memaklumkan cadangan mahu memperkenalkan mekanisme baru berkaitan kutipan tol.

Kedua-dua langkah yang diambil kerajaan itu dengan sendirinya memperlihatkan bahawa PH, khususnya Bersatu sedang melalui laluan sukar  untuk menang di Semenyih.

Jika tidak sukar untuk mencapai kemenangan, mustahil kedua-dua langkah itu diumumkan ketika kempen PRK Semenyih sedang berlangsung.

Lagi pun, tidak pernah dalam mana-mana PRK sebelum ini, kerajaan dilihat begitu ghairah menabur gula-gula untuk menambat hati pengundi.

Semuanya tidak lain kerana ini adalah kali pertama Bersatu bertanding dalam PRK dan sekiranya tewas, ia adalah mesej yang jelas menggambarkan ada rakyat yang tidak gembira, bukan saja terhadap dasar-dasar PH, malah juga kepada kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Untuk itu, PH khususnya Bersatu dilihat sedaya upaya cuba untuk mengelakkan kekalahan daripada datang menimpa.

Berdasarkan persaingan sengit yang ditunjukkan oleh UMNO sehingga ini, tambahan lagi setelah mendapat semangat daripada kemenangan di Cameron Highlands, tidak dinafikan Bersatu masih berada di belakang untuk menggapai kemenangan.

Lantaran itu, diharapkan melalui dua langkah itu – memberi bantuan sara hidup RM100 kepada orang bujang dan pengumuman mekanisme baru berkaitan tol – sokongan pengundi kepada calon Bersatu, Aiman Zainali akan segera meningkat.

Malangnya, maaf cakap, kedua-dua usaha yang dilakukan kerajaan itu setakat ini langsung tidak membantu atau mampu menambah undi.

Bantuan RM100 yang diberi kerajaan kepada orang bujang lebih menjadi perlecehan di mana-mana kerana jumlahnya adalah sama seperti bantuan kepada budak-budak sekolah yang diberi sebelum ini.

Selain itu, ketika era BN, jumlah bantuan sara hidup atau BR1M untuk orang bujang adalah berjumlah RM450 dan seperti BR1M yang lain, ia sering dianggap sebagai rasuah oleh pemimpin-pemimpin PH, termasuk Tun Mahathir sendiri.

Soalnya, kenapakah setelah memberhentikan bantuan itu, tiba-tiba kerajaan mahu memberinya semula?

Lebih-lebih lagi di ketika sedang berlangsungnya masa kempen PRK Semenyih, tidakkah kerajaan terfikir mereka juga sedang melakukan rasuah untuk mendapatkan undi?

Sudahlah begitu, jumlah yang diberi pula jauh lebih kecil dan tidak sepadan dengan keperluan orang bujang untuk memberi sesuatu untuk diri mereka.

Langkah mahu memperkenalkan mekanisme baru tol, buat permulaan di empat lebuhraya di Lembah Kelang sebagaimana yang diumumkan semalam, turut membuatkan ramai tidak puas hati dengannya.

Pengenalan caj kesesakan pada waktu puncak selama enam jam dengan kadar tol sama seperti sedia ada, manakala potongan 30 peratus pada waktu lainnya dan percuma antara 11 malam hingga 5 pagi, dianggap langsung tidak memenuhi janji manifesto yang mahu memberi tol percuma sepenuhnya.

Yang nyata, langkah ini selain mengundang kecaman dan sindiran, undi yang diharapkan datang bersamanya juga nampaknya tidak mungkin menjadi kenyataan.

Melaluinya kerajaan dilihat tidak benar-benar ikhlas serta jujur hendak menunaikan janji yang mereka sendiri lafazkannya.

Lalu, apa lagi usaha kerajaan selepas ini?

Apakah kedatangan Tun Mahathir sendiri ke Semenyih pada 28 Februari nanti akan menyaksikan lebih banyak janji dan gula-gula ditawarkan kepada pengundi? (ShahbudinHusin 24/02/2019)

Kongsikan artikel ini
Updated: 1 March 2019 — 5:02 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of