SETELAH USUL TAK PERCAYA TIDAK MENJADI, APA LAGI HELAH PAS UNTUK MENYELAMATKAN DIRI SELEPAS INI?

Segala-galanya kini sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada sesiapa daripada PH mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Penafian Anwar Ibrahim, pemimpin yang disebut-sebut mahu melakukan usul tersebut bahawa tiada rancangan sama sekali daripada dalam PH untuk berbuat demikian, dengan sendirinya menjadikan isu ini berakhir begitu saja.

Kata Anwar, isu berkenaan hanyalah permainan politik Hadi Awang untuk memecah-belahkan PH setelah partinya kalah teruk dalam PRU14 lalu.

“Itu usul Hadi Awang, biar dia bawa usul itu nanti,” tambah Presiden PKR itu lagi.

Dengan mati dan berakhirnya isu berkaitan usul ini, Hadi dan Pas kini jelas semakin terperosok dalam kancah serba salah meneruskan perjuangannya.

Apakah Hadi akan turun berkempen di Semenyih sebagaimana beliau melakukan kerjasama erat dengan UMNO di Cameron Highlands sebelum ini?

Kalau turun dan bersungguh-sungguh membantu UMNO, bagaimana dengan janji yang sudah dilafazkannya kepada Tun Mahathir?

Jika tidak turun membantu, di mana lagi harapan Pas mahu merasa memegang kuasa dalam PRU akan datang?

Sedangkan Mat Sabu yang pernah jadi timbalannya sudah berpelung jadi menteri, mustahil tak terdetik di hati Hadi ingin merasa nikmat yang sama?

Di sebalik itu, jika penglibatan Pas bersama UMNO dilakukan secara bersungguh-sungguh, ia dalam masa yang sama turut mengundang resah berkaitan siasatan SPRM yang sedang dihadapi oleh parti Islam itu.

Pas barangkali tidak begitu gundah dengan siasatan berkaitan penerimaan dana berjumlah RM90 juta yang dikaitkan dengannya kerana untuk merungkai dakwaan itu tentu saja akan memakan masa yang lama untuk menyiasatnya.

Kes itu dikatakan sedikit kompleks kerana ramai individu, termasuk penderma yang biasa menderma kepada Pas, perlu disiasat sama  untuk menjejak kemasukan wang yang didakwa diterima itu.

Tetapi, yang sangat merisaukan Pas ketika ini adalah berkaitan dana RM2.5 juta yang dikatakan diterima Pas daripada UMNO menjelang PRU14 lalu.

Di media sosial, penyata bank berhubung kemasukan wang itu sudah pun lama viral serta tidak pernah dinafikan oleh pihak yang didakwa memberikannya.

Berdasarkan dakwaan Sarawak Report, wang tersebut dikatakan bertujuan untuk membayar deposit bagi calon-calon Pas yang bertanding ketika itu.

Bagaimanakah Pas mahu menafi atau menidakkan mengenai wang RM2.5 juta itu, sedangkan penyata banknya dilihat begitu nyata?

Jika ia didapati benar, di mana Pas mahu meletak wajah perjuangan Islam mereka kepada rakyat jelata?

Diberitakan juga, oleh kerana wang itu dimasukkan ke sebuah akaun bank berkaitan Pas Terengganu, itulah yang amat merisaukan Pas sehingga mendorong Hadi mahu segera bertemu dengan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Kalau usul undi tidak percaya yang dijolok oleh Pas menjadi kenyataan dan politik PH kemudiannya terus bergolak, harapan Hadi untuk melihat siasatan SPRM terhenti mungkin sekali menjadi kenyataan.

Namun, dengan semuanya nampak tidak menjadi dan Anwar mengatakan ia hanyalah usul Hadi semata-mata, di manakah lagi peluang Pas untuk menyelamatkan diri?

Adakah Pas akan mencari helah lain selepas ini? (ShahbudinHusin 23/02/2019)

Kongsikan artikel ini
Updated: 1 March 2019 — 5:07 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of