NASIB BAIK ADA PRK, INGAT JUGA PH JANJI-JANJI YANG BELUM DITUNAIKAN LAGI…..

Menurut kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kerajaan akan membuat pengumuman penting berkaitan tol dalam masa terdekat ini.

“Kita baru berbincang dalam kabinet….mungkin dalam sehari dua ada kenyataan berkaitan tol yang akan diumumkan oleh menteri berkaitan,” jelas beliau.

Muhyiddin berkata  demikian dalam  program kempen di Semenyih semalam.

Isu berkaitan penghapusan tol, meskipun bukan merupakan salah satu daripada 10 janji yang diikrarkan akan dilaksanakan oleh PH dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kerajaan, tetapi ia adalah perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat.

 

Ini kerana penghapusan itu bukan saja dirasakan mampu mengurangkan beban hidup rakyat, malah pemimpin-pemimpin PH sendiri banyak memfokuskan ucapan kempen mereka berkaitan dengannya sebelum ini.

Bagi rakyat yang sudah memenangkan PH, mereka hanya sekadar mahu menuntut janji saja demi untuk mengelakkan kerajaan ini menjadi kerajaan yang munafik.

Bagaimanapun, setelah berjaya menjadi kerajaan, PH dilihat banyak berdalih berkaitan penghapusan tol seperti memberi alasan kekangan kewangan dan banyak perkara perlu dirundingkan sebelum ia boleh dilaksanakan, selain mengatakan janji itu masih mempunyai tempoh sehingga PRU15 untuk dilaksanalan.

Bersama janji-janji lain yang juga banyak tersangkut di tengah jalan, kekecewaan rakyat lantas mula berkembang dan kini tahap sokongan kepada PH selepas 9 bulan menjadi kerajaan adalah berada di kedudukan paling rendah sekali.

Meskipun kata-kata Muhyiddin ini bukan sangat menunjukkan PH benar-benar prihatin kepada rakyat, tetapi lebih ke arah untuk memastikan calon Bersatu tidak kecundang di Semenyih, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Bermakna, mujurlah ada pilihanraya kecil, ingat juga PH kepada janji-janji mereka yang banyak masih tidak ditunaikan itu.

Kalau tidak ada pilihanraya kecil atau PRK, bukan saja janji mungkin terus dilupai, malah barangkali hanya alasan demi alasan yang kita akan dengar setiap hari.

Selepas Semenyih, akan ada lagi PRK di Rantau dan mungkin selepas itu di Jasin pula.

Ada juga satu dua kawasan lain mungkin terpaksa diadakan PRK kerana wakil rakyat PH di kawasan itu ketika ini dikesan sedang sakit tenat atau uzur selepas menjalani pembedahan jantung.

Sudah pasti dengan adanya satu demi satu PRK ini, semakin banyaklah janji-janji PRU14 lalu yang terpaksa ditunaikan oleh PH demi untuk mengelakkan kekalahan datang bertimpa-timpa..

Hehehe…kalau macam ini, nampaknya tiap-tiap bulan ada PRK pun bagus juga!!! (ShahbudinHusin 22/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 1 March 2019 — 5:16 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments