URUSAN POLITIK TAK PERLU PERJANJIAN BERTULIS, TAPI MENGAPA HADI AWANG SANGGUP BERBUAT DEMIKIAN?

Sehingga ini kedua-dua pihak, UMNO dan Pas terlihat masih sukar menerima apa yang didedahkan Tun Mahathir Mohamad semalam sebagai suatu kebenaran.

Dalam pendedahannya itu, Tun Mahathir berkata, Hadi Awang telah membuat perakuan kepadanya bahawa Pas tidak akan membantu UMNO dalam PRK Semenyih pada 2 Mac depan.

Tambah beliau lagi, perakuan Presiden Pas itu juga dibuat dalam bentuk bertulis serta bertandatangan.

Bagi UMNO, dakwaan Tun Mahathir itu adalah suatu penipuan serta pembohongan yang tidak boleh dipercayai.

Kata beberapa pemimpinnya, kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Pas ketika penamaan calon serta telah wujud kerjasama yang mantap di peringkat cawangan, bahagian dan negeri untuk memastikan kemenangan calon BN di Semenyih adalah bukti bahawa dakwaan Tun Mahathir itu tidak boleh dipercayai.

Ada juga pemimpin UMNO yang mempersoalkan sejak bila Tun Mahathir menjadi jurucakap kepada Pas?

Dalam waktu yang sama, para pemimpin Pas juga turut menyanggah dakwaaan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu.

Tegas mereka, dakwaan Tun Mahathir itu sukar dipercayai, tiada kebenaran, sekadar memanipulasi pertemuan, malah menegaskan hubungan kerjasama yang sudah terjalin antara Pas dengan UMNO akan tetap diteruskan di Semenyih ini.

Maka, adakah Tun Mahathir telah berbohong?

Jika Tun Mahathir berbohong, mengapa Pas tidak segera membuat penafian, malah Hadi Awang sendiri melarikan diri ketika diserbu wartawan yang ingin meminta kepastian daripadanya?

Mudah ceritanya, adalah tidak mungkin Tun Mahathir sanggup mereka-reka cerita jika surat perakuan bertulis dan bertandatangan itu tidak ada padanya.

Kalau sampai begitu kesanggupannya, semata-mata untuk melihat Bersatu menang di Semenyih, itu tindakan bunuh diri namanya.

Dalam pertimbangan ramai, sehingga Hadi Awang sendiri tidak berani tampil menafikannya, dakwaan Tun Mahathir itu boleh dikata sesuatu yang benar dan mempunyai peratusan tinggi untuk dipercayai.

Cuma, yang menjadi tanda tanya, mengapa Pas sanggup membuat perakuan bertulis dan menandatanganinya, sedangkan ia cuma persefahaman politik dan bukan perjanjian dalam perniagaan?

Pas dalam hal ini, tentu lebih sedia maklum, melalui sekian banyak persefahaman yang pernah mereka lakukan sebelum ini, termasuk dengan DAP, semuanya tidak pernah sama sekali dibuat dalam bentuk surat bertulis.

Mana-mana pihak pun, baik pemimpin atau parti, apabila mereka mahu menjalin persefahaman, kerjasama atau perjanjian politik, tidak pernah menjadikan sebarang surat bertulis dan bertandatangan sebagai suatu keperluan.

Ini kerana persefahaman politik leboh bersandarkan kepercayaan dan ia tidak melibatkan untung rugi kewangan.

Itulah juga sebabnya mana-mana pihak yang ingin berpisah atau memutuskan kerjasama politik, cukup sekadar membuat kenyataan putus hubungan saja, tambah kukuh jika selepasnya diikuti dengan maki hamun, kata mengata dan caci cerca.

Sesudah itu, sahlah perceraian itu. Mudah saja.

Tidak seperti perniagaan, ia biasanya mesti ada perjanjian, pembahagian keuntungan, susunan kerja dan sebagainya lantaran untuk memulakannya sesuatu projek itu tentu saja memerlukan wang.

Tetapi, putusnya kerjasama politik tidaklah pernah sampai dibawa hingga ke mahkamah atau saman-menyaman yang menuntut pampasan juta-jutaan. Lagi pun modal kerjasama politik hanyalah air liur saja.

Oleh itu, agak pelik dan menghairankan mengapa Hadi Awang sanggup membuat surat bertulis dan bertandatangan kepada Tun Mahathir dalam perkara yang semata-mata berkaitan politik iaitu untuk tujuan tidak lagi membantu UMNO dalam PRK Semenyih?
Apakah keperluan Hadi Awang membuat surat tersebut hanya kerana ketakutan kes RM90 juta terbongkar dan melemahkan Pas atau beliau dan Tun Mahathir ada agenda bersama yang lebih besar daripada itu?

Adakah juga persefahaman politik yang dipersembahkan Hadi Awang kepada Tun Mahathir sudah bertukar menjadi perjanjian perniagaan yang untungnya akan dibahagi sama rata antara Pas dan Bersatu?

Siapa pula yang akan rugi nanti?

UMNO? DAP? Atau Anwar Ibrahim? (ShahbudinHusin 17/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:14 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments