SETIA KEPADA PERJUANGAN, BUKAN KEPADA PARTI – ISYARAT TUN M MAHU MENUKAR BERSATU KEPADA UMNO 2.0

Semalam, ketika berucap di Pesta Demokrasi di Petaling Jaya,  Tun Mahathir Mohamad menyeru mereka yang bergelar penyokong agar tidak buta-buta menjadi setia kepada mana-mana parti.

Mereka sebaliknya, kata Perdana Menteri, hendaklah setia kepada perjuangan sesebuah parti itu.
Walaupun tidak meyebut secara khusus, kata-kata Tun Mahathir itu dipercayai sebagai merujuk dan mengalu-alukan kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.

Bagaimanapun, jika diimbas kembali ketika bersama UMNO dahulu, apa yang kerap disebut oleh Tun Mahathir ialah seseorang itu mesti setia kepada parti dan bukan taksub kepada pemimpin.

Dengan beliau sendiri akhirnya terbukti tidak setia kepada UMNO yang pernah menjadikannya Perdana Menteri selama 22 tahun, tetapi sanggup keluar parti itu sebanyak dua kali dan kemudian mengalahkannya pada PRU14 lalu, nada Tun Mahathir jelas berbeza ketika ini.

Yang diminta sekarang oleh beliau bukan setia kepada parti dan bukan  juga setia kepada pemimpin, tetapi hanya kepada perjuangan.

Apakah pendirian Tun Mahathir sudah tidak sama antara dulu dan sekarang serta apakah bentuk serta jenis perjuangan yang mesti seseorang itu curahkan kesetiaannya?

Taksub dan setia kepada pemimpin memang tidak digalakkan, tetapi kenapakah tiba-tiba Tun Mahathir juga menyeru disisihkan sama sekali kesetiaan kepada parti?

Kalau diperhalusi, pendirian Tun Mahathir sebenarnya tidak jauh berbeza. Dahulu ketika meminta mesti setia kepada parti, beliau ketika itu adalah Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang punya kelebihan untuk membeli kesetiaan sesiapa saja.

Sekarang, apabila meminta hanya setia kepada perjuangan dan bukan lagi kepada parti, maksudnya tidak lain semua orang harus bersama-sama dengan apa yang diperjuangkannya dalam Bersatu.

Semua ini bermula apabila beliau agak kecewa kerana Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen saja dalam PRU14 lalu berbanding 52 kerusi yang ditandingi.

Ia jelas suatu keadaan yang memalukan berbanding PKR yang menang 47 kerusi dan DAP 42 kerusi.

Ia dengan sendirinya menjadikan Tun Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri hanya kerana persefahaman serta restu rakan-rakan dalam PH, bukan disebabkan kekuatan parti yang dipimpinnya.

Untuk menjadikannya lebih kuat, Tun Mahathir tiada pilihan lain selain menarik seberapa ramai bekas pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO menyeberang ke Bersatu.

Sebab itu, dalam dua perjumpaan awal beliau dengan Presiden UMNO Zahid Hamidi, permintaan Tun Mahathir ialah agar UMNO segera dibubarkan dan ahlinya beramai-ramai menyertai Bersatu.

Idea itu bagaimanapun ditolak oleh Zahid Hamidi, malah tidak dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin UMNO peringkat tertinggi yang lain.

Lalu, agenda Tun Mahathir seterusnya ialah berusaha menarik Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu di mana sehingga ini 9 Ahli Parlimen UMNO sudah berbuat demikian serta akan disusuli oleh Ketua Bahagian, Ahli Parlimen dan Adun UMNO Sabah selepas ini.

Masalah baru yang timbul dengan trend kemasukan gerombolan demi gerombolan pemimpin UMNO ke dalam Bersatu ialah parti itu dibimbangi akan bertukar menjadi UMNO 2.0.

Dalam Bersatu sendiri ternampak wujudnya  kebimbangan yang semakin ketara mengenai perkara itu kerana kemasukan pemimpin UMNO yang rata-ratanya banyak wang dan kaya-raya, meski dikhabarkan mereka tidak akan dibenarkan memegang jawatan dalam tempoh tertentu, lama-kelamaan nanti pasti merekalah yang akan menguasai barisan kepimpinan parti itu.

Dalam hal ini, apabila Tun Mahathir menyeru agar dibuangkan kesetiaan kepada parti, tetapi hanya kepada perjuangan, tujuannya ialah di samping usaha berterusan yang beliau akan lakukan untuk menarik keluar pemimpin-pemimpin UMNO, beliau juga mahukan ahli-ahli Bersatu menerima dengan lapang dada kemasukan mereka itu.

Maknanya, dengan tidak setia kepada parti, ahli dan pemimpin UMNO mesti meninggalkan parti itu, manakala ahli dan penyokong Bersatu pula jangan terlalu taksub kepada Bersatu sehingga enggan menerima bekas ahli-ahli UMNO.

Kesetiaan sebenar yang dimahukan oleh Tun Mahathir apabila kedua-dua kumpulan itu bergabung dalam Bersatu ialah mesti setia kepada perjuangan semata-mata.

Tetapi, apakah jenis perjuangan yang sebenarnya dimahukan oleh Tun Mahathir agar semua orang setia itu?

Sekurang-kurangnya ada tiga perjuangan yang sedang diusahakan oleh Tun Mahathir sekarang – satu, mengukuhkan kedudukannya; kedua, mengukuhkan kedudukannya; dan ketiga, mengukuhkan kedudukannya.

Dengan sokongan majoriti, kalau pun tidak mutlak kepada perjuangannya itu, Tun Mahathir akan mencatur negara ini sesuka hatinya sebagaimana beliau berkuasa selama 22 tahun sebelum ini. (ShahbudinHusin 17/02/2019).

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:14 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of