HADI AWANG PERLU BERI PENJELASAN SEGERA ATAU BELIAU MAHU TUN MAHATHIR DEDAHKAN SURAT YANG DITANDATANGANINYA?

Dakwaan yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad bahawa Hadi Awang membuat perakuan kepadanya Pas tidak akan memberi sokongan kepada UMNO dalam PRK Semenyih adalah suatu tuduhan yang serius.

Kata Tun Mahathir, perakuan itu dibuat oleh Hadi kepadanya dalam pertemuan yang berlaku semalam di Kuala Lumpur.

Malah, dakwa Tun Mahathir lagi, perakuan itu juga dibuat dalam bentuk bertulis dan ditandatangani oleh Presiden Pas tersebut.

Tidak cukup sekadar berjanji mulut saja, rupa-rupanya ada surat bertulis sekali.

Wahhh…ini sudah benar-benar serius!!!

Benarkah semua ini Tuan Guru?

Bagaimanapun, persoalan umum yang berlegar-legar di fikiran ramai ialah, jika benar apa yang didakwa oleh Tun Mahathir itu, mengapakah Pas begitu cepat mahu berpaling tadah daripada meneruskan kerjasama dengan UMNO?

Tidakkah Pas sendiri menyaksikan kerjasamanya dengan UMNO itu telah membuahkan hasil kemenangan di Cameron Highlands sebelum ini dan tidak mustahil berulang lagi di Semenyih ini?

Adakah dengan tidak berkempen itu bermakna Pas mahu Bersatu menang di Semenyih kerana menganggap parti itu bukan musuh sepertimana DAP yang dihadapi bersama UMNO di Cameron Highlands lalu?

Adakah semua perkiraan ini ada kaitan dengan siasatan yang sudah dimulakan oleh SPRM terhadap beberapa pemimpin Pas berhubung dakwaan menerima wang berjumlah RM90 juta daripada Najib Razak?

Tetapi, jika dakwaan Tun Mahathir itu benar juga, mengapakah masih ada pimpinan Pas hadir memberi sokongan kepada UMNO ketika penamaan calon di Semenyih pagi tadi?

Ataukah ketika itu pimpinan Pas belum mengetahuinya lagi dan perkara itu hanya diketahui setelah didedahkan oleh Tun Mahathir?

Apakah jika dakwaan Tun Mahathir itu ternyata benar, maka selepas ini Pas akan segera menarik diri secara rasmi daripada bekerjasama dengan UMNO?

Apa pun, Hadi Awang dalam hal ini tidak boleh terlalu lewat memberi penjelasan berhubung perkara yang sedang menjadi bualan ramai ini.

Kenyataan pemimpin lain yang menafikan dakwaan Tun Mahathir itu tidak sah sama sekali kerana yang bertemu dengan Perdana Menteri ialah Hadi Awang sendiri.

Jika betul apa yang didakwa oleh Tun Mahathir itu, mengaku saja serta berilah sebab-sebabnya. Sekurang-kurangnya itu suatu tindakan yang jujur.

Kiranya tak betul pula, nafikanlah dengan segera. Mudah saja.

Mengapa sehingga ini setelah lebih lima jam berlalu, belum lagi ada sebarang kenyataan daripada Hadi Awang mengenainya?

Tunggu apa lagi?

Apakah Hadi Awang mahu menunggu Tun Mahathir sendiri mendedahkan surat pengakuan bertulis yang siap bertandatangan itu? (ShahbudinHusin 16/02/2019)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:14 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of