Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BEKAS AHLI UMNO TIDAK MAMPU MEMBANTU BERSATU…..

Hanya beberapa ketika selepas Bersatu mengumumkan calonnya untuk bertanding di Semenyih pada PRK 2 Mac depan, sosek-sosek tidak enak mula kedengaran di merata-rata.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin semalam, parti itu akan mempertaruhkan seorang anak muda berusia 30 tahun, Aiman Zainali sebagai calonnya untuk berhadapan dengan BN yang meletakkan Zakaria Hanapi sebagai kuda tunggangannya.

Seorang lagi calon yang turut memeriahkan persaingan ialah Nik Aziz Afiz Abdul daripada PSM.

Pemilihan Aiman yang merupakan menantu Bakhtiar Mohd Nor, Adun Semenyih yang meninggal dunia baru-baru ini,  dilihat amat tidak disenangi oleh beberapa pihak dalam Bersatu sendiri.

Ramai yang menyifatkan, selain pemilihan itu mencambahkan amalan nepotisme dalam parti, ia jelas meniru budaya UMNO dan BN yang pernah meletakkan balu wakil rakyat yang meninggal dunia sebagai calon mereka.

Pada 2016, UMNO pernah memilih balu Wan Khairil Wan Ahmad, Mastura Yazid sebagai calon PRK Kuala Kangsar selepas suaminya terbunuh dalam kemalangan helikopter di Sarawak.

Kemudian pada 2017, balu Adenan Satem juga dipilih bertanding bertanding di PRK DUN Tanjung Datu menggantikan tempat suaminya yang meninggal dunia.

Mengapakah Bersatu meniru budaya UMNO dan BN itu seolah-olah mereka ketandusan calon lain yang lebih berwibawa untuk diketengahkan di Semenyih?

Susulan keputusan Muhyddin dan Bersatu Selangor memilih Aiman yang kurang disenangi itu, bukan saja sudah kedengaran ada yang mahu memboikot kempen, malah terdengar juga adanya beberapa bilik gerakan di kawasan peti undi tertentu bertegas ingin mengambil tindakan “tutup kedai” sepanjang kempen nanti.

“Lebih baik kami duduk di rumah saja atau bercuti ke mana-mana destinasi,” kata mereka lagi.

Mereka nampak jelas kecewa kerana pucuk pimpinan tidak mendengar suara akar umbi yang lebih mahukan anak tempatan yang lebih dikenali ramai dan biasa bercampur gaul dengan penduduk tempatan dipilih sebagai calon.

Tambah memburukkan lagi keadaan dan mungkin menyulitkan Bersatu mencapai kemenangan ialah apabila Muhyiddin  membuat kenyataan mahu menggunakan khidmat bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyeberang ke Bersatu baru-baru ini sebagai tenaga kempen membantu PH di Semenyih.

Tambah Muhyiddin, Semenyih ini akan menguji kesetiaan, keikhlasan serta komitmen bekas Ahli Parlimen berkenaan terhadap Bersatu.

Bagi kebanyakan orang dalam Bersatu, tindakan Muhyiddin itu sama sekali tidak bijak kerana ia tidak menjamin mampu menambah pejuang ke arah kemenangan.

Kata pihak yang berhujah, membawa “pemimpin mualaf”  itu untuk berkempen di pentas Bersatu tidak ubah seperti meminta seseorang yang baru masuk Islam untuk mengajar cara-cara sembahyang kepada mereka yang sudah lama beragama Islam.

“Hentikan saja usaha mahu membawa mereka itu berkempen. Silap-silap lebih banyak hilang undi akan berlaku dengan kehadiran bekas Ahli Parlimen UMNO itu nanti, “ujar seorang penyokong Bersatu di Semenyih. (ShahbudinHusin 15/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x