Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KERAJAAN PERLU DITEGUR DAN DIKRITIK, BUKAN DIBERIKAN PUJIAN

Peranan kerajaan yang dipilih oleh rakyat setiap lima tahun sekali ialah semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat.

Lebih-lebih lagi jika banyak janji dan manifesto telah dibentangkan ketika berkempen dahulu, keutamaan menunaikannya adalah kewajipan yang tidak boleh dilengah-lengahkan.

Oleh yang demikian, demi memastikan peranan dan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik serta berjaya, semua orang sebaik-baiknya mesti menjadi pengkritik dan penegur kepada kerajaan.

Apatah lagi jika terlalu banyak kelemahan atau kesilapan yang ditampilkan oleh kerajaan, teguran dan kritikan itu wajar dilakukan secara terbuka, berterusan, malah kadangkala dengan nada yang keras.

Jika tidak dilakukan demikian, kerajaan dan para pemimpinnya akan terdedah kepada sikap ambil mudah dalam memberi khidmat mereka kepada rakyat dengan alasan kekangan kewangan atau masih banyak masa lagi sebelum pilihanraya akan datang untuk melaksanakannya.

Seperti apa yang berlaku sekarang, meskipun diakui kerajaan PH masih baru dan ramai menteri-menteri yang ada tidak berpengalaman, ia bukanlah alasan untuk teguran dan kritikan tidak boleh diberikan.

Tiada masa untuk berbulan madu untuk sebuah kerajaan atau kepada mana-mana pemimpinnya. Memberi khidmat kepada rakyat atau menolong orang tidak memerlukan tempoh masa untuk belajar, bahkan tiada mana-mana universiti yang dapat memberi ilmu sedemikian

Ia adalah peranan dan tanggungjawab semulajadi sebagai  seorang pemimpin. Apabila saja seseorang itu memilih untuk menjadi pemimpin atau menceburi bidang politik, lebih-lebih lagi setelah menjadi kerajaan, mereka seharusnya tahu dan sedar bahawa kerjanya yang utama ialah menolong orang, membantu dan menyelesaikan masalah-masalah kehidupan rakyat.

Kerja itu pula adalah kerja sepanjang masa dan tiada akhirnya. Selagi dinamakan kehidupan, selagi itulah memberi khidmat kepada rakyat oleh sesebuah kerajaan merupakan suatu kewajipan.

Tidak saja orang miskin, orang susah dan golongan pertengahan yang memerlukan khidmat kerajaan, malah orang kaya dan ternama pun memerlukan kerajaan melindungi kehidupan mereka.

Bahkan, kadangkala orang kaya lebih cerewet dan remeh permintaannya yang perlu ditunaikan oleh kerajaan seperti desakan agar banyak kawasan hijau atau tiada pembangunan yang melampau di sekitar kediaman elit mereka.

Tetapi, bagaimana jika kerajaan melakukan kerjanya dengan baik serta memberi khidmat dengan cemerlang, tidak bolehkah mereka dipuji?

Sebenarnya tidak perlu sama sekali bagi kerajaan atau pemimpin kerajaan diberikan apa-apa pujian atas khidmat mereka yang baik atau cemerlang kerana itu memang peranan dan tanggungjawab semulajadi mereka.

Ia sama seperti seseorang yang rajin menunaikan ibadah solat lima waktu sehari, mereka juga tidak perlu diberikan pujian lantaran itu adalah tanggungjawab dan kewajipannya sebagai seorang hamba.

Lagi pula, mereka yang menjadi kerajaan sudah pun dibayar gaji, elaun dan pelbagai kemudahan lain yang datangnya daripada wang rakyat melalui pembayaran cukai.

Maka, untuk apa lagi mereka perlu diberikan apa-apa pujian?

Jika mereka telah berkhidmat dengan cemerlang dan menjadi kerajaan yang baik, balasannya ialah rakyat akan memilihnya lagi untuk terus menjadi kerajaan apabila pilihanraya diadakan.

Sebaliknya, jika perkhidmatannya buruk, malas menolong orang, makan rasuah, memperkayakan diri dan keluarga, menipu lagi dengan kelulusan akademik palsu, rakyat tidak akan teragak-agak menghukum dengan menumbangkannya.

Mudah kata, kita sebagai rakyat perlu terus menegur dan mengkritik kerajaan sepanjang dan jangan rasa bersalah melakukannya. (ShahbudinHusin 11/02/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x